Artikel Pilihan

BERAPAKAH KOS SEBUAH KERETA PERLUMBAAN GRAND PRIX FORMULA SATU?

Tahun ini merupakan tahun terakhir kita akan menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij Formula Satu. Bermula tahun hadapan, para peminat F1 di Malaysia cuma berpeluang menyaksikan perlumbaan ini melalui televisyen ataupun secara atas talian.

Ini kerana kita telah membuat keputusan untuk menarik diri dari menjadi tuan rumah dan sebab utama Malaysia menarik diri dari menjadi penganjur ialah faktor kos yang cukup tinggi dan tidak memberikan pulangan yang setimpal.

Tidak dinafikan yang F1 sememangnya satu sukan permotoran yang memerlukan belanja yang sangat besar. Tahukah anda berapa kos sebuah kereta F1? Adakah sama dengan Tiara Special Edition yang memerlukan perlindungan insuran pihak ketiga dan cukai jalan tak sampai RM seratus? Teruskan membaca dan kami akan cuba menerangkan berapa kos yang diperlukan untuk menghasilkan dan menyelenggara sebuah kereta F1.

PASUKAN BESAR BELANJA PUN BESAR

Pasukan ternama seperti Ferrari, McLaren dan Red Bull membelanjakan sekitar USD320 juta setahun. Ini termasuklah kos kereta, pengurusan, gaji pemandu dan beberapa kos lain yang tidak dapat dielakkan. Pasukan lain pula membelanjakan sekitar USD70 juta setahun untuk semua kos yang disebutkan di atas, jadi kos yang ditanggung adalah cukup besar.

Di bawah ini kami senaraikan kos-kos yang melibatkan kereta sahaja termasuklah kos komponen-komponen utama pada kereta tersebut.

Komponen Kos satu unit
Enjin USD8 juta
Casis gentian karbon USD675,000 setiap casis
Sayap hadapan & muncung bentuk kon USD170,000
Sayap belakang & DRS untuk bantuan memotong USD82,000
Roda stereng USD50,000
Tangki bahan api USD110,000
Sistem hidraulik USD165,000
Kotak gear USD490,000
Sistem penyejuk USD160,000
Jumlah keseluruhan Hampir USD10 juta untuk sebuah kereta

Anggaran yang disebutkan di atas cuma melibatkan komponen utama kereta tidak termasuk kos lain yang perlu ditambah untuk memastikan kereta tersebut mampu berlumba di atas litar. Sekarang kami tambah lagi kos yang perlu ditanggung oleh syarikat untuk perlumbaan lengkap bagi satu musim.

KOS ENJIN KERETA FORMULA 1

Anggaran kos sebuah enjin F1 ialah dari USD8 hingga ke 10 juta. Ia merupakan komponen yang cukup istimewa dan menentukan nasib sesebuah pasukan. Perbelanjaan untuk enjin juga meningkat tahun demi tahun demi mendapatkan sebuah enjin dengan teknologi terbaik.

Banyak syarikat utama membeli enjin mereka dari Jepun. Peraturan F1  menetapkan, bermula tahun 2014 enjin yang digunakan mestilah enjin V6 1.6-liter berkuasa turbo. Selepas itu hampir kesemua pasukan membelanjakan sekitar USD14 juta untuk enjin yang ditingkat taraf.

TAYAR KERETA F1

Satu lagi komponen utama kereta F1 ialah tayar. Kemenangan banyak bergantung kepada jenis tayar yang digunakan selain dari faktor lain contohnya kemahiran pemandu, enjin dan lain-lain lagi.

Pembekal tayar F1 yang utama ialah syarikat Pirelli dari Itali. Jurucakap Pirelli pernah memberitahu yang mereka terpaksa mengeluarkan bajet yang lebih untuk menghasilkan tayar yang sesuai untuk kegunaan pasukan F1 berbanding tayar-tayar profil rendah lain keluaran mereka untuk setahun.

KOS BAHAN API KERETA F1

Secara anggaran, setiap pasukan menggunakan sekitar 200,000 liter petrol setiap tahun dengan kos yang mencecah USD450,000. Bahkan ia juga merupakan petrol berkualiti tinggi dan bukannya RON95 yang kita gunakan setiap hari.

Itulah antara kos yang diperlukan bagi membina dan mengoperasikan kereta-kereta F1. Itu belum termasuk kos-kos lain seperti gaji pemandu, logistik, iklan dan macam-macam lagi.

Pendek kata tak ada yang murah pasal F1 ni kecuali topi pasukan F1 buatan Guanzhou yang biasa kita beli dan pakai untuk  melaram ke hulu ke hilir.

BACA: 10 PEMANDU F1 TERBAIK SEPANJANG ZAMAN

BACA: NICO ROSBERG SELFIE KALI TERAKHIR

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button