Artikel Pilihan

BALIK RAYA PUNYA CERITA 2017

Lebih kurang seminggu lagi umat Islam bakal pulang beraya di kampung untuk menyambut perayaan Eidulfitri. Izinkan Brader berkongsi sedikit kisah moga menjadi pedoman buat semua dalam menjaga kelaku sewaktu di atas lebuhraya. Moga ianya bermanfaat kepada semua

BACAMARI SAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI BERSAMA HAVAL

BACATAWARAN MENARIK VOLKSWAGEN SEMPENA HARI RAYA

1. Kecergasan pemandu mampu menjadi pemisah antara katil wad kecemasan dengan toto di kampung. Kalau rasa mengantuk memandu siang hari carilah tempat selamat untuk melelapkan mata seketika. Dapatkan rehat yang secukupnya andai nak memandu pulang jauh hingga ke Tumpat misalannya.

2. Sewaktu berhenti tidur sebentar di hentian, bukakan sedikit tingkap bagi mendapatkan pengudaraan segar. Bimbang juga tersedut bahan terlarang waktu tengah lena tu sampai sudah.

3. Tali pinggang keselamatan wajib dipakai dari mula dan bukannya terhegeh-hegeh nak menariknya sewaktu bertembung dengan Penguatkuasa.

4. Usah dibuat perangai menukar lorong sesuka hati sewaktu menghampiri Plaza Tol. Bukan setakat pemandu di belakang marah, Tuhan pun marah der!

5. Memandu di Jalan Persekutuan musim perayaan memerlukan penumpuan yang 200%. Elakkan kenderaan anda menjadi tular di Facebook akibat tersodok dengan bas persiaran bertingkat.

6. Yang pandu kenderaan bersesaran enjin kecil, mohon sedar diri bahawa ianya akan tetap menjadi Myvi atau apa sahaja kenderaan yang dipandu. Sumpah beberapa kali pun tetap takkan berubah menjadi GTR. Usah memandu seperti iblis dengan mengacah nak memotong kenderaan di hadapan tak tentu hala. Kalau anda berhadapan dengan iblis seperti ini, silalah menjauhkan diri daripada mereka. Biar mereka pergi dahulu ke neraka misalannya.

7. Atas lebuhraya, jangan lupa untuk menjarakkan dengan kenderaan di hadapan. Bimbang juga ada kenderaan di hadapan yang tiba-tiba menekan brek secara mengejut dek kerana ada kenderaan lain yang menukar lorong secara tiba-tiba. Dia punya berdebar jangan cakaplah.

8. Disebabkan kesesakan adalah sesuatu yang mudah diramal, maka kebarangkalian untuk merasa bosan dan mengantuk juga benda yang boleh dijangka. Maka kemaskini status di Facebook adalah jawapannya. Tetapi awas, jangan terleka hingga mengakibatkan di hon kereta belakang akibat ralit sangat.

9. Bila dah sesak, maka kebarangkalian nafsu untuk menggunakan lorong kecemasan agak tinggi juga, iya tak? Ingat, usah dialirkan tunai ke kerajaan walaupun anda baru sahaja mendapat BRIM.

9. Sewaktu bertembung dengan kemalangan, cuba elakkan memandu terlalu perlahan untuk melihat-lihat. Ini siap boleh free gear lagi semata-mata nak melihat dengan lebih jelas. Bimbang juga kenderaan di belakang batal puasa akibat berbakul carutan yang telah dilemparkan. Doakan sahaja yang baik-baik buat mereka yang ditimpa musibah. Ingat, usah ditambah bara yang tersimpan.

10. Seeloknya sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman, ikhtiarkanlah untuk membawa bekalan makanan untuk berbuka/bersahur. Penuh adalah sesuatu yang mudah untuk diteka di mana-mana RNR.

11.  Ada orang berkata, sewaktu memandu tu ingatlah yang tersayang. Sesekali tu, ingatlah juga insan yang  tidak berapa nak sayang,  Doktor sama pemandu Ambulan misalannya. Tapi sebenarnya, ingatlah Allah itu paling Afdal orang kata. Eceh!

12. Pesanan penutup. Jangan memandu sebelah tangan gaya orang malas. Dia punya bahaya sama sahaja dengan bermain mercun buatan sendiri. Nak cerita kebarangkalian yang berlaku pun banyak sangat. Malas pula nak ulas. Ngeri orang kata.

P/S : Brader Karrager mendoakan agar kesemuanya selamat pergi dan pulang. Ingat, pandu dengan berhemah dan jangan pandu macam iblis.

Google ads

B K

Back to top button