JUBLI PERAK 25 TAHUN MITSUBISHI LANCER EVOLUTION – DEFINISI SEDAN LAJU SEBENAR

SHARE

Mitsubishi Lancer Evolution kini sudah pun boleh membuat sambutan jubli perak kerana sudah memasuki usia 25 tahun sejak ia mula diperkenalkan. Ia juga merupakan satu pencapaian gemilang Mitsubishi yang telah menyambut ulang tahun ke 100 tahun sebelum ini. Dilahirkan sebagai model homologasi khusus untuk rali, ia kemudiannya dijelmakan sebagai sebuah kereta penumpang ekonomi dan menjadi sanjungan di seluruh dunia. Inilah model yang paling hampir dengan jentera rali dan boleh digunakan di jalan raya.

Pada peringkat awal, Mitsubishi sendiri tida mengetahui potensi kereta ini yang akan menawan dunia selama 25 tahu. Pada peringkat awal nama Lancer Evolution masih belum digunakan tetapi sebaik diperkenalkan ia mula menjadi model projek gerakan kebangkitan syarikat-syarikat tuner menjelang tahun 2000.

Ia memecahkan rekod di serata dunia dan memberikan gambaran bagaimana rupa sebenar kereta laju. Jika di Malaysia ada Lan Pet Pet dan Lan Kristal, di Jepun pula model ini diberi gelaran “LanEvo” tapi bagi kita di Malaysia dan warga Barat, ia lebih dikenali dengan nama “Evo”.

Disebabkan tiga generasi pertama Evo adalah agak sama, kami akan ceritakan sedikit sebanyak tentang Evolution I, Evolution II dan Evolution III sekaligus dalam artikel ini. Kenapa? Kerana generasi pertama inilah yang membuka jalan dan teknologi baru untuk Evo di belakang hari.

Mitsubishi bukannya menghasilkan Evo secara membabi buta kerana mereka sudahpun mempunyai 20 tahun pengalaman dalam perlumbaan rali menggunakan model Lancer dan cukup berjaya.

Untuk rekod, Mitsubishi telah menyapu bersih kedudukan podium pada Australian Southern Cross Rally tahun 1973 manakala Andrew Cowan secara berseorangan pernah memenangi lima kejuaraaan berturut-turut antara 1972-1976 dengan menggunakan Lancer. Itu belum termasuk kejayaan Joginder Singh yang telah memenangi Rali Safari di Afrika dua kali berturutan dan semuanya denga menggunakan kereta ringan buatan Jepun yang diubahsuai daripada model standard kilang.

Sebelum Lancer Evo dikeluarkan, jentera rali utama Mitsubishi ialah Galant VR4 yang dibangunkan daripada Starion Group B sebaik siri rali tersebut dimansuhkan. Enjin 4G63 dan sistem AWD yang ada padanya kemudian digunakan pada Galant VR4 yang bakal berlumba dalam Group A FIA.

BACA: MITSUBISHI LANCER EVOLUTION TOMMI MAKINEN – PADU!

Galant VR4 kemudiannya mula menyerlah dalam perlumbaan rali dunia sehinggalah pada tahun 1992, peringkat rali mula menggunakan jalan-jalan yang sempit dan lebih mencabar. Jenama saingan seperti Toyota dan Subaru pula mula menggunakan model dengan casis yang lebih kompak menyebabkan Mitsubishi mengikut jejak yang sama. Segala teknologi yang ada pada Lancer VR4 telah diturunkan pula kepada model yang lebih kecil, Lancer.

Lancer adalah 10 inci lebih pendek diukur dari depan ke belakang berbanding Galant dan hampir 245 kilogram lebih ringan berbanding Galant. Bila digabungkan dengan enjin berkuasa 247 hp, anda kini mempunyai kereta dengan kelajuan peluru berpandu di atas darat (nak kasi sedap cerita).

Kehebatan Lancer Evo banyak disumbangkan oleh enjin paling terkenal buatan Mitsubishi, 4G63. Ia merupakan sebuah enjin DOHC dengan kepala aluminium, 4-injap setiap selinder lengkap dengan pengecas turbo dan intercooler. Enjin ini boleh dikatakan tidak mempunyai cacat cela sehingga ia mampu dikeluarkan secara berterusan dari tahun 1981 sehinggalah 2015.

Enjin ini juga merupakan enjin berprestasi tinggi yang telah ditala dengan baik dari kilang untuk potensi maksima. Sedikit pengubahsuaian biasa pada enjin ini dan angka kuasanya akan melonjak 40 bhp dengan mudah.

Satu lagi kehebatannya ialah ia mudah diperbaiki dan diselenggara. Ia belum campur lambakan alat ganti yang mudah diperolehi di serata dunia. Bukan itu sahaja, sistem AWD memastikan kereta ini mempunyai pecutan sehebat pelari Jamaica.

Bahagian lain mempunyai ciri yang sama seperti Galant VR4 khususnya sistem transmisi manual, suspensi dengan topang MacPherson dan dua jenis LSD berdasarkan varian.

Tidak cukup dengan Evo standard yang sudah menggegarkan jiwa dan raga pemandu lain di jalan raya, Mitsubishi turut menjual varian yang lebih hardcore yang dinamakan Mitsubishi Lancer Evolution RS. Ia merupakan sebuah model strip down ataupun yang telah diringankan tanpa ciri keselesaan biasa seperti tingkap berkuasa dan sistem ABS. Malah rim pun dibekalkan dengan rim besi kerana mereka yakin pemilik akan menukarnya sebaik saja dibeli. Diet serius itu amat berkesan kerana Evo RS adalah 70 kilogram lebih ringan berbanding Evo GSR.

Evo RS turut dilengkapi dengan LSD mekanikal berbanding dengan GSR yang menggunakan differential viscious coupling. Pemandu biasa mungkin tidak dapat merasai perbezaannya tetapi di tangan pemandu professional, LSD mekanikal ini terbukti cukup berkuasa. Varian RS dikeluarkan pada setiap generasi Evo dan memang menjadi buruan peminat di seluruh dunia.

Disebabkan kereta ini dihasilkan khusus sebagai homologasi Group A WRC, Mitsubishi tidak pernah mengiklankannya tetapi khabar tentangnya tersebar dengan cepat di kalangan peminat dan 2,500 unit  telah dijual hanya dalam masa 3 hari sehingga Mitsubishi menambah pengeluaran ke 5,000 dan semuanya habis dijual.

Tanpa melengahkan masa Mitsubihi terus menghantar Evo ke medan perlumbaan. Dalam penyertaan pertama Group A WRC, mereka telah mendapat tempat kelima keseluruhan  walaupun gagal menaiki podium.

Selepas itu ia mula menyerang perlumbaan rali lain di serata dunia danmula mencipta kejayaan antaranya ialah 1000 Lakes Rally di Finland, Rali Australia dan Safari Rally dan mendapat tempat kedua.

Falsafah Mitsubishi ialah jangan perbaiki benda yang belum rosak diteruskan dengan generasi kedua Evo dikenali dengan Mitsubishi Lancer Evolution II. Tidak banyak pembaharuan dilakukan kecuali menyesuaikannya dengan keperluan WRC. Enjin disemula dan intake baru membebaskan 9 lagi kuasa kuda tambahan.

Untuk kestabilan, jarak tapak roda dipanjangkan 10mm, trek dilebarkan sedikit dan tayar dipadankan dengan rim popular dari OZ Racing. Keteguhan casis ditingkatkan dan ratio gear diturunkan. LSD mekanikal kini menjadi standard membolehkan pengambilan selekoh yang lebih baik.

Dilihat dari luar, perbezaan yang ketara hanyalah pada bahagian bumper hadapan dan spoiler belakang. Bahagian lain tidak banyak bezanya dengan generasi sebelumnya.

Evo II lebih menonjol dalam arena WRC apatah lagi bila digandingkan dengan pemandu lagenda Mitsubishi, Tommi Makinen. Gandingan ini membawa Evo kepada kedudukan yang lebih baik termasuklah penyudah di podium.

Evo III yang paling ikonik muncul pada tahun 1995 dengan rupa paras yang lebih agresif termasuklah bahagian intercooler yang menonjol dan spoiler belakang yang besar gedabak tetapi cukup berfungsi untuk downforce dalam kelajuan tinggi.

Kini ia mempunyai 270 hp, hanya sejengkal daripada had yang ditetapkan dalam ‘Gentleman’s Agrement’. Dengan Evo III juga Mitsubishi telah memperkenalkan sistem Post Combustion Control System (PCCS), sistem anti-lag untuk memastikan turbin kekal berputar ligat bagi mengurangkan lag. Ingat Evo III hitam yang telah mengalahkan AE86 Takumi Fujiwara dalam siri mangga Initial D? Sistem inilah yang menjadikan Evo tersebut sangat laju dalam apa jua situasi.

Ia merupakan teknologi yang dibangunkan untuk kereta F1 tapi spesialnya Evo III ini kerana ia turut dilengkapkan dengan sistem yang sama. Tapi walaupun ia dimuatnaik dari kilang ia sebenarnya dalam keadaan pasif dan hanya diaktifkan jika digandingkan dengan ECU Ralliart dan beberapa modifikasi lain.

Sebaik mengambil tempat Evo II dalam saingan WRC, Evo III ini memastikan cabaran Mitsubishi bertambah garang dan mengekori rapat Subaru bagi kategori pengeluar. Bermulalah satu epik baru dalam perlumbaan WRC.

Tiga generasi Evo yang pertama inilah yang telah merintis jalan yang kemudiannya diteruskan oleh generasi IV sehinggalah X. Ia merupakan kejayaan terbesar Mitsubishi sehinggalah mereka mengambil keputusan menamatkan pengeluarannya tanpa khabar ia akan disambung kembali. Itulah detik hitam bagi peminat Evo di seluruh dunia. Sedih ooo.

 

Share this post

scroll to top