Artikel Pilihan

DAIHATSU YRV – MINI MPV UNIK DENGAN PENDESAK TURBO

Daihatsu umum dikenali sebagai pakar kepada pengeluaran keluaran bersaiz kompak. Daripada Sirion, membawa kepada jenama Move, sememangnya Daihatsu dianggap handal dalam bab itu. Dan kalau bercerita tentang Mini MPV, Daihatsu mempunyai sebuah model yang boleh dianggap handal suatu ketika dahulu, YRV. Sebuah Mini MPV dengan saiz yang lebih kurang Move, tetapi mempunyai rekaan aerodinamik yang jauh lebih baik dan tidaklah terlalu kelihatan seperti ‘mesin basuh’ sangat. Apatah lagi dengan kehadiran enjin YRV yang kini boleh dianggap sebagai lagenda, K3-VET.

BACA : PERODUA KENARI YRV – MUJUR PARTS MOVE DAH MAKIN MURAH

BACA : BUKAN ACAH-ACAH POWER, MYVI+K3VET MEMANG POWER!

Daihatsu YRV atau pun nama panjangnya, Young Recreational Vehicle dibina di Jepun antara tahun 2000 sehingga ke tahun 2005 sahaja. Suatu kitaran hayat yang ngam-ngam buat sebuah kenderaan. Model yang pada mulanya bertujuan menggantikan Daihatsu Gran Move, sebuah MIni MPV, dengan saiz yang lebih besar berbanding Daihatsu Move yang biasa.

Rekaan luar YRV ini sememangnya kelihatan unik tetapi cukup praktikal yang mampu menambat minat golongan muda di era pasca Milenium ketika itu. Dengan muncung bonet yang condong ke bawah, membolehkan pemandunya ‘memotong angin’ ketika ingin memecut laju.

Daihatsu YRV ini juga mempunyai garisan tingkap antara bahagian depan dan belakang yang tidak selari, cuba lari dengan tipikal rekaan kenderaan yang ada. Walau pun nampak macam tidak berapa ‘ngam’ tetapi ianya berjaya memberikan ilusi ‘tajam’ dari pandangan sisi.

Itu belum lagi lubang hidung lebar dan menipis, memberikan isyarat kepada kereta lain usah diajak YRV ini berlumba di persimpangan lampu isyarat. Di dalamnya tersemat kemas enjin yang menjadi igauan budak-budak Kenari terlebih dahulu, K3-VET. Sebuah enjin bersesaran kecil tetapi mempunyai kuasa setanding dengan kereta yang mempunyai enjin 1.8 liter. Kuasa tujahannya juga cukup tinggi untuk kenderaan sekecil ini, 125.4 lb.ft serta mempunyai kuasa 129hp. Tidak hairanlah sekiranya enjin ini dijadikan sebagai jalan pintas kepada pencinta kelajuan.

Sungguhpun kereta ini mampu memecut dari titik pegun ke angka 100km/j dalam tempoh 8.1 saat sahaja, namun pemiliknya suatu ketika dahulu tidak terlalu begitu bimbang untuk kerap ke petrol pam. Ianya masih boleh dikategorikan sebagai kenderan jimat bahan bakar. Sudahlah berkuasa, jimat minyak pula tu.

Agak sayang juga apabila produksi YRV ini tidak lagi disambung lagi. Cumanya Daihatsu telah menggantikan dengan model Daihatsu Materia, yang mana ianya dibina berkongsi dengan Toyota (Toyota bB & Subaru Dex). Iyalah, zaman ini semua benda kena berkongsi untuk memaksimakan keuntungan.

Tapi jelmaan kelibat YRV ini masih boleh dilihat di Tanah Melayu apabila jantungnya banyak disumbat ke dalam Perodua. Jadilah kan. Merasalah juga turbo 1.3 ni, iya tak?

 

 

Google ads

B K

Back to top button