Artikel Pilihan

BOSCH – GERGASI KEJURUTERAAN DARI JERMAN

Robert Bosch GmbH ataupun lebih dikenali dengan nama Bosch di seluruh dunia merupakan sebuah syarikat kejuruteraan yang mengeluarkan pelbagai peralatan elektronik yang beribu pejabat di Stuttgart, Jerman. Mula ditubuhkan pada tahun 1886, Bosch merupakan pengeluar komponen automotif terbesar dunia pada tahun 2011. Walaupun kini persaingan daripada syarikat lain adalah cukup hebat, Bosch masih lagi merupakan antara nama besar dalam bidang penghasilan komponen kenderaan.

Apakah produk-produk Bosch?
Ramai antara kita akan terlintas palam pencucuh bila dengar nama Bosch. Memang produk utama Bosch ialah komponen automotif seperti brek, sistem kawalan, sistem bahan api, elektronik, motor penghidup, sistem stereng dan banyak lagi.

BACA: TEKNOLOGI KENDERAAN MASA HADAPAN OLEH BOSCH

Bukan itu sahaja Bosch turut menghasilkan barangan kegunaan industri selain barangan industri pembinaan dan barangan elektrik kegunaan rumah. Jangan terkejut kerana Pak Amid pun pernah pakai telefon tangan keluaran Bosch suatu masa dahulu.

Walaupun kebanyakan kilang Bosch berada di Jerman dengan jumlah pekerja yang melebihi 100,000 orang, mereka turut memiliki cawangan hampir di seluruh dunia. Antaranya termasuklah Amerika Syarikat, Brazil, China, Perancis, Turki, Jepun dan banyak lagi termasuklah di Malaysia.

Komponen Automotif
Hampir 60 peratus perolehan tahunan Bosch disumbangkan oleh sektor komponen automotif mereka. Bosch telah mencipta magneto praktikal pertama yang berfungsi seperti palam pencucuh pada masa kini. Malah logo syarikat ini juga turut melambangkan sebuah magneto awal keluaran mereka.

Bosch juga merupakan pengeluar terawal sistem ABS (Anti-lock Braking System) yang sudah menjadi peralatan wajib pada kesemua kereta moden. Mereka juga menjadi pendahulu dalam membangunkan sistem kawalan cengkaman TCS (Traction Control System) dan ESP (Electronic Stability Programme).

Produk lain pula termasuklah sistem kuncian berpusat dan kawalan elektronik untuk tingkap, pintu dan juga tempat duduk. Itu belum termasuk bahagian enjin seperti sensor oksigen, sistem suntikan bahan api dan pam minyak. Malah mereka turut mengeluarkan produk lain seperti pengelap cermin dan kipas penyejuk enjin.

Bosch juga turut mengeluarkan sistem stereo dan dan navigasi untuk kenderaan dan turut membekalkan teknologi hibrid disel-elektrik kepada Peugeot.

Barangan pengguna
Bosch juga merupakan pengeluar alat-alat berkuasa atau power tool seperti gergaji elektrik, gerudi elektrik, dril dan banyak lagi. Terdapat pelbagai pilihan untuk semua golongan sama ada untuk professional, amatur ataupun mereka yang sukakan kerja-keja DIY (do-it-yourself).

Bosch turut mengeluarkan produk untuk keselamatan seperti CCTV dan penggera. Macam kami beritahu tadi, Bosch pernah mengeluarkan telefon mudah alih untuk satu ketika dari tahun 1996 sehinggalah pengeluaran terakhir pada tahun 1999 dengan model Bosch 909 Dual S. Kini mereka telah meninggalkan industri pembuatan telefon mudah alih.

BACA: TEKNOLOGI INFORMATIF MOTOSIKAL MASA HADAPAN

Bosch juga telah membesarkan lagi penguasaan mereka dengan pembelian 50 peratus pegangan dalam satu lagi syarikat Jerman, Siemens AG pada tahun 2014 sekaligus menjadikan mereka antara pengeluar peralatan elektrik rumah terbesar di Jerman.

 

 

Google ads
Back to top button