GEELY BINYUE – KENAPA IA BOLEH GUGAT SUV KOMPAK SEDIA ADA DI MALAYSIA?

SHARE

Sedia maklum bahawa Proton akan melancarkan SUV pertamanya, X70 ke pasaran tempatan secara rasmi pada 12 Disember depan.

Menjadi produk pertama hasil kerjasama dengan Geely, X70 jelas mendapat sembutan memberangsangkan daripada pengguna tempatan.

Mitsubishi YE-Triton-Mrec-Desktop

Bukan sahaja angka tempahan yang sudah melebihi 10,000 unit. Malah, ruang pameran Proton di Acara KLIMS 2018 dilihat sentiasa dipenuhi pengunjung yang mahu melihat X70 secara dekat.

Rata-rata pengunjung juga menyatakan rasa kagum terhadap reka bentuk, teknologi serta kualiti binaan SUV tersebut. Kalau dinilai dari segi indikator itu sahaja, tidak mustahil X70 boleh menjadi model terlaris Proton tidak lama lagi.

Ketika kita asyik bercerita tentang X70, jangan lupa bahawa Geely juga ada memperkenalkan model SUV kompak yang dikenali sebagai Binyue ke pasaran China baru-baru ini.

Jika melihat kepada minat pengguna yang semakin terarah kepada kenderaan SUV, pengenalan Binyue ke pasaran tempatan pastinya satu pendekatan bijak. Apatah lagi ketika Proton sedang berusaha untuk kembali bangkit menjadi jenama automotif pilihan seperti yang pernah dinikmatinya dahulu.

Secara peribadinya, saya melihat Binyue sebagai model yang lebih menarik berbanding X70. Kenapa? Kerana Binyue merupakan pesaing langsung kepada SUV kompak seperti Honda HR-V, Toyota C-HR, Hyundai Kona, Ford Ecosport dan Haval H2.

Inilah segmen SUV yang paling mendapat perhatian pengguna kerana harganya lebih murah, kompak dan sesuai untuk kegunaan di bandar.

Sebagai perbandingan, Binyue dijual pada harga bermula RM45,000 hingga RM71,000 di China. Jangan harap harga begitu kalau ia dijual di sini. Tetapi, secara realistiknya, ia mungkin boleh ditawarkan pada harga bermula RM70,000 dan bawah RM100,000 seunit.

Sebagaimana yang pernah dilaporkan sebelum ini, Binyue merupakan model kedua yang dibina di atas platform BMA yang dibangunkan bersama di antara Geely dan Volvo.

Sebagai satu platform modular, BMA boleh diskala dan bersifat fleksibel. Maka, walaupun ia nampak kompak, Geely memberi jaminan bahawa ruang dalamannya tetap luas untuk keselesaan penumpang.

Sekali pandang, Binyue sememangnya memiliki rekaan sporty yang boleh menarik perhatian pelanggan muda. Ia boleh dilihat dengan jelas menerusia reka bentuk bahagian hadapan dengan sepasang lampu utama LED nipis, garis badan yang maskular dan rekaan bahagian belakang yang ringkas, tetapi elegan.

Selain rekaannya yang kompak, Binyue digerakkan oleh rangkaian kuasa yang canggih. Di China, SUV itu didatangkan dengan dua pilihan enjin iaitu 1.5 turbo (dibangunkan bersama Volvo) dan 1.0 liter turbo.

BACA: GEELY BIN YUE – CROSSOVER SEGMEN B SELEPAS PROTON X70?

Sudah pasti enjin 1.5 turbo yang mampu menjana kuasa 174hp dan tork 255Nm itu lebih menarik. Ini kerana ia dipadankan dengan transmisi klac berkembar automatik yang membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 7.9 saat. Penggunaan bahan api pula sekitar 6.1l/100km.

Enjin 1,0 liter juga tiada kurangnya. Namun di China, enjin berkuasa 136PS dan tork 305Nm hanya dipadankan dengan kotak gear manual. Sedia maklum bahawa transmisi manual sudah hampir tiada untuk kereta penumpang baharu di Malaysia.

Geely menjadikan Binyue semakin menarik menerusi pelbagai ciri canggih di ruang kabin. Antaranya ialah ekosistem pintar Geely GKUI generasi terkini Geely Auto. Sistem tersebut membolehkan pemandu memberi arahan suara, selain membuatkan mereka sentiasa terhubung dengan dunia luar.

Melihat kepada foto yang disediakan, harus akui rekaan dan susun atur kabin Binyue memang moden. Geely menyatakan rekaan itu diinspirasikan daripada kokpit jet pejuang.

Pemandu dihidangkan dengan panel instrument LCD bersaiz tujuh inci yang menjadi pusat kepada paparan maklumat multimedia, navigasi dan bantuan pemanduan. Bahagian tengah papan pemuka pula dipasang dengan paparan berdefinisi tinggi bersaiz 10.25 inci, bersama nisbah lebar skrin 8:3.

Binyue dilengkapi sistem pemanduan autonomi Tahap 2 yang merangkumi Kawalan Jelajah Pintar dan Bantuan Parkir Automatik. Dari segi keselamatan pula, jentera tersebut dipasang dengan sistem kawalan keselamatan elektronik, brek kecemasan autonomi bersama pengecaman pejalan kaki, sistem pemantauan tekanan tayar, perakam pemanduan HD, kamera 360 darjah dan banyak lagi.

Saya yakin ramai yang tidak sabar untuk menunggu Proton melancarkan Binyue di Malaysia!

Share this post

scroll to top