Artikel Pilihan

BAGAIMANA CARA MUDAH MELETAKKAN KERETA SECARA SELARI? (PARALLEL PARKING)

Hampir semua pemandu dilatih untuk meletak kenderaan dengan baik sewaktu belajar di sekolah memandu tetapi tak ramai yang mahir dengan parkir selari.

Ada yang rela berpusing-pusing mencari petak lain untuk meletakkan kereta mereka lebih-lebih lagi jika petak pakir tersebut terlalu kecil ataupun sekadar muat sebuah kereta.

Ia bukan hanya masalah buat ramai pemandu wanita, malah segelintir pemandu lelaki. Jika anda seorang pemandu terlatih seperti Abang Japar, anda boleh sahaja menarik brek tangan sambil membuat pusingan-J dan terus masuk dalam petak pakir. Kadangkala dilakukan sambil makan roti jala (ok makan roti jala tu tipu).

BACA: 6 BULAN LUPA PARKING KERETA DI MANA

Kami yakin anda semua ada teknik-teknik tersendiri dan boleh dikongsikan jika mahu. Pengalaman memandu juga membantu tetapi kami lebih percaya kepada latihan amali yang dilakukan berkali-kali sehingga berjaya.

Sebenarnya resipi untuk pakir selari ini agak mudah asal sahaja anda tahu cara yang betul untuk melakukannya. Ikuti langkah-langkah yang diterangkan di bawah:

  1. Berhenti di sebelah kereta di hadapan selari dengan petak pakir yang ingin anda masuki. Pastikan posisi gandar belakang anda selari dengan bampar belakang kereta tersebut. Pusingkan stereng ke arah kiri sepenuhnya jika ruang tersebut di sebelah kiri (pusingkan ke kanan jika sebaliknya).
  2. Undur sehingga tayar belakang bahagian dalam anda berada pada garisan luar petak pakir. Betulkan roda stereng dan teruskan mengundur.
  3. Bila tayar belakang bahagian luar sudah berada pada kedudukan di dalam garisan luar, pusingkan roda stereng ke arah bertentangan.
  4. Jika semua berjalan lancar mengikut perancangan, anda sudahpun berada dalam petak pakir tanpa mencalarkan mana-mana bahagian kereta anda. Anda boleh keluar dan memberikan pujian untuk diri anda kerana melakukan tugas dengan baik. Kalau tak jadi, anda bebas untuk mengutuk diri anda sendiri.

Lihat rajah di bawah

DIBUKTIKAN SECARA MATEMATIK!

Satu kajian yang dijalankan oleh University of London dengan kerjasama Vauxhall telah menentukan jarak tambahan yang diperlukan oleh sesebuah kereta untuk membuat pakir selari. Ia bergantung kepada radius pusingan kereta anda (r), jarak tapak roda (l), jarak antara roda hadapan dengan bahagian hadapan kereta anda (k) dan kelebaran kenderaan yang ada di hadapan petak pakir yang anda masuk (w).

ALTERNATIF LAIN 

Tarik brek tangan sambil membuat pusingan-J ala The Italian Job. Ok, yang ini memang kami tidak rekomen tetapi sekadar untuk berkongsi maklumat.

Rekod Guiness untuk kemasukan pakir secara selari dipegang oleh dua orang adik beradik dari England menggunakan Mini asal dengan rekod jarak 5.2 inci. Lihat video di bawah

Tetapi untuk melakukannya dengan lancar, semestinya banyak percubaan telah dilakukan (termasuklah merosakkan bampar krom Mini tersebut beberapa kali).

MENGGUNAKAN PERISIAN PARKIR

Satu lagi cara ialah dengan menekan butang pada kereta-kereta moden yang mempunyai perisian khas untuk memakir kenderaan. Ia akan bergerak sendiri memasuki petak pakir setelah membuat perkiraan yang tepat. Selesai masalah.

Google ads
Back to top button