MITSUBISHI ECLIPSE – LAGENDA SPORT COUPE YANG MENGHILANG

SHARE

Lama dahulu sebelum di era Paleolitik, kereta sport murah dan mampu milik buatan Jepun bolehlah dianggap sebagai bersepah. Setiap jenama mempunyai wakil sendiri. Maza mempunyai RX7, Honda mempunyai Prelude, Toyota dengan Supra dan Mitsubishi pula dengan Eclipse. Persaingan kereta sport di era itu dirasakan cukup meriah.

BACA : ECLIPSE CROSS – SUV TERBARU MITSUBISHI

BACA : MITSUBISHI EVO AKAN DATANG DALAM BENTUK CROSSOVER?

Namun dek kerana kekangan undang-undang yang semakin ketat dan pembuat tidak lagi seakan berminat untuk mengeluarkan model sport mereka sendiri. Dan jadah apa, apabila membuat kerja gila dengan menghidupkan kembali jenama kereta sport tetapi mengeluarkannya versi lain pula, Crossover ke SUV jadah apatah. Tapi yang ini suka untuk Brader Karrager berkongsi cerita tentang bagaimana Mitsubishi Eclipse ini bermula riwayatnya.

Ianya mula dikeluarkan pada tahun 1989 sehingga ke tahun 1994 untuk generasi pertama. Dengan rekaan lampu yang boleh disimpan di siang hari, ianya kelihatan tersangatlah sporty di kala itu. Padanan enjin 2.0 liter 4G63T yang tarafnya lagenda itu dirasakan sudah cukup untuk menawan hati sang jejaka memiliki dan menikmati kuasa enjinnya. Walau bagaimanapun, harus barang diingat, model generasi pertama ini dibina dengan berkongsi platform yang sama dari model Eagle Talon dan juga Plymouth Laser.

Dan populariti Eclipse ini terus melonjak apabila kelibat generasi keduanya dapat dilihat dalam filem trilogi kereta yang cukup handal, Fast & Furious. Layangan warna hijau pada badan disamping pelekat yang garang jelas menjadikan Mitsubishi Eclipse ini lekas menjadi idaman lelaki berambut perang di Amerika. Dan sudah tentulah, enjin lagenda 4G63T masih digunakan lagi untuk generasi kedua ini yang dijual antara tahun 1995 sehingga ke tahun 1999.

Dan kelibat generasi ketiga Mitsubishi Eclipse ini masih boleh dilihat dalam sekuel tersebut apabilla varian Spyder model ini turut diundang untuk berlakon sama. Namun ianya seakan sedikit tenggelam. Tak tahulah dek kerana penangan Evo yang berlakon sama atau sebab joki.

Kalau si Brian tu yang pandu Mitsubishi Eclipse Spyder GT berwarna ungu itu barangkali lain pula pengakhirannya. Untuk generasi ketiga ini, pilihan enjinnya telah dipertingkatkan sama ada 2.4 liter 4G64 atau pun 3.0 liter 6G72 V6. Memandangkan ianya di sasarkan untuk pasaran belah Amerika sana, kena akur jugalah. Enjin bersesararan kecil sememangnya sukar mendapat tempat di hati rakyat Uncle Sam.

Manakala generasi keempat dan terakhir Eclipse ini pula berada di pasaran di antara tahun 2006 sehingga 2012. Selain daripada pilihan enjin 2.4 liter, enjin baharu 3.8 liter 6G75 V6 turut ditawarkan yang mampu menghamburkan kuasa 263hp. Rekaan gril dan bamparnya jelas mewakili profil Mitsubishi di era itu.

Cuma sebelum pengenalan generai keempat di pasaran, Mitsubihsi Eclipse Ralliart Concept terlebih dahulu dipertontonkan kepada umum. Tentang bagaimana untuk membina sebuah model yang benar-benar kelihatan sporty dengan menggunakan kepakaran yang sepatutnya. Menariknya, model konsep ini meminjam enjin lagenda milik Evo dan beberapa peralatan berprestasi tinggi daripada HKS.

Hasilnya? Setakat nak cecah 400hp sambil  joki memandu siku terkeluar tingkap bukanlah sesuatu yang sukar. Rim bersaiz 20 inci yang ringan dan beberapa peralatan ori fiber, menjadikan Eclipse ini cukup ringan untuk memecut membelah angin.

Kehilangan model sport coupe dari Jepun semakin dirasai oleh peminat tegar era 90an. Barangkali ada benarnya juga. Anak muda sekarang lebih menggemari SUV dan Crossover barangkali. Entahlah.

Share this post

scroll to top