Artikel Pilihan

BAR PENGUKUH CASIS – PERLU ATAU TIDAK

Bila bermain dengan modifikasi kenderaan, salah satu benda wajib yang perlu ditingkat taraf tentunya bahagian pengendalian atau dengan kata yang lebih mudah untuk anda faham ialah bagaimana menjadikan sesebuah kenderaan itu mudah dikawal atau stabil tak kira sama ada ketika berubah arah atau bergerak dalam keadaan lurus.

Dalam fikiran anda tentunya dah terbayang suspensi boleh laras berharga ribu riban, rim besar dan tentunya jenama tayar terbaik. Namun tahukah anda pengendalian yang cemerlang juga datang dari faktor pengukuhan casis yang baik. Dalam artikel ini pengukuhan casis bermaksud talaan pada badan kenderaan dengan pemasangan pepalang besi atau lebih dikenali sebagai bar atau braces di bahagian tertentu kenderaan. Logiknya di sini, setiap kali kenderaan bergerak atau berubah arah, ia akan mewujudkan pembengkokan sementara (bending moment), jadi di sinilah pepalang ini akan memainkan peranan dalam meminimakan keadaan tersebut.

Sebelum pergi lebih lanjut, terdapat juga pendebatan hangat mengenai fungsi bar pengukuh casis ini yang mana ada yang mengatakan pepalang besi ini sekadar hiasan atau sekadar menambah faktor ‘bling’ dalam ruang enjin kerana dalam era moden yang mana kereta-kereta terkini sudah memiliki casis yang lebih rigid dan padu misalnya dengan teknologi HPF kereta-kereta ini secara asalnya sudah mengurangkan masalah ‘chasis flex’. Namun ramai juga bersetuju pemasangannya pada sesebuah kereta moden atau lama akan memberi kesan positif yang ketara dari segi pengendalian kenderaan.

Pepalang pengukuh casis ini secara asasnya amat ringkas yang mana ia akan mengikat point-point tertentu pada bahagian-bahagian kenderaan yang cenderung untuk meregang, terherot atau berubah kedudukan apabila kenderaan berubah arah atau dalam tekanan tertentu. Ia sekali gus mengekalkan kedudukan geometri bahagian yang terlibat. Contoh pepalang yang popular dipasang tentunya strut bar depan yang memegang dua point atas penyerap hentak kereta. Ada juga jenama-jenama tertentu yang mendakwa produk mereka mampu mengurangkan impak pada casis kenderaan jika berlaku kemalangan.

Kalu dikira dari segi kos, bahagian ini dikira paling murah untuk peningkatan sistem pengendalian dan pemasanganya juga dikatakan memberikan kesan serta merta pada pemandu. Pepalang apa yang perlu dipasang bergantung pada corak pemanduan anda. ‘Feel’ pemandu amat penting dalam bentuk talaan sebegini. Jadi pilih bahagian mana yang anda rasakan penting dan perlu ditingkatkan. Mungkin dengan hanya memasang strut bar sudah cukup untuk karekter pemanduan seseorang. Kalau tak cukup lagi, poket pun tebal silalah pasang strut bar belakang, anti roll bar, under braces, fender bar dan seterusnya. Pemasangannya mudah dan halal berbanding ‘roll cage’.

Namun ada juga aspek negatif yang perlu diberi pertimbangan ketika anda mengambil keputusan untuk memasang pepalang-pepalang ini. Memang ada produk ini yang diperbuat dari karbon fiber tapi kebanyakkannya adalah dari keluli padu yang tentunya menambah berat kenderaan dan tentunya beban yang lebih berat akan memberi kesan pada tahap pengunaan bahan api. Selain itu bila casis sudah memiliki tahap kelenturan yang rendah, beban untuk menyerap tekanan pada sistem suspensi akan bertambah sekali gus aspek ‘understeer’ atau ‘oversteer’ akan menerima kesan.

Kesimpulannya di sini, perlu atau tidak ia bergantung kepada tahap pengendalian yang anda inginkan. Kalau boleh, buatlah research, tak pun bereksperimenlah sedikit demi mendapat pengendalian terbaik mengikut citarasa anda.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button