Artikel Pilihan

ISUZU COMO F1 – TRAK PIKAP SUPER DENGAN NADI F1 SEBENAR

Dari dulu sampai sekarang trak pikap memang merupakan kepakaran Isuzu. Mereka juga memang pakar dalam menghasilkan enjin disel dan memang ia sudah sinonim dengan jenama mereka. Tapi jangan terkejut kerana mereka juga mampu menghasilkan enjin dengan spesifikasi Formula 1. Buktinya ialah trak pikap konsep yang dinamakan Isuzu Como F1 yang dilengkapi dengan enjin perlumbaan 3.5-liter V12.

Sampai sekarang kalau seut nama Isuzu memang tak ramai yang angkat kening kecuali jika anda peminat lori ataupun bas. Walaupun mereka pernah menghasilkan kereta penumpang dan model konsep tetapi ia memang bukan asas perniagaan mereka. Mereka lebih terkenal sebagai pengeluar kenderaan perdagangan dan enjin disel. Tapi antara tahun 80-an ke 90-an, Isuzu memang pernah mengeluarkan beberapa model yang agak ekstrim antaranya ialah Isuzu Vehicross SUV, model konsep yang kemudiannya dikeluarkan dalam jumah yang terhad.

Tapi jangan pandang sebelah mata kerana Isuzu pernah mempunyai aspirasi untuk menyertai perlumbaan paling berprestij di dunia, Formula 1.

Percubaan pertama Isuzu bermula pada tahun 1991 dalam usaha membawa nama Isuzu ke persada dunia perlumbaan sebenar. Dengan senyap-senyap mereka telah berjaya menghasilkan enjin 3.5-liter V12 DOHC yang mampu menjana 640 bhp kuasa pada 12,000 rpm. Enjin yang dinamakan P799WE ini dihasilkan dengan mematuhi semua piawaian yang ditetapkan oleh Formula 1.

Apa yang perlu kemudiannya ialah sebuah kereta. Pada masa yang sama juga pasukan Lotus sedang mencari enjin yang sesuai untuk kegunaan kereta lumba 102C mereka. Keduanya kemudian bergabung dan Isuzu bersetuju untuk menjadi pembekal enjin untuk pasukan Lotus pada musim 1992.

Ia memberikan persembahan yang baik sewaktu diuji di litar Silverstone dan menghasilkan bunyi yang sungguh lunak didengar. Ternyata bukan hanya pakar dalam menghasilkan enjin-enjin disel.

BACA: ISUZU 4200R – MODEL KONSEP ISUZU YANG TELAH MENGHILANG

Sayangnya hasrat Isuzu untuk bersaing dalam F1 tidak tercapai gara-gara masalah ekonomi yang melanda Jepun dan menjejaskan syarikat. Mereka terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Lotus tetapi pada masa yang sama mempunyai enjin hebat yang kini tersadai.

Untuk mengelakkan pembaziran, pihak syarikat membuat keputusan untuk melengkapkan enjin P799WE dengan cara yang unik iaitu pada sebuah trak pikap.

Hasilnya lahirlah sebuah trak pikap super yang memang mencabar logik akal manusia. Direka oleh Simon Cox, ia memang merupakan sebuah model trak pikap yang cukuo berbeza. Ia mempunyai pintu gaya gunting Lamborghini, rekaan yang aerodinamik dan kuasa yang lebih besar dari McLaren F1 bila ia dihasilkan kelak.

Walaupun spesifikasi sebenar tidak pernah didedahkan tapi dari pandangan kasar kita tahu yang ia memang berkuasa dan lebih praktikal, mungkin.

Como F1 Super Truck memang merupakan sebuah kereta konsep yang penting sekitar 90-an. Mana ada pikap lain yang dikuasakan oleh enjin F1 seumpamanya dalam dunia ni. Ia juga merupakan satu petanda akan kemampuan sebenar Isuzu dalam kejuruteraan automotif. Macam mana agaknya kalau satu hari nanti mereka tergerak hati untuk mengeluarkan jentera-jentera hebat seperti ini?

Kredit Carthrottle.com

Google ads
Back to top button