6 TANDA-TANDA PALAM PENCUCUH PERLU DIGANTI

SHARE

Jika anda mengalami kesukaran untuk menghidupkan enjin kereta, ia mungkin berkaitan dengan palam pencucuh ataupun kabel nyalaan. Di sini kami sertakan enam tanda-tanda yang perlu anda awasi dan memastikan anda bertindak membawa kereta anda kepada mekanik secepat mungkin bila ia berlaku.

APA TUGAS PALAM PENCUCUH DAN KABEL NYALAAN?

Untuk pengetahunan anda, palam pencucuh, kabel dan komponen voltan tinggi lain berfungsi untuk mencetuskan percikan api yang akan membantu proses pembakaran dalam enjin anda.

  • Kabel ataupun wayar berfungsi mengalirkan arus elektrik dari ignition coil (ataupun distributor) kepada palam pencucuh.
  • Ia seterusnya mencetuskan percikan api pada palam pencucuh dan membantu proses pembakaran campuran bahan api dan oksigen di dalam kebuk pembakaran seterusnya menggerakkan omboh.
  • Omboh akan memberikan kuasa yang diperlukan untuk memutarkan roda dan seterusnya menggerakkan kereta anda.

BACA – TIPS PASTIKAN BATERI TAHAN LAMA

BACA – BAGAIMANA NAK PILIH PELINCIR YANG SESUAI?

Dalam jangka masa panjang, lebihan gas dan bahan api yang tidak terbakar akan mewujudkan lapisan karbon pada palam pencucuh. Ia akan mengurangkan prestasi enjin dan pada masa yang sama membuatkan anda sukar menghidupkan enjin.

BERAPA LAMA PALAM PENCUCUH DAN KABEL NYALAAN MAMPU BERTAHAN?

Palam pencucuh biasanya mampu bertahan sehingga 45,000 kilometer manakala kabel atau wayarnya pula tahan hampir dua kali ganda tempoh tersebut.

  • Tetapi perlu diingat angka ini mungkin berkurangan bergantung kepada cara pemanduan anda dan bagaimana anda menjaga kedua-duanya.
  • Adalah menjadi amalan yang baik jika anda selalu memastikan keduanya diperiksa, dibersihkan ataupun digantikan terus semasa anda membuat pemeriksaan berkala ataupun semasa menukar minyak enjin.

palam-pencucuh

TANDA-TANDA PALAM PENCUCUH DAN KABEL PERLU DITUKAR BARU

Jika anda tidak membuat catatan batuan perjalanan kereta anda, di sini ada beberapa tanda yang boleh anda perhatikan khususnya berkaitan dengan palam pencucuh dan kabel nyalaan.

  1. Enjin berbunyi bising dan tidak sekata

Enjin kereta anda sepatutnya berbunyi dengan sekata dan lancar. Jika ia menghasilkan bunyi di luar kebiasaan, pastikan ia segera diperiksa oleh mekanik.

  1. Kesukaran menghidupkan enjin di waktu pagi

Palam pencucuh yang kotor dan kabel yang rosak akan menyukarkan aliran elektrik yang perlu dihantar untuk menghidupkan enjin. Malah ia mungkin akan menjejaskan bateri kereta. Jika ia berlaku, anda perlu meminta mekanik memeriksa keadaan palam pencucuh dan kabel nyalaan (kereta moden biasanya menggunakan kabel nyalaan yang agak kompleks dan memerlukan peralatan khusus untuk membukanya).

  1. Enjin mengalami pembakaran tidak sekata (misfires)

Deposit karbon yang terhasil pada palam pencucuh akan mengakibatkan satu atau lebih selinder menghasilkan pembakaran yang tidak sekata sekaligus mengurangkan kuasa enjin anda.

  1. Lonjakan kuasa enjin tiba-tiba

Ia adalah keadaan yang cukup bahaya di mana enjin anda berfungsi dengan tidak efisyen. Ia amat bahaya jika anda sedang berada di dalam aliran trafik (contohnya ketika jalan sesak). Jika anda mengalami keadaan ini, segera dapatkan bantuan mekanik professional dengan segera.

  1. Penggunaan bahan api yang tinggi

Palam pecucuh yang haus ataupun kotor boleh meningkatkan penggunaan bahan api sehingga 30 peratus. Jika rasa tempoh isian bahan api anda menjadi semakin kerap, mungkin sudah tiba masanya anda perlu menukar palam pencucuh yang baru.

  1. Kurang kuasa pecutan

Kadang-kala enjin yang semput berkait rapat dengan keadaan palam pencucuh yang kotor. Tukarkan kepada yang baru dan enjin anda akan kembali bertenaga.

palam-plug-pencucuh

Tidak kira sama ada kereta anda model lama atau terbaru, ia perlu sentiasa dijaga dan diberikan perhatian sewajarnya dengan memeriksa paras minyak atau cecair selain komponen-komponen enjin lain seperti palam pencucuh dan kabel nyalaan.

Setiap satunya mungkin akan memanjangkan hayat enjin anda dalam jangka masa yang panjang. Tapi kalau dah malas tak boleh nak buat apalah.

(Visited 25,429 times, 827 visits today)

Share this post

scroll to top