MODEL-MODEL KONSEP LAMBORGHINI TERBURUK PERNAH DIHASILKAN – “OMAIGAD”

SHARE

Bila sebut nama Lamborghini mesti ramai yang meleleh airliur terbayangkan model-model eksotik lagi seksi tapi garang yang mereka hasilkan. Walaupun Lamborghini tidak mempunyai lambakan model seperti Ferrari, mereka memang mempunyai aura yang tersendiri. Tapi itu tidak bermakna mereka tidak mempunyai model-model konsep yang menarik dan yang buruk. Kali ini kita fokuskan pada model-model konsep paling buruk yang pernah mereka perkenalkan. Kalau diproduksikan rasanya jatuh tergolek saham Lamborghini di pasaran.

Bertone Lamborghini Athon

Pada tahun 1980, keadaan ekonomi Lamborghini memang tidak berapa baik. Model ini merupakan satu usaha Bertone memberikan sokongan kepada Lamborghini. Ia adalah hasil rekaan Marc Deschamp sebagai memperingati model konsep terawal yang pernah dihasilkan Bertone pada tahun 70-an. Hasilnya lahirlah sebuah kereta masa depan bercirikan retro yang mungkin menarik minat Lamborghini pada masa itu. Macam speed boat pun ada kan?

Bertone Lamborghini Genesis

Bertone memang bertanggungjawab menghasilkan model-model ikonik Lamborghini seperti Countach dan Miura. Tapi Bertone juga pernah menghasilkan model konsep ini yang dinamakan secara tidak rasmi sebagai Countach Quattrovalve. Ianya merupakan sebuah mini van dengan rekaan pintu gullwing dan enjin berkuasa 455hp. Tempat duduknya boleh dilaraskan secara elektronik dan ia bukan hanya praktikal tetapi cukup laju. Masalahnya idea sebuah mini van untuk Lamborghini memang mengundang pandangan sinis dari dulu sehingga sekarang.

Lamborghini Egoista

Sekai tengok macam kereta dalam komik futuristik budak-budak. Model ini sebenarnya adalah hasil lakaran Walter de Silva yang kemudiannya menjadi ketua pereka Volkswagen Group. Egoista bermakna mementingkan diri sendiri dalam bahasa Sepanyol dan Itali. Tengok pun dah tahu yang ia diinspirasikan dari pesawat pejuang dan mungkin juga helikopter penggempur.

Lamborghini Sogna

Ini merupakan hasil rekaan pereka Jepun, Ryoji Yamazaki. Beliau asalnya merupakan seorang artis dan kemudiannya berminat untuk menjadi pereka kereta. Dalam laman webnya beliau mendakwa mendapat ilham dari keunikan alam sekitar contohnya fossil dinosaur, bentuk-bentuk mineral dan bangunan bersejarah. Tapi kalau dilihat pada hasilnya ia kelihatan seperti props untuk filem fiksyen sains bajet tahun 80-an. Menariknya ia memang dikuasakan oleh enjin Lamborghini 5.2-liter V12. Macam kepala ular pun ada kan?

Lamborghini Cheetah

Cheetah ni sebenarnya nampak cukup hebat tapi telah membawa pelbagai masalah kepada Lamborghini. Kegawatan memaksa Lamborghini meminjam wang dari kerajaan Itali untuk mendapatkan kontrak untuk menghasilkan kenderaan pelbagai bentuk mukabumi untuk tentera AS. Rekaan asalnya menggunakan enjin V8 Chrysler memang terbukti tidak sesuai sebelum ia digantikan dengan enjin V12 Lamborghini sendiri.

Lamborghini Pregunta

Pregunta dihasilkan oleh pembuat badan kenderaan komersil, Carroserie Heuliez dari Perancis. Ia juga satu contoh kenapa pembuat badan komersil tidak patut dibenarkan mereka kereta untuk Lamborghini. Pregunta bermaksud “soalan” dalam bahasa Sepanyol tetapi model ini jelas bukan jawapan yang diinginkan terhadap soalan tersebut.

Lamborghini Marzal

Marzal mempunyai pintu gullwing kaca dan Ferrucio Lamborghini cukup bimbang yang ia akan mendedahkan kaki penumpang wanita. Ia kelihatan cukup futuristik pada masa itu dan dilengkapi dengan enjin sebaris-6. Ia memang senyap dan gagah tetapi jauh lari dari konsep asal Lamborghini yang sentiasa menggunakan enjin 8-selinder ke atas.

BACA: 4 EDISI KHAS ROLLS-ROYCE SEMPENA TAHUN BABI

Italdesign Marco Polo

Idea untuk mencipta Lamborghini 4-pintu memang sentiasa ada. Ini merupakan evolusi kepada Lamborghini Espada dan memang tidak diluluskan untuk produksi. Dengan rekaan yang hampir menyamai kereta penumpang Eropah ketika itu ia memang dilihat cukup hambar untuk menjadi sebuah Lamborghini. Pintu gullwing yang ada padanya pun tak dapat menyelamatkan model ini dari diketepikan.

Frua Faena

Pereka badan kenderaan komersil Pietro Frua mengambil masa 6-bulan untuk menghasilkan Lamborghini 4-pintu beliau. Ia diasaskan daripada model Espada Series ll tahun 1974. Ia dipanjangkan untuk menambah lagi 2-pintu Frua berharap untuk mengeluarkan model ini dalam kuantiti kecil. Ia juga telah dipamerkan di Geneva Auto Show 1978 dan Turin Salone tahun yang sama. Kereta ini kemudian dibeli oleh pengimport Lamborghini Swiss sebelum dijual kepada pengumpul dari Jerman.

Share this post

scroll to top