BAGAIMANA NISMO MUNCUL SEBAGAI LAGENDA

SHARE

Nismo sebagai cabang ataupun bahagian berprestasi Nissan sebenarnya penuh rahsia kerana tidak ramai yang tahu tentang kehebatan mereka. Ia cukup berbeza daripada Divisyen M BMW yang sudah dikenali ramai di seluruh dunia. Kadang-kadang susah untuk menerangkan kepada masyarakat tentang keistimewaan model-model Nismo ni tapi bagi peminat kereta mereka semestinya sudah tahu tentang keistimewaan model-model yang dipasarkan dengan logo Nismo. Nismo betul tahu, bukannya Kancil Nismo, Wira Aeroback Nismo ataupun sebarang model lain dengan stiker Nismo kedai RM2.

Walaupun Nissan sudah melibatkan diri dalam perlumbaan seawal tahun 60-an, hanya pada tahun 1984 barulah mereka membuat keputusan untuk menyatukan dua cabang sukan motor mereka kepada satu. Satu cabang dinamakan Public Division 3 yang dikhususkan untuk menyelia pasukan persendirian manakala Special Car Testing Division pula bertanggungjawab terhadap pasukan factory sebelum keduanya digabungkan menjadi satu di bawah payung Nissan Motorsport yang kemudiannya lebih dikenali dengan nama Nismo.

Peringkat Permulaan

Pada tahun 1986, Nissan buat pertama kalinya menyertai perlumbaan 24-jam Le Mans dan kereta-kereta GT dan prototaip Nismo mula menyertai perlumbaan-perlumbaan endurance lain di seluruh dunia. Nissan juga memperkenalkan Nissan Saurus di Tokyo Motor Show 1987. Ia merupakan model roadster radikal 2-tempat duduk dengan enjin 2.0-liter turbo yang tidak dalam perancangan untuk dipasarkan.

Kemudian Nismo membangunkan versi tempat duduk tunggal dengan casis logam dan komponen badan gentian kaca khusus untuk perlumbaan Saurus Cup.  Ia juga merupakan model yang digunakan di sekolah perlumbaan Nissan sehingga ke hari ini. mereka juga telah memperkenalkan March Cup, yang merupakan perlumbaan khusus untuk Nissan March yang juga dikenali dengan nama Nissan Micra.

Nismo Semakin Dikenali

Nismo kemudiannya menyiapkan Nissan Skyline GT-R R32 yang ikonik untuk perlumbaan dan berjaya merangkul 29 kejayaan dalam 29 perlumbaan yang disertai di Jepun. Mereka juga berjaya memenangi perlumbaan Japan GT selama beberapa tahun berturut-turut. Itulah keunikan GT-R R32 yang mendominasi perlumbaan hampir di seluruh dunia.

Australia merupakan pasaran eksport luar negara pertama Skyline GT-R dan selepas memenangi perlumbaan Australian Touring Car Championship tahun 1990-93, pihak media di sana memberi gelaran ‘Godzilla’ kepada Nissan Skyline R32 bersempena dengan nama sebuah filem raksasa dari Jepun.

Model Nismo R32 kemudiannya digantikan dengan model R33 sebelum ia menjadi kereta produksi pertama yang berjaya membuat catatan masa sepusingan litar Nurburgring dalam masa bawah 8 minit seterusnya menggegarkan dunia.

Model edisi khas R33 400R mampu menghasilkan 400 hp kuasa maksima hasil proses naik taraf enjin dan penggunaan pengecas turbo yang lebih besar. Tapi kemuncak kehebatan sebenar ialah bila R34 V-Spec (Victory Specification) diperkenalkan pada tahun 1994. Bila digandingkan dengan nama Z-Tune, kereta tersebut sekali lagi menaikkan nama Nissan di mata dunia.

Hanya 20 unit Nismo GT-R Z-Tune dihasilkan dan penggunaan gentian karbon yang meluas adalah perkara wajib untuk mengurangkan berat keseluruhan. Enjin 2.8-liter dengan turbo berkembarnya dibina dengan tangan dan dengan kuasa 500 bhp maksima, kereta ini sebenarnya mempunyai tork maksima yang menyamai Lamborghini Huracan.

Mengorak Langkah Ke Pasaran Eropah dan Amerika Syarikat

Selepas menyertai perlumbaan Le Mans dan Japan GT, Nismo semakin dikenali di seluruh dunia. Walaupun GT-R tidak boleh dipasarkan di AS, lagenda Nismo dan Nissan GT-R tetap dikenali terima kasih kepada Playstation melalui permainan Gran Turismo yang dihasilkan mereka.

Pada tahun 2004, trak lasak Nissan Raid telah menyertai perlumbaan Rali Dakar bergandingan dengan lagenda perlumbaan Rali British, Colin McRae. Mereka tidak mengan tetapi Mcrae memberikan pemanduan yang mantap dan berjaya menguasai beberapa peringkat perlumbaan. Tahun yang sam juga menyaksikan Nissan Fairlady Z diperkenalkan dan kemudian telah memenangi perlumbaan Japan GT.

Terus Berkembang  ke Seluruh Dunia

Selepas perlumbaan Dakar, Nismo menyepikan diri sehinggalah mereka membuat pengumuman untuk kembali bersaing dalam perlumbaan baru yang dinamakan FIA GT1 World Championship. Nismo membangunkan model GT1 yang diasaskan dari GT-R. Kejayaan demi kejayaan berjaya diraih oleh Nismo dengan GT-R, model khas GT1 dan jentera lumba LM P2.

Pengenalan siri perlumbaan FIA GT3 membuka ruang kepada Nismo untuk memperkenalkan Nissan GT-R Nismo GT3 dan kemudiannya menyusul pula Nismo GT-R LM. Selain dari itu terdapat juga model unik yang dinamakan Leaf Nismo RC yang merupakan versi perlumbaan Nissan Leaf. Ia cukup cantik, tidak boleh dibeli dan tak ada perlumbaan pun untuk disertai sebenarnya. Tapi ia sebenarnya persediaan awal Nissan untuk menyertai perlumbaan Formula E untuk kereta elektrik seluruh Jepun.

Model Nismo Terkini

Kini sudah beberapa dekad berlalu sejak Nissan mengeluarkan model-model Nissan yang dinaiktaraf. Ia merupakan model-model yang cukup eksklusif tapi jangan lupa model Juke Nismo yang memang dihasilkan untuk bersantai. 370Z Nismo juga masih ada tetapi model ini sudah terlalu lama di pasaran dan perlukan pengganti dengan segera.

Begitu juga dengan dengan Nismo GT-R sekarang, ia juga sudah dimakan usia dan kelihatan agak ketinggalan untuk dibandingkan dengan Porsche dan Chevrolet Corvette terbaru. Walaupun kuasa 600 hp Nismo GT-R masih sukar digugat tetapi seluruh dunia mahu menyaksikan model baru dan apa yang dilakukan oleh Nismo terhadapnya.

Kredit Carbuzz.com

BACA: EVOLUSI 30 TAHUN NISSAN DALAM 2 MINIT YANG CUKUP MENARIK (VIDEO)

BACA: MITSUBISHI ASX 2019 – KINI DENGAN WAJAH DYNAMIC SHIELDS

Share this post

scroll to top