ALAT MISTERI PENCURI KERETA DENGAN SISTEM PUSH-START

SHARE

Kini terdapat teknologi baru yang digunakan oleh pencuri untuk mencuri kenderaan yang menggunakan sistem penghidup tekan-butang (push start)tanpa sebarang bukti ditinggalkan. Malah dikatakan tidak ada apa yang dapat dilakukan pemilik untuk menghalangnya.

Ini adalah berdasarkan laporan Automotive News yang mendakwa pihak NICB (National Insurance Crime Bureau) di Amerika Syarikat telah berjaya mendapatkan dan menguji alat yang mereka gelarkan “alat misteri” yang membolehkan pencuri memecah masuk kenderaan dan melarikannya tanpa memecahkan mana-mana cermin tingkap seperti cara kebiasaan.

BACA – TIPS ELAK KECURIAN KERETA, PESANAN PENJENAYAH

BACA – ELAKKAN HILANG MOTOSIKAL DENGAN TIPS INI

Alat ini didatangkan dengan dua unit, berfungsi dengan mengesan dan memuat turun isyarat daripada kunci kenderaan dari jarak sehingga sepuluh kaki. Bila isyarat telah diterima, alat ini memindahkan data tersebut ke unit yang lebih kecil dinamakan “relay box” yang boleh digunakan untuk membuka dan menghidupkan enjin kenderaan tanpa perlu bersusah payah.

key

Jurucakap NICB, Roger Morris berkata pihak biro telah bekerjasama dengan CarMax, sebuah syarikat pengedar kereta terpakai dan telah menguji alat tersebut ke atas 35 unit kenderaan pelbagai model di lokasi yang berbeza-beza.

Mereka juga telah mengujinya ke atas kereta-kereta baru di sekitar Chicago dalam masa lebih dua minggu. Hasilnya menurut beliau, mereka telah berjaya membuka kunci 19 kereta dan memandu pergi 18 buah daripadanya.

Ini mungkin menjadi peperangan terbaru antara pengeluar kenderaan dengan penjenayah era moden.

Kesedaran terhadap jenayah siber menjadi semakin meningkat dalam beberaapa tahun kebelakangan di mana kenderaan juga sudah menjadi semakin canggih dan mampu berhubung dengan rangkaian pengeluar masing-masing.

Morris juga mengatakan yang adalah agak mustahil untuk mengetahui berapa buah kenderaan yang telah dicuri menggunakan sistem ini kerana ia tidak meninggalkan sebarang bukti. Bahkan kadang-kadang pemilik dan pihak berkuasa juga tidak menyedari akan kewujudan teknologi sebegini, walaupun pihak NICB mula mengesan penggunaan teknologi ini seawal tahun 2014.

TIADA AMARAN & TIADA KESAN

Bahagian yang lebih menakutkan ialah tiada sebarang amaran dan penerangan  yang boleh diberikan kepada pengguna, demikian dinyatakan oleh Joe Wehrle, CEO NICB. Kecuali jika seseorang berjaya merakamkan proses kecurian melalui kamera litar tertutup.

Jika tidak, adalah mustahil untuk pemilik ataupun pihak polis mengetahui apa yang telah berlaku kepada kenderaan tersebut. Ramai di antara mangsa menyangkakan kenderaan mereka telah ditunda pihak berkuasa.

Wade Newton, jurucakap kepada Alliance of Automobile Manufacturers pula menyatakan keselamatan siber sudah menjadi satu isu besar dalam industri automotif. Banyak pengeluar sudah mula menaiktaraf sistem keselamatan masing-masing untuk memerangi jenayah ini tetapi penjenayah juga sentiasa maju seiring dengan kemajuan teknologi masa kini.

Tentu sekali alat sebegini amat berbahaya jika jatuh ke tangan penjenayah. Disebabkan itu jugalah, pihak yang terlibat dalam industri ini tidak digalakkan mendedahkan butir-butir tentang sistem keselamatan yang ada pada kenderaan mereka yang boleh membantu penjenayah mematahkannya.

Sebaik syarikat pengeluar menaiktaraf teknologi keselamatan mereka, para penjenayah juga akan mengambil tindakan yang sama. Ia bagaikan satu pertandingan tarik tali antara keduanya.

Pihak pengeluar juga menyarankan pemilik mengambil inisiatif tambahan dalam menjaga harta benda mereka selain bergantung dengan sistem keselamatan kenderaan.

Jangan meninggalkan baarangan berharga di dalam kereta dan pastikan kereta diletakkan di tempat yang sesuai contohnya lokasi yang ramai orang lalu lalang dan mempunyai pencahayaan yang terang.

Walaupun teknologi ini dikesan digunakan di Amerika Syarikat, tidak mustahil jika ia sudah atau akan dibawa masuk ke negara kita.

Walaupun teknologi penghidup tekan-butang banyak memudahkan kehidupan kita seharian namun inilah harga yang harus kita bayar. Kami harap semua pemilik kenderaan lebih berhati-hati dan peka dengan persekitaran dan keselamatan kenderaan masing-masing.

 

(Visited 359 times, 10 visits today)

Share this post

scroll to top