Artikel Pilihan

NISSAN CIPTA TEMPAT DUDUK DAN RODA STERENG YANG BOLEH MENGESAN PELUH UNTUK MENGELAKKAN DEHIDRASI

Satu ketika dahulu, anatomi sebuah kereta tidak sekompleks sekarang. Kemudian beransur-ansur pelbagai sensor dilengkapkan untuk mengesan sebarang masalah pada sistem kenderaan khususnya pada bahagian enjin. Kemudian ia mula diluaskan ke bahagian dalaman kereta.

Kereta moden memang cukup sarat dengan sensor. Ada yang membantu anda meletak kenderaan dengan lebih mudah, mengekalkan jarak selamat di atas lebuh raya, mengenal pasti jika seseorang di sebelah anda tidak memakai tali keledar dan sebagainya.

Kini satu lagi sensor yang agak aneh telah dihasilkan oleh Nissan dengan kerjasama sebuah syarikat rekabentuk Belanda bernama Droog. Ia merupakan sejenis sensor yang mampu mengesan peluh anda dan membuat perkiraan sama ada anda mengalami dehidrasi ataupun tidak.

Agak kotor bunyinya bukan dan mungkin agak menggelikan bagi setengah orang tapi ia sebenarnya agak menarik. Pautan video di bawah memaparkan prototaip sensor ini yang dilengkapkan pada sebuah Nissan Juke.

BACA: ADVANCE CRUISE CONTROL PORSCHE TERBARU AKAN MENYEBABKAN JANTUNG BERDEBAR KENCANG

Roda stereng dan tempat duduk kereta tersebut telah dibalut dengan sejenis material isitimewa yang digelar SOAK. Ia kelihatan seperti material pembalut yang biasa tetapi bila anda banyak berpeluh, warna fabrik tersebut akan bertukar berdasarkan tahap dehidrasi anda. Jika pemandu mengalami dehidrasi ia akan bertukar kepada warna kuning dan sebaik anda kembali normal, fabrik tersebut akan bertukar ke warna biru.

Jika ada yang bertanya apa yang penting sangat tentang perkara ini sampai terpaksa mencipta sensor khusus untuk mengesan peluh. Sebenarnya Nissan memulakan projek ini berdasarkan laporan kajian oleh European Hydration Institute and Loughborough University di UK yang memutuskan bahawa pemandu yang memandu dalam keadaan kekurangan air dalam badan (dehidrasi) adalah sama bahaya dengan pemandu mabuk (kandungan alkohol dalam badan melenihi 0.08). Sudah tentu sebagai sebuah syarikat pengeluar kenderaan, Nissan mahu melakukan sesuatu untuk keselamatan pemandu dan penumpang.

Mungkin teknologi ini perlu ditambah baik walaupun ideanya menarik. Tambahan pula rasanya tak ramai yang sukakan tempat duduk yang sentiasa berubah warna. Malah kadang kala kita juga mengalami dehidrasi walaupun tidak berpeluh. Contohnya jika kita tidak mengambil sebarang minuman sewaktu memandu dalam perjalanan jauh, kita juga boleh mengalami dehidrasi walaupun tanpa sebarang petanda.

Namun sudah semestinya kebarangkalian ia diperkenalkan tetap ada cuma beberapa penambahbaikan perlu dilakukan dengan kajian yang lebih mendalam.

Google ads
Back to top button