MITSUBISHI GALANT AMG TYPE II – GALANT PALING RARE KACUKAN JEPUN DAN JERMAN

SHARE

AMG kini merupakan sebuah syarikat milik Mercedes-Benz tetapi satu ketika dahulu ia adalah sebuah syarikat luar dan bebas bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mereka inginkan. Walaupun cukup sinonim dengan nama Mercedes-Benz tetapi tahukah anda yang mereka pernah menala sebuah model ikonik Jepun yang kita kenali dengan nama Mitsubishi Galant generasi keenam keluaran tahun 1991.

Versi paling hebat Galant ini dikenali dengan nama Galant VR4 tetapi rupa-rupanya ada satu lagi varian super rare yang ditala oleh AMG dan dikenali dengan nama Mitsubishi Galant AMG.

Ia mempunyai rupa paras yang hampir sama dengan Galant VR4 tetapi kelihatan sedikit lebih elegan hasil sentuhan syarikat ternama dari Jerman itu. Ia juga dikatakan satu langkah yang diambil oleh AMG untuk cuba menembusi pasaran Jepun pada masa itu.

AMG telah menaik taraf Galant ini dari sudut enjin, suspensi, bahagian dalaman dan luaran khususnya dengan pemasangan bodykit yang berbeza daripada varian lain.

BACA: SEBELUM KEDATANGAN LANCER EVO, INI ADALAH LAGENDA RALI SEBENAR – MITSUBISHI GALANT VR4

Menggunakan enjin 4G63 yang sama seperti Galant lain, enjin 2.0-liter ini telah dinaiktaraf menggunakan piston mampatan tinggi sekaligus menaikkkan nisbah mampatan kepada 10.4:1 berbanding 9:1 asalnya. Malah ia juga turut dilengkapi dengan oil cooling jet untuk piston. Ia juga dilengkapi dengan camshaft berprestasi tinggi dan intake manifold dua peringkat.

Ubahsuaian lain termasuklah penggunaan sistem ekzos high-flow dan ECU yang ditala semula oleh AMG. Hasilnya Galant AMG ini mempunyai kuasa maksima 168 bhp (kurang sedikit sahaja berbanding 200 bhp pada VR4) dan tork 191 Nm. Ia merupakan kenaikan 25 bhp kuasa berbanding 143 bhp/172 Nm pada Galant standard. Enjinnya juga kini boleh dipacu sehingga 8,000 rpm.

Enjin talaan semula itu kemudiannya digabungkan dengan kotak gear manual 5-kelajuan dengan ratio yang lebih pendek, coupling berdiameter lebih besar dan drive shaft yang juga lebih besar. Ia juga ditawarkan dengan gear automatik 4-kelajuan sebagai pilihan.

Ujian yang dijalankan ketika itu membuktikan yang kereta ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8 saat. Bukan sesuatu yang memalukan bagi kereta generasi dulu tambahan pula ia tidak menggunakan enjin turbo seperti Galant VR4.

Bahagian luar diperkemaskan dengan bodykit lengkap AMG dengan spoiler belakang rekaan khas. Logo AMG juga merupakan aksesori lengkap model ini dan bukannya ditampal secara suka-suka.

Bahagian dalamannya juga nampak lebih mewah dan menarik dengan kemasan khas oleh AMG. Bahagian tertentu seperti tempat duduk dibalut dengan kulit yang membuatkannya kelihatan mewah selain penggunaan kawalan udara kawalan digital.

Menariknya lagi hanya 500 sahaja model ini dikeluarkan dan semuanya adalah untuk pasaran Jepun (JDM). Ini baru dikatakan rare.

Share this post

scroll to top