Artikel Pilihan

BENARKAH KERETA YANG CANGGIH HASILKAN PEMANDU YANG LEBIH BERBAHAYA?

Teknologi yang dibangunkan untuk menjadikan kereta lebih selamat memang cukup mengkagumkan. Contohnya ialah crumple zone, beg udara dan sistem kestabilan elektronik. Sukar digambarkan bagaimanakah komputer ditala agar boleh meramalkan keadaan yang bakal berlaku berdasarkan sensor ataupun input dari bahagian roda. Ia juga mampu mengawal gelinciran roda sehingga batasannya dan mengenakan tekanan brek yang tepat pada roda yang berbeza pada masa yang sama. Adakah ini teknologi ataupun kuasa sihir?

Tidak dapat dinafikan kemajuan dalam teknologi keselamatan automobil memang berkembang cukup pesat. Bahkan syarikat seperti Volvo mengatakan tidak ada seorang pun akan terbunuh ataupun mengalami kecederaan parah dalam model-model terbaru mereka menjelang 2020. Tambahan pula Volvo merupakan syarikat yang pertama menghasilkan tali pinggang keledar seperti kita gunakan hari ini. Volvo juga membenarkan kesemua pengeluar menggunakan tali pinggang keledar ciptaan mereka untuk tujuan keselamatan.

Tahun depan tali pinggang keledar yang kita gunakan akan menyambut ulang tahun ke-50. Bayangkan jumlah nyawa yang telah diselamatkan. Jadi jika Volvo mendakwa tiada siapa akan mati ataupun cedera dalam kereta baru mereka, ia merupakan satu kenyataan yang berasas. Kenapa tidak?

Merekalah yang telah memperkenalkan pre-collision braking dan lane assist – ia merupakan gabungan teknologi yang mengesan haiwan besar dan penunggang basikal ataupun motosikal yang kemudiannya dihubungkan dengan sistem ABS, EBD, kawalan kestabilan selain beberapa kamera dan radar untuk mengawasi kenderaan anda dalam lingkungan 360 –darjah.

Tapi semua teknologi di atas masih belum mampu mengawal satu faktor yang paling penting – pemandu itu sendiri. Semua ciri keselamatan di atas sebenarnya akan melahirkan pemandu yang kurang peka, pemalas dan semestinya cukup berbahaya.

Satu ketika dahulu, jika seorang pemandu ingin menukar lorong di jalan raya, beliau akan menyalakan lampu isyarat membelok, melihat cermin pandang belakang dan sisi sama ada ia selamat untuk dilakukan. Malah ramai yang akan menoleh ke sisi untuk melihat bahagian titik buta (blind spot) sama ada selamat ataupun tidak. Kini pemandu cuma perlu melihat penunjuk pada bahagian cermin yang akan menyala jika ada halangan. Itu belum termasuk pelbagai amaran dan bentuk bunyi yang akan menyedarkan pemandu jika terdapat kenderaan di bahagian blind spot.

BACA: ATAS SEBAB KESELAMATAN, SUBARU MUNGKIN HENTI GUNA TRANSMISI MANUAL

Kita kini telah terbiasa dengan teknologi dan mula bergantung sepenuhnya kepada teknologi dengan meninggalkan terus deria asas yang selama ini membentu kita mengelakkan bahaya. Bila renung kembali memang ianya cukup berbahaya sebenarnya. Contohnya sistem brek kenderaan, kita tahu yang sistem brek sudah semakin maju.

ABS contohnya membolehkan kita menghentikan kenderaan dengan lebih baik berbanding asal menyebabkan kita sentiasa membrek agak lambat berbanding 30 tahun dahulu kerana kita yakin ABS akan menghentikan kenderaan kita dengan selamat. Sebenarnya fungsi ABS bukanlah untuk menghentikan kenderaan dengan cepat tetapi membolehkan kita mengelak halangan dalam keadaan kecemasan jika kita tidak mampu menghentikan kenderaan serta merta.

Kita menuju ke dunia serba malas di mana kita yakin akan selamat dengan dipandu dan dibantu oleh peralatan berteknologi tinggi. Peliknya teknologi ini sepatutnya meningkatkan lagi tahap keselamatan dan bukannya menjadikan kita pemandu yang berbahaya. Ramai pemandu moden lupa hakikat yang pemanduan merupakan aktiviti yang berbahaya dan memerlukan tumpuan penuh (yang guna telefon pintar semasa memandu memang sudah pasti soket sel otaknya sudah tercabut).

Kita juga sudah lupa yang sewaktu bergerak dari titik A ke titik B, kita sebenarnya sedang mengawal jentera seberat hampir 1.5 tan gabungan antara logam, kaca dan plastik. Malahan ia dikuasakan pula oleh enjin pembakaran dalaman dengan letupan di bahagian kebuk pembakaran dan bahan api yang cukup mudah terbakar. Dengan cara mudah kuasa pemusnah yang mampu dihasilkan sebuah kereta adalah melebihi kuasa tembakan sepucuk pistol automatik.

Pemandu terdahulu memang sangat menghormati keupayaan sesebuah kenderaan sebab itulah mereka memandu dengan lebih cermat dan cukup mementingkan isyarat-isyarat pemanduan. Sekarang ni kereta moden mempunyai pengelap cermin automatik dan lampu hadapan nyalaan automatik. Kami biasa juga jumpa setengah kereta yang dipandu tanpa menyalakan lampu pada waktu malam (mungkin dia ingat Myvi ada fungsi itu kot).

Sebelum adanya tali pinggang keledar dan tempat duduk kanak-kanak, ibu bapa memandu dengan cukup cermat kerana bagi mereka nyawa anak-anak adalah sangat berharga. Sekarang, hmm pagi tadi baru je kami nampak Puan Schumacher bawa kereta sambil memangku anak. Maklumlah kereta sekarang kan ada beg udara, tak gitu?

Kalau begitulah tabiat memandu kita pada masa sekarang, mungkin cara paling selamat ialah dengan menggunakan kenderaan autonomi sepenuhnya.

Google ads
Back to top button