Artikel Pilihan

LESEN OPERASI UBER DI KOTA LONDON DIMANSUHKAN

Uber kini tidak boleh beroperasi di kota London bila lesennya telah ditarik balik menjelang hujung minggu ini. Ia dijangka memberi kesan kepada 3.5 juta pelanggannya di salah sebuah kota termewah di dunia itu.

Menurut pihak berkuasa pengangkutan London, syarikat gergasi teknologi Silikon Valley itu tidak layak untuk menerima lesen operasi dan tidak akan disambung bila tempoh lesen sedia ada tamat pada 30 September ini.

Uber mempunyai hampir 40,000 pemandu di kota London dan merupakan antara penyedia pengangkutan awam terbesar di sana akan mencabar keputusan tersebut dan membuat rayuan. Mereka juga akan terus beroperasi sehinggalah keputusan rayuan tersebut diketahui.

Isu yang timbul menurut pihak berkuasa pengangkutan ialah Uber tidak memberikan tanggungjawab korporat yang sepatutnya dalam menghadapi beberapa isu yang bersangkut paut dengan keselamatan orang ramai. Mereka juga mahukan hanya penyedia perkhidmatan yang benar-benar layak diberikan untuk beroperasi.

Secara spesifiknya, pihak berkuasa berpendapat, pendekatan Uber menggunakan perisian Greyball telah menghalang mereka daripada mengakses perisian Uber. Ia perlu bagi membolehkan mereka memeriksa latar belakang pemandu dan rekod jenayah jika ada.

Uber bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dan akan mencabar keputusan itu di mahkamah.

Kehilangan lesen juga merupakan episod malang sekali lagi buat Uber yang sebelum ini terpalit dengan skandal melibatkan bekas CEO yang juga merupakan salah seorang pengasas Uber, Travis Kalanick.

Ini bukan sesuatu yang baru kerana Uber, sebuah syarikat yang bernilai USD70 billion memang sentiasa berdepan dengan protes terhadap operasinya di seluruh dunia khususnya dari pemandu-pemandu teksi konvensional.

Malah para pemandu teksi London berwarna hitam yang popular di London turut menyerang Uber yang dikatakan tidak mematuhi peraturan keselamatan dan menjejaskan mata pencarian mereka.

Pihak polis turut mendakwa Uber lambat melaporkan sebarang kegiatan jenayah termasuk gangguan seks dalam perkhidmatan mereka kepada pihak polis.

BACA: UBER MALAYSIA LANCAR UBERFLASH & UBERTAXI – LEBIH FLEKSIBEL,LEBIH EFISYEN

Uber sekali lagi menafikan tuduhan tersebut dan mengatakan yang mereka sentiasa bekerjasama dengan pihak polis dalam melaporkan segala kejadian jenayah yang berlaku tepat pada masanya.

Malah datuk bandar London sendiri turut menyokong keputusan untuk menamatkan lesen operasi Uber. Menurut beliau ini adalah untuk keselamatan warga London secara keseluruhan.

Reaksi diterima orang ramai bagaimanapun berbeza-beza. Ada yang menyokong dan ada yang menentang. Uber juga berusaha menambah baik sistem mereka untuk menaiktaraf kehidupan dan kebajikan pemandu-pemandu mereka.

Mereka yang sudah biasa dengan khidmat Uber memang tidak akan bertukar kepada mana-mana sistem baru apatah lagi jika terpaksa memilih perkhidmatan teksi tradisional yang serba kekurangan.

Harap-harap nasib yang sama tidak diterima pemandu Uber di Malaysia. Kekalkan professionalisme yang tinggi dan anda mesti akan dipandang tinggi.

Google ads
Back to top button