INI IALAH MODEL-MODEL LAMBORGHINI YANG PALING EKSTREM PERNAH DIHASILKAN

SHARE

Jika anda inginkan supercar Itali yang seksi dapatkan sebuah Ferrari tetapi jika anda inginkan sesuatu yang lebih ekstrim dan menonjol, Lamborghini adalah jawapannya. Mereka merupakan raja supercar ekstrim dari dulu dan cukup berjaya memasarkannya ke seluruh dunia. Jadi untuk meraikan kejayaan Aventador SVJ menguasai litar Nurburgring, kami telah memilih 10 model Lamborghini paling ekstrim untuk tatapan anda.

Marzal

Ini merupakan sebuah model konsep Lamborghini yang pernah muncul di Geneva Motor Show 1967. Ia adalah hasil rekaan Marcello Gandini dari Bertone. Ia adalah sebuah model 4-tempat duduk penuh dan dikuasakan oleh enjin 6-selinder pertama mereka. Menariknya enjin 2.0-liter yang mampu menghasilkan 175 bhp kuasa ini diasaskan daripada enjin 4-liter V12 yang dibahagi dua.

Bukan itu sahaja, ciri pelik lain kereta ini ialah bahagian pintunya yang mempunyai bahagian kaca yang besar. Khabar angin bertiup mengatakan Ferruccio Lamborghini tidak berminat mengeluarkan model ini kerana bimbang bahagian kaca tersebut akan mendedahkan bahagian kaki penumpang wanita (Mulia betul hati beliau kalau benar, awek sekarang pakai baju kurung pun ketat-ketat pun selamba je kan?).

Miura P400 Jota

Ia bukan sekadar sebuah Lamborghini tercantik pernah dibina, ia juga dikatakan supercar pertama di dunia yang dihasilkan dengan konfigurasi mid-engine. Daripada pelbagai versi Miura, P400 Jota merupakan versi yang paling ekstrim. Ia dihasilkan oleh Bob Wallace, pemandu penguji Lamborghini sebagai memenuhi peraturan Appendix J FIA. P400 Jota dimodifikasi secara menyeluruh pada bahagian casis dan enjin untuk memenuhi syarat tersebut. “Jota” dalam bahasa Sepanyol bermaksud huruf ‘J’.

Bahagian logam pada casis telah digantikan dengan loi aluminium ringan yang dinamakan Avional begitu juga dengan panel-panel badan. Kaca tingkapnya pula telah digantikan dengan plastik untuk meringankan berat secara ekstrim. Kuasa enjin pula telah ditingkatkan ke 440 hp berbanding 365 hp asal. Hanya satu unit dihasilkan dan telah dijual kepada seorang pembeli individu. Kereta ini telah terlibat dalam kemalangan pada bulan April 1971 dan terbakar sepenuhnya sampai jadi abu, RIP.

P140 Concept

Lamborghini Gallardo telah disifatkan sebagai penyelamat Lamborghini bila ia mampu dijual dengan laris sepanjang tempoh pengeluarannya. Walaupun model konsep Cala dikatakan sebagai pendetus idea model-model V10 Lamborghini tapi sebenarnya konsep seumpamanya telah muncul 16 tahun lebih awal dan dinamakan P140 Concept. Ia dikuasakan oleh enjin V10 4.0-liter dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5 saat dan 295 km/j kelajuan maksima. Ia berdasarkan ujian yang dilakukan di litar Nardo, Itali.

Model konsep ini yang dihasilkan daripada aluminium dan serat karbon bagaimanapun mempunyai masalah dengan sistem penyejuk menyebabkan ia dibatalkan. Tambahan pula pada masa yang sama Lamborghini sedang fokus kepada abangnya yang lebih besar, Lamborghini Diablo.

Countach Turbo S

Siapa yang tidak suka dengan Lamborghini Countach, penggantu kepada Miura dan salah satu model yang namanya tiada kaitan dengan mana-mana lembu laga popular seperti Lamborghini lain. Bukan itu sahaja Countach juga merupakan poster bilik tidur pilihan peminat supercar di seluruh dunia selama hampir 5 dekad. Daripada lapan varian Countach yang pernah dihasilkan termasuklah Walter Wolf Countach, Turbo S merupakan varian yang paling ekstrim.

Kenapa? Kerana Countach Turbo S menggunakan enjin 4.8-liter V12 dengan pengecas turbo berkembar. Ia juga mempunyai kawalan tekanan boost yang membolehkan pemandu menetapkannya pada tahap antara 0.7 sehingga 1.5 bar. Kuasa maksimanya pula ialah 748 bhp dan membolehkannya memecut sehingga ke 335 km/j.

Diablo GTR

Jika Countach ialah poster pilihan tahun 80-an, Diablo pula ialah penggantinya pada dekad 90-an. Diablo yang bermaksud syaitan dalam bahasa Sepanyol memang cukup popular dan mempunyai penampilan yang ekstrim. Ia juga terkenal kerana sukar dikekang walaupun menggunakan sistem pacuan semua roda.

Varian paling ekstrim dinamakan Diablo GTR yang digunakan untuk perlumbaan. Ia bukan hanya lebih berkuasa berbanding model asal tetapi ia juga jauh lebih ringan dengan segala peralatan seperti stereo, penyaman udara dan segala peralatan tidak perlu dikeluarkan sepenuhnya. 40 GTR dihasilkan bersama dengan 40 casis gantian jika ia terlibat dalam kemalangan sewaktu perlumbaan.

BACA: 10 FERRARI TERHEBAT YANG BELUM TENTU BOLEH DIMILIKI WALAUPUN ANDA BERDUIT

Egoista

Egoista merupakan model konsep Lamborghini hasil lakaran Walter de Silva. Beliau juga adalah pereka kepada Miura dan supercar terkenal Audi, R8. Tapi Egoista adalah jauh lebih ekstrim dan berbeza 200 peratus dengan Yamaha Ego. Ia merupakan sebuah konsep yang berfungsi sepenuhnya dan dihasilkan sempena ulangtahun Lamborghini yang ke 50.

Dikuasakan oleh enjin V10 5.2-liter, rekaan Egoista adalah cukup ekstrim seolah-oleh sebuah model dari siri kartun  Speedracer. Namanya yang berbunyi angkuh sesuai dengan kereta ini yang cuma boleh membawa seorang penumpang sahaja. Nak tumpang? Jangan harap.

Sesto Elemento

Namanya membawa maksud ‘Elemen keenam’ dan bertepatan dengan karbon sebagai elemen keenam dalam jadual berkala unsur, Sesto Elemento sebenarnya diasaskan daripada model Gallardo Superleggera dengan jumlah produksi hanya 20 unit sahaja. Ia adalah cukup ringan dengan penggunaan gentian karbon secara menyeluruh dalam penghasilannya.

Ia juga dikatakan sebuah model hardcore kerana semua peralatan untuk keselesaan dibuang sepenuhnya dan tempat duduk karbonnya dilekatkan terus ke bahagian casis. Walaupun cukup mahal kesemua 20 unit telah dijual sebelum sempat dilancarkan.

Veneno

Dihasilkan khas untuk sambutan ulangtahun ke 50 Lamborghini, Veneno diasaskan daripada model Aventador tetapi dengan garisan badan berbeza dan kuasa yang telah ditingkatkan. Ia dilancarkan di Geneva Motor Show 2013 dengan hanya tiga unit dikeluarkan. Setiap satunya diwarnakan dengan warna berbeza sempena warna-warna pada bendera Itali.

Veneno Roadster diperkenalkan pada tahun 2014 dengan hanya 9 unit dikeluarkan. Sekali lagi semuanya habis terjual sebelum sempat dilancarkan.

Centenario

Ini pula varian Aventador yang dihasilkan sempena ulangtahun Ferrucio Lamborghini yang ke-100. Sama seperti Veneno, ia juga dilancarkan di Geneva Motor Show tapi kali ini tahun 2016. Ia mempunyai rekaan luar yang cukup ekstrim dan dihasilkan sebanyak 40 unit. 20 coupe dan 20 roaster, semuanya juga habis terjual menjelang tarikh pelancarannya.

Terzo Milllennio

Membawa maksud millenium ketiga, ia merupakan model konsep hasil usahasama Lamborghini dan MIT (Massachusetts Institute of Technology). Walaupun berkuasa elektrik, Lamborghini menjelaskan yang mereka tidak mempunyai rancangan untuk mengeluarkan model elektrik dalam masa terdekat.

Terzo Millennio tidak menggunakan bateri konvensional biasa sebaliknya menggunakan supercapasitor berkuasa tinggi yang mampu menyerap dan membebaskan tenaga dengan pantas dan menyalurkannya kepada empat motor elektrik pada bahagian tayar.

Walaupun bukannya konsep dengan fungsi penuh ia dikatakan mempunyai keupayaan pemanduan autonomi baik untuk digunakan di jalan raya tapi juga litar lumba. Ada tak kami bagitahu yang kereta ini mempunyai teknologi nano yang membolehkannya membaiki sendiri kerosakan pada panel badan jika berlaku kemalangan? Ini dah kira teknologi Star Trek.

Share this post

scroll to top