10 KERETA DARI TAHUN 90-AN YANG MASIH KAMI INGINKAN – BILA DAH CUKUP DUIT

SHARE

Era 90-an merupakan titik tolak kepada perubahan dalam dunia automotif. Pada masa itu penggunaan gear manual adalah lebih meluas dan diminati kerana ia lebih menjimatkan berbanding gear automatik (kini tidak lagi).

Begitu juga dengan peralatan bantuan pemanduan elektronik, ia masih di peringkat awal dan tidak secanggih sekarang sehingga menghilangkan sedikit sebanyak keseronokkan memandu.

Malah jika kereta anda dilengkapi turbo, ia sebenarnya adalah untuk peningkatan prestasi enjin dan bukannya meningkatkan penjimatan bahan api seperti kereta moden masa kini. Kereta tahun 90-an juga semakin aerodinamik dan kereta-kereta dengan bentuk berkotak sudah semakin pupus.

Hasilnya lahirlah kereta-kereta hebat tahun 90-an yang masih membuatkan air liur peminat kereta meleleh sehingga sekarang. Nak beli faham-fahan sendirilah berapa harganya sekarang. Ini kami senaraikan 10 kereta tahun 90-an yang masih menggugat kesabaran kami.

Mazda RX-7

Generasi ketiga RX-7 yang dikenali dengan nama FD memang sudah menjadi lagenda dan dikeluarkan seawal tahun 1992-2002. Ia bukan hanya membuktikan kehebatan Mazda dalam mempelopori teknologi enjin rotary Wankel tetapi ia juga menggunakan sistem pengecas turbo sequential. Satu unit turbo menghasilkan boost pada RPM rendah dan satu lagi bertindak pada tahap RPM sederhana dan pada pendikit penuh. Ini bermakna kuasa maksima 225 hp kereta ini sentiasa dalam keadaan bersedia untuk mencabar lawan. Tambahan pula enjin yang berkuasa ini bila digabungkan dengan kehebatan pengendalian mampu menjadikan RX-7 antara model sports terbaik 90-an.

BMW M5 E39

Ini merupakan antara M5 kegemaran kami dengan enjin V8 yang mampu menghasikan 400 hp kuasa. Ia digabungkan pula dengan transmisi manual 6-kelajuan dan pengendalian yang memang sudah terbukti. Mana nak dapat sebuah kereta keluarga yang boleh membuatkan anda tersengih setiap kali memegang sterengnya. Bini pun tak komplen sebab kereta ini jika dilihat memang sama seperti sebuah sedan kepunyaan akauntan bank tempatan. Dengan keupayaan membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat, ia masih merupakan antara kereta dengan pecutan hebat walaupun pada zaman ini.

Ferrari 550 Maranello

Walaupun Ferrari terkenal dengan supercar mid-engined keluaran mereka, jangan lupa mereka juga pernah menghasilkan model grand tourer dengan enjin di hadapan. Satu daripadanya adalah 550 Maranello ini yang bukan hanya hebat di litar lumba tetapi juga cukup selesa dipandu di jalan-jalan raya luar bandar pada hujung minggu.

Jangan terpedaya dengan rupanya yang elegan dan usianya yang sebaya dengan bini muda Pok Ya, ia masih mempunyai kuasa yang setanding dengan kereta-kereta moden yang jauh lebih muda darinya.

Dodge Viper

Viper asalnya ialah sebuah model konsep Dodge dan dibangunkan secara berterusan sebagai pengganti model klasik Shelby Cobra yang lebih kecil. Chrysler pada ketika itu merupakan pemilik Lamborghini dan telah meminta mereka agar membangunkan sebuah enjin prototaip.

Produk akhir ialah sebuah kereta sport yang menakutkan dengan enjin 8.0-liter V8. Tanpa sistem kawalan cengkaman ini merupakan sebuah kereta yang mampu mencampakkan anda ke kiri dan ke kanan jika dipandu dengan laju.

Toyota Supra

Ia kini kembali pada tahun ini dengan model baru tetapi fenomena kehebatan Supra ini dibantu oleh enjin tahan lasak berprestasi tinggi mereka – 2JZ-GTE. Enjin tersebut kemudian digabungkan dengan dua pengecas turbo dan mampu memalukan BMW M3 dari segi pecutan. Kuasa enjin dan rupanya yang eksotik membuatkan ia menjadi antara kereta sport terbaik dari Jepun.

Selain daripada itu enjinnya juga mempunyai potensi untuk modifikasi ke tahap yang lebih tinggi dan mampu bertahan tanpa sebarang masalah.

Corvette ZR1

Semasa ZR1 ini dilahirkan, enjin-enjin buatan AS kebanyakannya sedang tenat akibat peraturan keluaran sisa pembakaran yang ketat. Chevrolet bagaimanapun memahami yang ZR1 perlukan enjin yang lebih baik. Selepas penyelidikan dilakukan mereka memutuskan untuk membangunkan sebuah enjin baru untuk GM di kilang Lotus UK.

Hasilnya lahirlah enjin LT5 yang menjadikan ZR1 salah satu kereta keluaran GM yang paling ideal. Dengan 375 hp kuasa maksima ia juga boleh bermain kejar-kejar dengan Ferrari yang jauh lebih mahal harganya.

Honda/Acura NSX

Ia merupakan sebuah jentera mid-engined hebat yang ringkas dan ringan yang dibangunkan oleh Honda dengan bantuan bekas juara Formula 1, Ayrton Senna.

Walaupun kelihatan ringkas, ia sebenarnya sebuah supercar hebat keluaran Jepun yang boleh dipandu setiap hari sama seperti model H lain. Ia tidak cerewet seperti supercar keluaran Itali dan jarang sekali kita dengar kereta ini terbiar begitu saja. Kebanyakannya masih terjaga rapi sekaligus memelihara nilainya sehingga kini.

Lamborghini Diablo

Ia merupakan model yang paling layak menggantikan Countach sebagai poster supercar pilihan. Selain namanya yang sangat cool, kehebatannya juga didorong oleh kekuatan enjin V12 yang membolehkan kereta ini membuat pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 3.4 saat. Pintunya yang dibuka ke atas menambahkan lagi unsur dramatik pada kereta ini.

Toyota MR2

Generasi kedua kereta sports mid-engined keluaran Toyota ini popular dengan jolokan “Ferrari untuk mereka yang kurang kemampuan”, jahat betul mulut manusia nih. Kereta ini sebenarnya lebih hampir kepada Honda NSX berbanding Ferrari. Sama seperti NSX, Toyota turut mendapatkan bantuan pemandu Formula 1 pada peringkat permulaan bagi membolehkan talaan casis dilakukan dengan lebih berkesan.

McLaren F1

Hypercar keluaran Mclaren yang pertama dan dihasilkan untuk menjadi kereta terhebat di dunia. Sama seperti kereta F1, McLaren F1 mempunyai roda stereng yang terletak di bahagian tengah untuk kemudahan kawalan. Bukan itu sahaja, ia juag dihasilkan menggunakan gentian karbon, titanium, magnesium, kevlar dan juga emas. Kalau itu belum cukup untuk digelarkan sebagai lagenda, McLaren F1 GTR juga telah memenangi perlumbaan Le Mans 24-jam pada penyertaan pertama mereka.

GALERI:

Kredit Carbuzz.com

Share this post

scroll to top