INILAH KERETA-KERETA YANG DIHASILKAN MENGGUNAKAN EMAS DAN PELBAGAI LOGAM MAHAL LAIN

SHARE

Dalam dunia automotif kelas mewah, penggunaan logam mewah seperti emas bukan satu perkara baharu. Kalau dah namanya jutawan mestilah si pemilik mahukan kereta mereka kelihatan lebih hebat berbanding orang lain. Tapi tidak ramai yang tahu sebenarnya hampir kesemua kereta moden menggunakan logam berharga seperti platinum dan palladium dalam proses pembuatan khususnya pada bahagian pengubah pemangkin. Tapi kali ini kami lebih fokus kepada sesuatu yang lebih istimewa dan bukannya dikeluarkan dalam skala besar.

McLaren F1

Ia merupakan hypercar 3-tempat duduk ikonik dekad 90-an dan juga pemegang rekod kelajuan dengan menggunakan enjin V12 6.1-liter buatan BMW. Ia bukan hanya ringan tetapi perekanya menempah dan memasang lapisan emas 24-karat kepada F1 dengan satu tujuan, iaitu sebagai penebat haba.

Kenapa emas? Kerana ia merupakan penebat haba terbaik pada masa tersebut. Jadi faham sendiri lah kenapa McLaren F1 begitu berharga sekarang. Ia bukan hanya mempunyai prestasi dan kelajuan yang dibanggakan tetapi ia juga mempunyai ‘barang kemas’nya yang tersendiri.

Lykan Hypersport

Lykan merupakan antara hypercar yang paling eksklusif dan dihasilkan dalam jumlah yang cukup kecil. Ia menggunakan enjin 3.7-liter twin turbo sumbangan RUF yang mampu menghasilkan 780 hp kuasa. Ia juga telah terpilih untuk menyertai skuad kereta peronda mewah polis Dubai. Dengan nilai eksklusivitinya bukannya sesuatu yang mustahil yang ia boleh diberikan kemasan menggunakan emas sebenar.

Pelanggan juga boleh memilih benang emas mewah sebagai kemasan jahitan tempat duduk dan begitu juga lampu hadapannya yang juga boleh diserikan dengan berlian sebenar untuk menjadikannya lebih istimewa.

Koenigsegg Agera S Hundra

Koenigsegg sudahpun dikenali ramai kerana menggunakan pelbagai material unik dalam pembuatan kereta mereka. Mereka juga merupakan perintis kepada penggunaan gentian karbon selama hampir dua dekad.

Model Agera S Hundra ini merupakan tempahan isitimewa pelanggan dari Hong Kong dan panel-panel badannya dihasilkan daripada gentian karbon yang langsung tidak dicat. Bukan itu sahaja, ia kemudian dikemaskan dengan elemen emas 24-karat sebagai penyudahnya.

Carlsson CS50 Versailles

Carlsson memang sudah terkenal kerana menghasilkan banyak model pelik diasaskan dari platform Mercedes-Benz. Tapi model CS50 ini memang telah membawa mereka naik ke satu tahap lagi. 25 unit dihasilkan dan kebanyakannya terjual di China dan Timur Tengah dan setiap satunya dihiasi dengan lapisan kerajang emas asli luar dan dalam.

Tengoklah gambar yang disertakan dan anda akan dapat saksikan sendiri entah berapa kilo emas yang telah digunakan untuk menyiapkannya.

McLaren SLR Emas Putih

Yang ini memang sulit sikti dan maklumatnya memang susah nak dapat. Mercedes-Benz SLR McLaren ini adalah kepunyaan seorang billionair dari UAE dan sering dilihat di jalan raya Dubai dan juga Monaco. Khabar angin menyatakan yang ia diberikan kemasan luaran daripada emas putih sebenar.

Tapi yang memusykilkan kami ialah emas putih mempunyai sifat yang sangat lembut dan tidak sesuai dijadikan kemasan luaran kereta. Apatah lagi bila kereta tersebut selaludigunakan di UAE. Secara realiti ia sebenarnya hanyalah sebuah kereta yang diberikan balutan krom yang semakin popular sekarang.

Nano Goldplus

Ini sebuah model yang ironik. Tata Nano merupakan kereta termurah di dunia. Tapi apa yang akan berlaku bila ia ‘dipakaikan’ dengan hampir 60 kilogram barang kemas daripada emas 22-karat? Semestinya harganya akan melambung bukan? Semestinya, dan ia kini dianggarkan bernilai melebihi RM18 juta.

Mansory Bugatti Veyron Linea Vincero d’Oro

Mana boleh lengkap tanpa model yang diubahsuai oleh Mansory, syarikat tuner selepas jualan yang terkenal dengan ubahsuai yang berlebihan dan melampaui pemikiran. Sebaik diserahkan kepada Mansory ia segera diberi balutan gentian karbon dan disudahkan dengan lapisan kerajang emas asli di bahagian dalam dan luar kereta. Hanya sebuah model Vincero d’Oro dihasilkan menjadikan ia cukup eksklusif.

McLaren Speedtail

Sebagai pengganti kepada McLaren F1 ia sememangnya cukup laju dan bakal dibina dalam jumlah yang sama seperti F1 – 106 unit. Menariknya ia turut ditawarkan dengan elemen emas 18-K khususnya pada bahagian emblem. Kalau ada yang tidak suka emas ia juga boleh dihasilkan daripada platinum dan kalau ada masih tidak puas hati, pilihan terakhir ialah emblem dari komposit karbon.

Share this post

scroll to top