KAWASAKI RACING CAR, MODEL PERLUMBAAN YANG TERBIAR

SHARE

Siapa yang tidak kenal dengan Kawasaki Heavy Industries (KHI) dengan produk motosikal dan kejuruteraan mereka yang berteknologi tinggi. Kehebatan mereka dalam menghasilkan pelbagai jenis motosikal dari paling kecil, sehinggalah H2R yang paling laju di dunia memang tidak perlu diragui lagi. Tapi bagaimana jika mereka pernah cuba menghasilkan sebuah kereta lumba? Kawasaki Racing Car? Pernah dengar tak?

Pengeluar motosikal lain yang termasuk dalam The Big Four memang pernah terlibat dalam perlumbaan kereta. Honda sudah sinonim dengan F1 dan tidak perlu diragui. Mereka juga cukup berjaya sebagai pengeluar kereta baik kompak mahupun eksotik seperti Honda NSX. Yamaha juga pernah membantu Toyota dalam menghasilkan kereta dan menyumbangkan teknologi walaupun tidak berapa diketahui umum. Suzuki pula juga mempunyai perusahaan pengeluaran kereta mereka sendiri walaupun tidak sedominan Honda. Kawasaki?

Jika dilihat pada latar belakang KHI, mereka memang mempunyai pelbagai cabang perusahaan seperti penerbangan, perkapalan, keretapi dan sebagainya. Cuma kereta bukan bidang mereka tetapi bukan bermakna mereka tidak berkemampuan dalam menghasilkannya.

BACA: YAMAHA PERNAH MEMBINA SEBUAH KERETA -SUPERCAR YANG HEBAT OX99-11

Sebenarnya Kawasaki banyak menghasilkan model-model prototaip dari konsep kei-car sehinggalah ke model-model sport tetapi tidak ada satupun yang memasuki fasa pengeluaran.

Okey projek Kawasaki Racing car ini sebenarnya dimulakan di Amerika Syarikat dan bukannya di Jepun. Ia dimulakan pada tahun 1970 dan menyerupai kenderaan Artic cat Snowmobile. Disebabkan jentera snowmobile Kawasaki yang digunakan dalam perlumbaan snowmobile di Amerika begitu berjaya, mereka bercadang menghasilkan kereta lumba dengan teknologi yang sama. Ia juga dikatakan bakal dipamerkan sewaktu pusingan promosi perlumbaan snowmobile di Minneapolis serta perlumbaan AMA Grand Prix di litar Laguna Seca.

Untuk memenuhi perancangan tersebut, pihak Kawasaki telah merekrut juruteknik yang juga merupakan pelumba mereka, Harvey Aschenbrenner untuk membangunkan kereta lumba baru. Harvey diberikan sepuluh bulan untuk mengubahsuai jentera snowmobile dengan enjin 2-lejang selinder berkembar, 440cc menjadi sebuah kereta lumba. Mereka berhasrat mencipta sebuah kereta lumba yang laju dan juga berupaya mencatatkan masa sepusingan yang terbaik. Dengan kata lain ini memang projek Mission Impossible.

BACA: REPLIKA MONSTER TAJIMA – SUZUKI JIMNY PIKES PEAK DARI KINOKUNI AUTO

Harvey melakarkan idea beliau hanya dengan menggunakan beberapa helaian kertas dan pensil. Ye lah, ini tahun 1970 mana ada perisian 3D seperti masa sekarang. Struktur casis dihasilkan daripada keluli tahan karat dan juga aluminium. Bahagian luar pula dihasilkan daripada gentian kaca untuk mengekalkan berat yang minima. Ia direka berulang kali untuk memperbaiki tahap aerodinamik yang ada padanya.

Itu bahagian yang senang, bahagian yang paling sukar ialah untuk mengubahsuai enjin 2-lejang snowmobile yang biasa menjadi sebuah enjin berprestasi tinggi. Malah pada saat itu Harvey cuma mendapatkan bantuan daripada bengkel custom di Amerika Syarikat. Hanya beberapa alat ganti sahaja di hantar terus dari KHI Jepun.

Menariknya Kawasaki mempunyai pilihan untuk menggunakan enjin 3-selinder 650cc dan 4-selinder 800cc tetapi mereka memilih untuk menggunakan enjin perlumbaa 440cc. Ia kemudiannya digandingkan dengan kotak gear yang diambil daripada salah satu motosikal keluaran Kawasaki.

Paling mengkagumkan bila Harvey berjaya menyiapkan kereta lumba tersebut seminggu sebelum pusingan promosi perlumbaan snowmobile bermula.

Tetapi masalah belum selesai kerena Harvey perlu menyiapkan semua perkara yang tercicir sebelum perlumbaan sebenar di AMA Grand Prix Laguna Seca beberapa minggu selepas. Ia jauh lebih mendebarkan kerana kereta baru ini bakal ditonton oleh puluhan ribu pasang mata yang menonton dan bersaing dengan nama-nama besar seperti Honda, Yamaha dan paling digeruni, Harley-Davidson.

Malangnya tidak semua perkara berjalan lancar, sewaktu enjin dihidupkan buat pertama kali, satu daripada pistonnya berkecai dan alat gantian hanya akan sampai dalam masa beberapa hari. Mereka berjaya menghidupkan enjin itu kembali tetapi tidak sempat membuat pelarasan yang diperlukan.

Selepas penampilan pertama mereka, kereta tersebut telah mendapat perhatian ramai. Mereka berhasrat untuk mengeluarkan lebih banyak kereta dan mereka telah menemui syarikat yang sanggup bersama-sama membangunkannya sementara Harvey pergi ke Florida untuk menguji beberapa unit enjin. Enam minggu kemudian selepas Harvey kembali, tidak ada apa kemajuan dicapai dan projek kereta lumba Kawasaki telah digantung oleh KHI.

Prototaip asal kereta lumba tersebut dan segala yang bersangkut paut dengan projek tersebut dikatakan telah dibawa pulang oleh KHI ke Jepun. Malah Harvey sendiri tidak tahu ke mana prototaip tersebut dibawa.

Kisah kereta lumba hijau Kawasaki ini memang sudah dilupakan jika tidak kerana Harvey menulis biografi kisah hidup beliau sebagai pelumba dan pereka dalam buku yang dinamakan Running on the Edge.

Kredit foto: The Kneeslider

(Visited 609 times, 17 visits today)

Share this post

scroll to top