Artikel Pilihan

ISUZU 4200R – MODEL KONSEP ISUZU YANG TELAH MENGHILANG

Generasi baru mungkin cuma mengenali Isuzu melalui kenderaan-kenderaan berat keluaran mereka dan semestinya trak pikap mereka yang cukup popular, Isuzu D-Max. Mungkin ramai juga yang tidak tahu yang Isuzu ni bukan hanya pengeluar trak ringan dan berat malah mereka juga merupakan pengeluar kereta penumpang sebelum ini. Malah mengikut sejarah Isuzu, mereka pernah mengeluarkan kereta hasil perjanjian usahasama dengan Wolseley dari England pada tahun 1922.

Kereta pertama ciptaan Isuzu sepenuhnya dinamakan Bellel dan bersaing dengan Toyota Crown dan Nissan Cedric suatu ketika dahulu di Jepun. Ia kemudian diikuti dengan Isuzu Bellet dan Isuzu 117 Coupe yang cukup terkenal di negara matahari terbit suatu ketika dahulu.

BACA: SELAMAT ULANGTAHUN KE 100 ISUZU MOTORS!

Tahun 80-an pela menyaksikan kemunculan model-model seperti Gemini dan Impulse. Isuzu meninggalkan terus segmen kereta penumpang pada tahun 2002 tetapi sebelum itu mereka pernah menunjukkan model konsep mereka yang futuristik di Tokyo Motor Show 1989. Ianya sebuah model konsep sport yang dinamakan 4200R.

4200R merupakan sebuah model coupe dengan enjin di tengah yang hampir menyamai De Tomaso Pantera. Maklumlah, perekanya pun orang yang sama. Andainya Honda NSX tidak dipamerkan buat pertama kalinya pada Chicago Auto Show tahun tersebut rasanya 4200R ini akan menjadi model paling menyerlah dari Timur ketika itu.

Rekaannya yang dinamik memang cukup menarik perhatian ramai ketika itu tetapi ada lagi bahagian lain yang cukup berbaloi dihayati. Walaupun mempunyai enjin yang bersaiz agak besar, 4.2-liter V8 yang mampu menghasilkan 350 bhp kuasa maksima, kabinnya masih agak luas untuk empat penumpang dewasa (hampir menyamai keluasan kabin Lotus Evora).

Bahkan kereta ini turut mempunyai sentuhan Lotus khususnya pada bahagian suspensi. Secara teorinya, kereta ini dikatakan mempunyai sistem suspensi aktif yang boleh dilaras antara keselesaan dan sport. Ia cukup menakjubkan sebenarnya pada zaman itu kerana teknologi suspensi aktif hanya dipekenalkan penghujung tahun 80-an. Itu pun untuk kegunaan kereta-kereta F1!

Dengan respon yang positif daripada pengunjung ramai menyakini yang Isuzu akan memberikan lampu hijau untuk pengeluaran 4200R. Malah kerja-kerja yang dijalankan ke atas enjin 3.5-liter V12 seolah memberi tanda yang ia akan dihasilkan. Bagaimanapun sebaliknya berlaku.

Menjelang pertengahan 1990, Isuzu mengutamakan pembangunan trak pikap dan kenderaan komersil lain, projek kereta sport telah digantung. Tidak diketahui selama mana 4200R ada dalam simpanan Isuzu tetapi bintang utama Tokyo Motor Show 1989 itu telah dileraikan dan yang tinggal hanyalah gambar-gambar dan cetakan media sebagai kenangan kepada mereka yang terlibat dalam projek ini. Projek sebuah model konsep sport coupe yang tergantung begitu sahaja.

Gambar-gambar yang ada buat masa sekarang adalah koleksi daripada Shiro Nakamura, ketua studio rekaan Isuzu di Eropah. Beliaulah yang telah mengembalikan memori kereta ini kepada generasi sekarang walaupun cuma dalam bentuk virtual reality.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, Nakamura dikatakan telah berpeluang bertemu dengan Kazunori Yamauchi (pencipta permainan video perlumbaan popular Gran Turismo), yang kemudiannya bersetuju untuk memuatnaikkan kereta ini ke dalam permainan video beliau.

Selepas berusaha beberapa tahun, Nakamura boleh berpuas hati apabila hasil kerja tangan beliau telah menjelma dalam bentuk virtual reality melalui permainan Gran Turismo, lengkap dengan perinciannya dan sejarah kereta itu sendiri. Fizikal kereta ini mungkin tidak dapat dilihat lagi tetapi dengan adanya 4200R di dalam permainan Gran Turismo membolehkan generasi baru melihat sendiri betapa hebatnya model konsep sport yang pernah dihasilkan Isuzu pada tahun 1989.

GALERI:

Google ads
Back to top button