Artikel Pilihan

10 KATA-KATA NASIHAT SOICHIRO HONDA YANG MEMBERI INSPIRASI

Asyik layan berita kereta motor apa kali ni Pak Amid berkongsi beberapa petikan kata-kata nasihat Soichiro Honda untuk motivasi kita bersama. Pada yang tak kenal dengan Soichiro Honda ni memang hidupnya tak cukup syarat la. Dah namanya pun Honda mestilah beliau pemilik dan pengasas Honda yang sudah cukup terkenal di seluruh dunia.

Sebagai usahawan dan jurutera yang berjaya, Soichiro juga turut merupakan pemimpin kepada semua pekerja bawahan di syarikat beliau dan di bawah ini merupakan koleksi kata-kata nasihat beliau yang telah memberi inspirasi kepada ribuan manusia di dunia termasuk kami sendiri.

1. It wasn’t necessary to be born a nobleman or rich to succeed in life
Maksudnya kita tidak perlu dilahirkan dalam keluarga bangsawan ataupun hartawan kaya raya untuk berjaya dalam kehidupan. Malah Soichiro sendiri lahir dalam keluarga yang sederhana di mana ayahnya seorang tukang besi manakala ibunya hanya seorang penenun kain. Ini tidak kecik-kecik lagi dah melaram dengan kereta motor milik orang tua, last kantoi tak ada lesen, engkau ke dalam kereta kena sita.

2. I think best when I have a wrench in my hands.
Saya boleh berfikir dengan lebih baik jika saya ada spanar di tangan saya. Soichiro memang seorang jurutera mekanikal sejati yang sentiasa membawa spanar ke mana-mana khususnya tempat kerja. Beliau juga seorang yang tegas dan tidak teragak untuk memukul mana-mana pekerja yang tidak mahu belajar dari kesalahan (tapi tak adalah pukul sampai cedera parah). Bahkan pengganti Soichiro, Kiyochi Kawashima berkata, “Bekerja dengan Soichiro bererti dua perkara – Mengundurkan diri (berhenti) ataupun mencapai kejayaan dengan mempelajari ilmu beliau”.

BACA: S660 ROADSTER DIBINA OLEH MUKUMOTO – JURUTERA TERMUDA DALAM SEJARAH HONDA

3. I forced myself to be enthusiastic
saya memaksa diri saya untuk meminati sesuatu perkara. Ini memang Pak Amid suka kerana kita selalu dengar minat mesti dipupuk dari kecil. Berbeza bagi Soichiro, beliau berpendapat jika kita meminati sesuatu perkara kita mesti meminati apa sahaja yang berkaitan dengan minat kita.

Contohnya minat utama Soichiro ialah kejuruteraan mekanikal namun beliau memaksa diri untuk meminati dunia perniagaan, korporat, pengurusan serta perlumbaan untuk memastikan kejayaan syarikat Honda. Semuanya hasil minat yang dipupuk dan dipaksa oleh beliau sendiri.

4. Jika anda menghasilkan produk yang hebat, semua akan membelinya.
Inilah rahsia kejayaan Honda dan dalam mana-mana perniagaan sekalipun. Produk yang hebat akan laku terjual manakala produk yang dihasilkan dengan cincai mesti tak laku di pasaran. Ini dibuktikan Soichiro bila Honda mengeluarkan Honda CB750 (Superbike pertama di dunia), CBX1000 (Superbike enjin 6-sebaris), VFR750R (Juara WSBK V4), CBR900RR Fireblade (Revolusi dunia superbike) malah motosikal kecil yang juga lebih kita kenali dengan nama Honda Cub. Semua produk di atas terjual dengan laris di seluruh dunia tanpa mengira berapa tanda harga yang diletakkan padanya.

Ini tidak orang jual karipap awak nak jual karipap tapi sekali gigit inti angin. Nampak kat luar sikit punya crispy.

5. You don’t measure a man’s greatness by his physical size, but by his acts, by the impact he makes on human history.
Pernah disebutkan yang Soichiro merupakan peminat Napoleon Bonaparte, pemimpin dan komander tentera dari Perancis kerana pencapaiannya, tetapi mungkin juga kerana keduanya mempunyai saiz badan yang hampir sama tetapi keduanya berkongsi pemikiran yang bijaksana. Soichiro juga pernah berkata – “Saya akan menjadi Napoleon dalam bidang mekanikal, kecil tetapi popular.

Penyakit memandang rendah fizikal seseorang memang menjadi budaya di Malaysia sejak dari bangku sekolah lagi. Kita mudah menggelarkan seseorang dengan keadaan fizikal mereka tetapi jangan jadikan itu halangan untuk berjaya. Tetapi bila dah percaya jangan pulak balas dendam dengan cara yang sama.

6. I let no one disturb my concentration… Even hunger could not disturb me.
Ini satu lagi masalah kita di Malaysia kan? Tak boleh lapar sikit tak kiralah kerja kerajaan ke swasta ke, asal cukup masa tak kira lapar ataupun tidak semuanya akan segera bergegas ke kedai mamak (macam mengata diri sendiri la pulak).

Okey Pak Amid pun nak berubah lepas ni, dari minum kedai mamak lima kali sehari ke tiga kali sehari.

7. Racing improves the breed
Dunia perlumbaan akan membantu meningkatkan teknologi dan nama sesuatu jenama (Honda sendiri contohnya). Soichiro sendiri merupakan peminat perlumbaan. Malah logo Honda dengan sayap Dewi Nike (Dewi Kemenangan) merupakan inspirasi Soichiro untuk berjaya dalam apa jua perlumbaan baik perlumbaan jentera mahupun dunia perniagaan.

Bahkan banyak produk Honda diinspirasi dari kejayaan mereka dalam dunia perlumbaan contohnya CB750, CBX1000, VRF750, NR750 dan NS400. Itu baru sikit, banyak lagi contoh lain bang.

8. I don’t give a damn about diploma. What I want is the knowledge.
Ini bukan mencarut tetapi Soichiro memang mementingkan pengetahuan tanpa terikat dengan diploma. Pengetahuan boleh dicari melalui pengalaman bekerja sama seperti yang dilalui Soichiro yang mula bekerja di bengkel membaiki kereta sejak berumur 18 tahun. Jadi jangan nak bangga sangat dengan diploma ataupun ijazah kita. Kami sendiri pun bukannya mempunyai asas dalam bidang teknikal dan penulisan tetapi diasah sendiri akibat minat yang mendalam dalam bidang automotif.

Soichiro turut menyambung – “Sekeping diploma adalah sama pentingnya dengan tiket untuk tengok wayang” (boleh pakai sekali je pun).

BACA: INI HONDA NSX GT3 YANG BOLEH DIBELI UNTUK PERLUMBAAN – DARI RM2.3 JUTA

9. When you fail, you also learn how not to fail.
Jangan ingat Soichiro selalu berjaya dalam usaha beliau. Kegagalan demi kegagalan ditempuhi tetapi beliau selalu belajar dari kegagalan lampau. Ini dah tau salah kau buat jugak, engkau ni banyak makan semut ke masa kecil dulu? Bila dah buat salah tu fikir balik mana yang tak kena dan betulkan, jangan main ulang balik je.

Jangan pulak bila gagal dalam peperiksaan kau bacakan nasihat Soichiro ni pada mak bapak korang terutama yang masih sekolah tu.

10. Success is 99% failure.
Kejayaan itu berasal daripada 99 peratus kegagalan. Jangan takut dengan kegagalan kerana ia memang laluan untuk berjaya. Kalau sekali buat memang dah berjaya mana ada seronoknya dan satu lagi kejayaan dengan jalan mudah biasanya tidak akan kekal lama. Antara kegagalan Soichiro ialah bila gagal memohon kerja dengan Toyota. Malah kilangnya juga pernah musnah dalam Perang Dunia Kedua. Beliau sentiasa positif dan bangkit kembali.

Google ads
Back to top button