Artikel Pilihan

KENAPA RAMAI ORANG OBSES DENGAN CATATAN MASA LITAR NURBURGRING (+VIDEO)

Sedar ataupun tidak catatan masa terpantas litar Nurburgring kini telah menguasai dunia permotoran. Kini pengeluar seperti mempunyai obsesi dengan catatan masa terpantas Nurburgring (bukan semua) dan ia juga menjadi topik bualan yang hangat di kalangan peminat dunia automotif. Ramai yang mempunyai pendapat tersendiri tidak kurang menyatakan yang mengejar catatan masa terpantas adalah tidak berfaedah kerana untuk mencapainya, tayar dan tetapan suspensi yang digunakan adalah tidak berguna untuk kegunaan harian.

Satu lagi kumpulan berpendapat yang catatan masa seumpama ini membantu dalam pembangunan enjin, casis dan teknologi tayar. Hasilnya nanti akan muncul kereta-kereta kegunaan biasa yang lebih laju dan menarik. Mana satu yang betul sebenarnya?

Pada pendapat kami catatan masa terpantas seumpama ini memang membantu pengeluar memasarkan supercar dan hypercar keluaran mereka. Rekod catatan masa sepusingan Nurburgring akan menaikkan imej jenama mereka dan lebih berkesan untuk menarik pelanggan daripada iklan dan video promosi seperti digunakan sebelum ini.

BACA: 10 PERKARA YANG ANDA PATUT TAHU TENTANG LITAR NURBURGRING

Tetapan suspensi sekeras batu, enjin yang diperah ke tahap maksima dan kelegaan bumi yang tidak masuk akal memang merupakan sebahagian daripada pengalaman dunia supercar sebenar. Tapi kalau teori ini digunakan untuk SUV, kereta sedan dan MPV yang digunakan seharian ia memang karut la kan? Banyak yang harus dikorbankan kalau mahukan SUV standard anda mengalahkan catatan masa Porsche di litar ini. Silap-silap lepas ni anak bini tak naik kerana tetapan suspensi sekeras berlian Afrika.

Medan ujian tayar    

Litar ini juga sebenarnya medan ujian khas untuk tayar-tayar keluaran terbaru. Semestinya ujian yang dilakukan oleh pengeluar dengan pemandu penguji professional di belakang stereng akan membolehkan catatan masa yang lebih baik dihasilkan. Setengah catatan masa juga disifatkan tidak adil kerana mereka menggunakan tayar yang khusus untuk ujian ini dan langsung tidak sama dengan tayar yang dilengkapkan pada kereta anda bila keluar dari showroom.

Tapi ia masih medan ujian terbaik untuk menguji dan membelasah tayar semahunya ke tahap maksima. Ujian di jalan biasa memang boleh dilakukan tetapi selaju mana anda sanggup memandu di lebuh raya biasa dengan trafik bertali arus?

Sejarah Nurburgring

Nurburgring merupakan sebuah litar bersejarah dan digunakan untuk perlumbaan GP pada tahun 1920-an. Pada asalnya ia mempunyai 174 selekoh dengan kepanjangan litar sehingga 28 kilometer (Untuk rekod panjang litar F1 Sepang hanyalah 5.54 kilometer). Sir Stirling Moss menggelarkan litar ini sebagai ‘Neraka Hijau’ kerana suasananya yang menghijau dengan tumbuh-tumbuhan dan betapa banyaknya nyawa manusia dan kenderaan yang berakhir di sini.

Panjang keseluruhan litar ini kini ialah 20.7 kilometer dengan beberapa bahagian yang berbahaya telah dinaik taraf. Namun begitu ia masih sebuah litar yang  berbahaya dan mencabar dalam usaha pemandu dan jentera bergabung untuk mencipta rekod terpantas.

Siapa paling laju buat masa sekarang?

Kategori paling menarik semestinya ialah supercar produksi yang menyaksikan empat tempat teratas dikuasai oleh Lamborghini dan Porsche. Buat masa kini tempat teratas adalah kepunyaan Lamborghini dengan Aventador LP770-4 Superveloce Jota menggantikan Porsche 911 GT2 RS. Rekod Lambo ini dihasilkan dengan bantuan pemandu penguji Lamborghini, Marco Mapelli menggunakan tayar Pirelli P Zero Corsa tapi rekod ini pun rasanya tidak akan kekal lama.

Porsche 911 GT2 RS pula jatuh ke tangga kedua setelah berjaya menguasai catatan masa terpantas sejak September 2017 dengan bantuan tayar Michelin Sport Cup 2. Tayar yang baik memang cukup membantu apatah lagi untuk kereta RWD seperti Porsche. Nampak tak semuanya menggunakan tayar berdarjat tinggi dan bukannya menggunakan tayar keluaran Ting Tong dan Bing Bong yang digunakan oleh kebanyakan kereta biasa di negara kita.

Hanya sebuah hypercar yang pernah diuji di litar ini iaitu Porsche 918 Spyder hibrid dan ia mencatatkan catatan masa 6:57 yang memang cukup menakjubkan. Malangnya belum mempunyai lawan untuk perbandingan masa. Kita terpaksa tunggu dua lagi model seperti LaFerrari dan McLaren P1 untuk kekuatan dan kelajuan hypercar ini yang sebenar.

Siapa lagi?   

Nissan GTR sudah berusia sepuluh tahun dan menariknya saban tahun ia sentiasa memperbaharui catatan masa dengan rekod yang lebih baik dan mengatasi supercar-supercar keluaran benua Eropah yang lebih mahal.

Tapi raja kereta FWD buat masa kini masih kekal milik Honda Civic Type-R dengan catatan masa 7:42.8 walaupun dengan hanya berbekalkan 310hp kuasa. Catatan masa itu adalah hampir menyamai supercar lain seperti Porsche 997 generasi sebelumnya dan bintang FWD lain seperti Volkswagen Golf GTI dan Renault Megane RS Trophy-R.

Dengan kata lain catatan masa terpantas Nurburgring adalah penting untuk R&D kereta dan pada masa yang sama mampu menaikkan jualan untuk kereta-kereta sports dan supercar yang memang difokuskan kepada kelajuan. Taktik ini rasanya tidak berkesan jika digunakan untuk memasarkan kereta-kereta kompak seperti Perodua Axia dan Kia Picanto.

Habis tu tak boleh ke kami nak tampal pelekat Nurburgring kat kereta kami? Eh, boleh tak ada masalah. Itu kereta korang dan hak korang, nak tampal lakaran litar dua hala pun tak ada masalah.

Kredit Carbuzz.com

Google ads
Back to top button