APA YANG PERLU DIBUAT BILA TERSILAP PAM PETROL/DISEL KE TANGKI KERETA?

SHARE

Sama ada anda menggunakan kereta yang tidak pernah anda gunakan, warna pam bahan api yang kurang jelas ataupun anda sendiri berkhayal sewaktu mengisi bahan api kenderaan anda, memasukkan bahan api yang salah ke dalam tangki minyak memang seringkali terjadi. Baik petrol kepada disel mahupun disel kepada petrol.

Malah biasanya ia berlaku pada masa yang sangat tidak sesuai seperti sewaktu terlewat menghadiri mesyuarat penting ataupun sesi bertemu mata kali pertama dengan bakal mertua.

Lagi best kalau masa sudah semakin suntuk dan anda sedang berkejar ke lapangan terbang sebelum pintu balai berlepas ditutup. Walaupun tidak ada magis yang mampu mengundur masa untuk membetulkan kesilapan, anda boleh mengelakkan kerosakan serius pada kenderaan anda akibat penggunaan bahan api yang salah dengan bertenang dan mengambil tiga langkah penting di bawah.

JANGAN HIDUPKAN ENJIN

Kadang-kadang kita tidak sedar yang kita telah memasukkan bahan api yang salah ke dalam tangki minyak sehinggalah kereta anda sudah tersengguk-sengguk akibat kehilangan kuasa di dalam perjalanan. Jika keadaan tersebut berlaku, tidak banyak yang boleh anda lakukan kecuali menelefon talian bantuan kecemasan dan menunggu kedatangan mereka untuk menyelamatkan keadaan.

Bagaimanapun jika menyedari yang anda telah memasukkan bahan api yang salah ke dalam tangki minyak sebelum menghidupkan enjin, anda memang bernasib baik dan boleh menjimatkan masa dan wang ringgit anda. Ini kerana sebaik saja anda menghidupkan enjin, bahan api yang salah tadi akan segera disedut masuk ke dalam sistem dan akan merosakkan enjin anda.

Biasanya jika kenderaan anda menggunakan disel, pam minyak biasanya akan diselaputi pelincir yang ada dalam minyak disel untuk melicinkan proses. Jika petrol dimasukkan secara tidak sengaja ia akan bertindak sebagai peluntur yang akan menghakis pelincir yang ada dan mengakibatkan bahagian logam bergeser antara satu sama lain.

Sebaliknya jika anda memasukkan disel ke dalam tangki petrol, kadar kerosakannya tidaklah serius sangat tetapi ia masih akan membuatkan kereta anda mengeluarkan asap berkepul-kepul dan sedikit semput. Jalan yang terbaik ialah keluarkan disel yang sudah bercampur dengan petrol itu dengan secepat mungkin.

Dengan tidak menghidupkan enjin anda juga anda telah menyelamatkan wang anda memudahkan tugas mekanik yang datang membantu anda.

BUAT ANGGARAN KUANTITI BAHAN API YANG TELAH DIPAM MASUK

Walaupun cara terbaik menangani masalah ini ialah dengan mengeringkan tangki minyak anda terlebih dahulu, jika anda sedar kesilapan anda sewaktu sedang mengisi minyak, anda mungkin masih boleh menyelesaikan masalah tanpa memanggil bantuan mekanik.

Sebaik sedar akan kesilapan, cuba buat anggaran berapa petrol atau disel yag anda telah tersilap pam masuk. Jika jumlahnya kurang dari 10 peratus kapasiti tangki minyak anda, anda boleh memenuhkannya dengan bahan api yang betul dan pandu seperti biasa. Tetapi jika tidak pasti berapa banyak yang sudah dipam masuk, baik keringkan terus isipadu tangki untuk lebih selamat.

Bagaimana nak tahu? Periksa angka pada pam yang anda gunakan berdasarkan liter kemudian anggarkan kandungan tangki sedia ada.

MINTA BANTUAN MEKANIK

BMW PERKENAL PROGRAM SERVIS BAHARU

Jalan terakhir ialah dengan meminta bantuan mekanik terlatih untuk menyelamatkan keadaan. Jangan cuba nak memandai-mandai kecuali jika anda sendiri memang seorang mekanik terlatih. Untuk mengeringkan tangki bahan api sebenarnya kerja yang agak merbahaya dan mesti dilakukan dengan betul kerana ia mudah terbakar.

Walaupun kemungkinan mereka boleh menyelesaikan masalah ini di tepi jalan di mana kereta anda tersadai, ada kemungkinan kereta anda masih perlu di bawa ke bengkel jika jumlah bahan api yang anda salah masukkan terlalu banyak.

Insiden memasukkan bahan api yang salah bukannya sesuatu yang aneh kerana ia berlaku di seluruh dunia. Jadi jika ia terjadi kepada anda, ingat agar jangan cepat menggelabah dan bertenang. Segera matikan enjin dan dapatkan bantuan mekanik yang bertauliah.

BACA: JERMAN HARAMKAN PETROL/DISEL MENJELANG 2030

BACA: COROLLA HYBRID INI BOLEH DIPANDU 1000KM SETANGKI

Share this post

scroll to top