Artikel Pilihan

KISAH LAGENDA BAS MIKRO VOLKSWAGEN – YANG MANA SATU? COMBI ATAU BUS?

Ia asalnya bermula dari lakaran yang cukup ringkas dan hampir menyamai lakaran kereta bagi murid darjah satu. Tetapi itulah seperti kata pepatah Inggeris “simple is smart”.

Ia bermula pada tahun 1949, bila Ben Pon seorang pengimport membawa masuk model VW Beetle pertama ke Amerika Syarikat. Beliau cukup berminat dengan model tersebut dan kemudian beliau jatuh cinta pula dengan trak kecil yang digunakan di dalam kilang Volkswagen.

Trak tersebut juga mempunyai konfigurasi enjin di belakang sama seperti Beetle. Beliau kemudian menghasilkan lakaran yang seakan sama tetapi dalam versi sebuah van. Ia kelihatan seperti sebuku roti yang besar tetapi cukup untuk menarik minat pihak atasan Volkswagen yang kemudian merancang untuk mengeluarkannya dalam bentuk bas mikro (microbus) dengan ciri mekanikal yang sama seperti Beetle (enjin sejukan udara di bahagian belakang).

BACA: COMBI REPUT DENGAN HARGA MENINGGAL

BACA: BRABUS CONFERENCE LAUNGE-SUPER MEWAH!

Pada tahun 1950, ia diperkenalkan kepada dunia dan dikenali dengan nama Type 2 Transporter (Beetle merupakan Type 1).

Bas mikro VW ini cukup asli dan merupakan satu idea baharu di pasaran ketika itu. Ia kekal tanpa pesaing sehingga hampir satu dekad. Inilah sebuah van mini yang original, dihasilkan khusus untuk membawa ramai penumpang berbanding kereta penumpang biasa. Ia cukup diminati oleh para peluncur, golongan hippies, peminat aktiviti berkhemah dan sesiapa sahaja yang sukakan aktiviti kembara.

Ia telah terjual selama hampir 41 tahun di seluruh dunia dari tahun 1950 sehinggalah tahun 1991. Hari ini, model paling awal dengan cermin hadapan terbelah dua merupakan model paling berharga dan menjadi buruan di seluruh dunia.

Model-model unik seperti Samba dengan bahagian bumbung yang boleh dibuka dan ditutup dengan kanvas sudah mempunyai pasaran dengan harga yang menyamai sebuah supercar.

Volkswagen juga menyedari tentang fenomena yang dibawa oleh bas mikro ini dan betapa potensi pasarannya masih lagi tinggi. Kerana itulah juga mereka telah memperkenalkan model konsep bus mikro yang dinamakan I.D. Buzz di North American International Motor Show Januari lepas.

Model yang diyakini akan memasuki fasa produksi itu merupakan sebuah model berkuasa elektrik sepenuhnya. Ramai mengharapkan model ini segera memasuki bilik pameran VW di seluruh dunia.

ANEH TAPI CANTIK

Sebahagian dari ciri-ciri unik bas mikro VW ini ialah ialah bahagian pemanduan yang cukup selesa dan terletak di bahagian paling depan casis. Tidak ada bahagian enjin ataupun hud yang menonjol melepasi bahagian cermin hadapan. Ini kerana VW telah meletakkan enjin sejukan udara tersebut di bahagian belakang sama seperti model Beetle.

Ia membolehkan pemandu berada di hadapan tayar dan mempunyai padangan yang lebih luas. Ia juga memberikan ruang yang luas di belakang untuk penumpang dan kargo dan sekaligus memberikan lantai yang rata di bahagian depan.

Rekaan badan bas mikro ini juga cukup bijak kerana ada peringkat awal ia mempunyai panjang yang sama seperti model VW Golf hari ini. Rekaannya juga cukup kemas dan mempunyai lantai yang rata untuk memudahkan ahli keluarga keluar masuk. VW telah menghasilkan versi komersil dan ketenteraan berdasarkan model bas mikro ini. ia termasuklah van panel dan trak pikap.

Bahagian kabinnya juga cukup ringkas menjadikan ia cukup diminati untuk aktiviti luar rumah. Ia tidak mempunyai kemasan karpet di bahagian belakang, jadi anda boleh membentangkan tilam ataupun tikar untuk berkhemah dan berehat selepas penat berekreasi.

KENAPA IA DIKAITKAN DENGAN HIPPIES?

Menurut kata McKeel Hagerty, seorang pakar perunding kereta klasik dari Amerika Syarikat, bas mikro VW ini diminati golongan hippies kerana ia murah untuk diselenggara (ketika itu), senang dioperasikan dan cukup luas untuk didiami.

Tambahan pula, bas mikro ini sememangnya berbeza seratus peratus dengan budaya kereta-kereta muscle dan sedan mewah yang menjadi ikutan pada masa itu. Ia merupakan sebuah kenderaan yang menentang aliran semasa sama seperti golongan hippies.

DIMINATI SEMUA GOLONGAN

Aktor dan pelakon komedi Gabriel Iglesias merupakan seorang peminat fanatik bas mikro ini dan mempunyai koleksi 20 buah dalam perbagai versi. Menurut beliau ia sentiasa dikaitkan dengan tahun 60-an dengan pengaruh hippies dan keamanan dunia. Bahkan satu watak dalam filem Cars bernama Filmore juga membawakan mesej yang sama.

Walaupun cukup diminati dalam banyak hal, kelajuan bukanlah matlamat utama bas mikro VW ini. model terawal walaupun mampu membawa sembilan penumpang dengan mudah tetapi cuma mempunyai enjin dengan 25 kuasa kuda sahaja. Bahaya juga sebenarnya untuk dibawa di lebuh raya pada zaman sekarang dengan 25 kuasa kuda. Merayap weh.

Peminat seperti Iglesias bagaimanapun akan menaik taraf enjin bas mikro ini sehingga ada antaranya mampu mencecah 150 bhp. Ia juga mempunyai banyak peralatan selepas jualan yang boleh didapati di seluruh dunia. Tapi kena ingat, dengan jarak tapak roda yang agak pendek dan suspensi belakang yang lembut, ia agak bergoyang pada kelajuan tinggi. Pengambilan selekoh dengan laju mesti dielakkan.

Disebabkan ia bergerak perlahan, mikro bus ini ialah kenderaan yang paling sesuai untuk menikmati keindahan alam. Ia turut dilengkapkan dengan tingkap-tingkap yang boleh dibuka dengan luas untuk tujuan tersebut.

Bahkan dengan kedudukan pemandu yang agak tinggi, anda boleh melihat dengan jelas di sekeliling. Jumlah tingkap juga mempengaruhi harga pasaran bas mikro ini. lebih banyak lebih bagus.

Model 21-tingkap mempunyai dua baris tingkap di bahagian sisi bumbung untuk melihat pemandangan langit di waktu malam. Ia bagaikan bas pesiaran bersaiz kecil. Disebabkan itu jugalah harganya melonjak tinggi.

GALERI

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button