HAMPIR DILUPUS AKIBAT TSUNAMI, TOYOTA COROLLA 1400SR INI AKHIRNYA BERJAYA DISELAMATKAN

SHARE

Pada 11 March 2011, dunia dikejutkan dengan bencana tsunami yang melanda kawasan timur laut Jepun. Kemusnahan akibat tsunami yang berpunca daripada gempa bumi Tohoku sememangnya amat besar. 

Di sebalik kisah-kisah sedih itu, sebuah kereta membuktikan kasih sayang seorang lelaki, Masayuki Watanabe terhadap Toyota Corolla miliknya mendapat perhatian ramai.

Toyota Corolla 1400SR milik Watanabe ini ialah model yang sangat rare, walaupun di Jepun kerana ia hanya dihasilkan selama setahun sahaja. Coupe ini mengalami kerosakan teruk selepas dibawa arus sejauh 30 meter daripada tempat parkirnya.

Imej-imej ini dipaparkan oleh sebuah majalah kereta klasik terkenal Jepun, Old-timer dan nyata menyentuh hati ramai orang. Malah, kereta yang digelar ‘Miracle Corolla’ ini menjadi simbol tentang harapan dan daya ketahanan orang Jepun untuk kembali bangkit selepas berdepan dengan bencana.

Apabila melihat keadaan kereta tersebut, Watanabe sebenarnya sudah hendak melupuskannya. Tetapi, selepas membuat pemeriksaan lanjut dia mendapati kereta yang remuk dan dimasuki air sepenuhnya itu masih boleh dibaiki.

“Selepas tiga hari mencari, baru saya jumpa kereta ini tersadai pada sebatang pokok. Seorang kawan dari Tokyo memberitahu kereta ini boleh direstorasi,” cerita Watanabe.

Kemudian, pasukan editorial majalah Old-timer menawarkan diri untuk menyelamatkan dan mengkoordinasi kerja-kerja restorasi penuh. Ia juga mengumpul sumber untuk mendapatkan alat ganti serta buruh daripada para pembacanya.

Selepas lima tahun, Toyota Corolla 1400SR itu diserahkan kembali kepada Watanabe-san dalam satu majlis di hadapan rumahnya di wilayah Miyagi. Saluran televisyen Jepun, NHK turut membuat liputan penyerahan kereta tersebut.

Menurut Watanabe, dia sangat berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan. Dia juga mahu melupakan segala kesedihan dan meneruskan hidup dengan keretanya itu.

BACA: REVOLUSI TOYOTA COROLLA – GENERASI PERTAMA HINGGA KE-11

Kerajaan Jepun menganggarkan tsunami tahun 2011 telah memusnahkan kira-kira 200,000 buah kenderaan.

sumber teks/foto: blog Toyota UK

GALERI

(Visited 8,024 times, 57 visits today)

Share this post

scroll to top