Artikel Pilihan

NISSAN SKYLINE GT-R – SANG LAGENDA YANG MENGUBAH DUNIA

Nissan Skyline GT-R mempunyai sejarah yang cukup panjang seawal tahun 60-an. Ia bermula sewaktu model S54 mendapat tempat kedua dalam perlumbaan sulungnya dalam tahun 1964.

Inilah permulaan kepada perjalanan yang membawa kepada kegemilangan lencana Skyline. Satu lagi tarikh penting ialah bila syarikat automobil Prince bergabung dengan Nissan-Datsun pada tahun 1967.

Selepas saat itu, Nissan Skyline GT-R mula dibangunkan sebelum memasuki fasa pengeluaran seawal tahun 1969. Ia berterusan sehinggalah kepada lima generasi Nissan Skyline GT-R sebelum sampai kepada model yang anda kenali sekarang.

BACA – NISSAN MID 4: SEJARAH SKYLINE YANG DILUPAKAN

BACA – NISSAN SKYLINE PALING IKONIK DI JAPFEST

Nissan-Skyline-iconic-mekanika (5)

GENERASI PERTAMA, SKYLINE GT-R HAKOSUKA (KPGC10)

Ini merupakan model yang dibina khusus untuk pasaran Jepun melalui ruang-ruang pameran Nissan Prince. Ia mula diperkenalkan untuk tatapan umum di Pameran Motor Tokyo pada Oktober 1968 bersama-sama dengan model perlumbaan Nissan R380 untuk menonjolkan ciri-ciri perlumbaan yang ada padanya.

Pada mulanya ia dihasilkan dalam versi sedan empat-pintu dan dilengkapi dengan enjin S20-16 DOHC 2.0-liter yang mampu menghasilkan 160 bhp pada 7000 rpm dan tork maksima 177 N/m pada 5600 rpm. Kuasa yang besar ini disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear manual lima-kelajuan.

Pada bulan Mac 1971, versi coupe pula dikeluarkan untuk memenuhi permintaan. Ia adalah GT-R paling ikonik dalam kebanyakan kereta sport klasik Jepun dan sehingga ke hari ini, ia adalah kereta paling mahal untuk dimiliki di Jepun.

Hari ini, permintaan yang meningkat menjadikan harganya melambung tinggi. Di Sebelah Amerika, kereta yang dibawa masuk dari Jepun dalam bentuk asal dalam keadaan baik, boleh dijual sehingga RM500,000.

Purata harga bagi spesifikasi asli KPGC10 di Jepun ialah sekitar 5 juta yen hingga 8 juta yen sangat luar biasa. Ia kereta klasik “olksool” kedua mahal selepas Toyota 2000GT.

kenmeri skyline (4)

GENERASI KEDUA, SKYLINE GT-R KENMERI (KPGC110)

Dalam tahun 1972, generasi kedua Nissan Skyline GT-R telah diperkenalkan di Pameran Motor Tokyo. Ia kemudiannya mula dikeluarkan pada tahun 1973 dan mengekalkan enjin yang sama sebelumnya juga dengan kotak gear manual lima-kelajuan.

Bezanya kini, Skyline GT-R generasi kedua ini dilengkapi dengan brek cakera di bahagian hadapan dan juga belakang. Model ini juga dikenali dengan nama Kenmeri kerana dalam satu iklan komersial televisyen ia memaparkan watak Ken dan Marry.

Malangnya disebabkan krisis bahan api yang melanda dunia sekitar tahun 70-an, Skyline generasi kedua ini tidak sempat mengecapi kegemilangan seperti model sebelumnya. Permintaan terhadap kereta-kereta berprestasi tinggi juga mula menurun.

Namun untuk koleksi penggemar kereta olskool Jepun, Kenmeri adalah pilihan kedua yang boleh tahan arwah juga harganya.

02 GTR 32

GENERASI KETIGA, SKYLINE R32 (THE GODZILLA)

Melalui saat-saat yang sukar sekitar tahun 70-an tidak menghalang Nissan daripada meneruskan perancangan pengeluaran model-model berprestasi tinggi. Akhirnya lahirlah generasi ketiga Nissan Skyline GT-R dalam tahun 1989 hampir 20 tahun sela masa dari falgship terakhir mereka.

Inilah sebuah kereta yang mempunyai kelebihan di luar jangkaan sebaik sahaja ia dilancarkan berikutan prestasi yang ada padanya. Bersama dengan pemandu yang bernama Hiroyoshi Katoh, ia telah mencatatkan rekod kelajuan baru hasil enjin baru yang berkuasa 320 hp dan sistem pacuan-empat-roda yang canggih.

R32 GT-R ini dikeluarkan pada tahun 1988 hampir sama dengan pengeluaran model edisi terhad Nismo GT-R yang dikeluarkan sebanyak 6 unit. Kemudian pada tahun 1990, 554 buah Nismo GT-R telah dikeluarkan dengan warna yang sama, Gunmetal Grey.

Kini GT-R telah dilengkapkan dengan intercooler dan brek yang lebih besar selain bahagian bonet dan fender depan yang diperbuat daripada aluminum. Generasi ketiga inilah yang telah membuka mata peminat dengan kejayaan demi kejayaan yang telah dimenangi dalam perlumbaan.

Ia menyapu bersih kemenangan sebanyak 29 kali dalam 29 perlumbaan yang disertai dalam Japanese Touring Car Championship. Ia juga memegang kejuaraan dalam perlumbaan ini bermula dari tahun 1989 sehinggalah 1993. Sesungguhnya RB26DETT itu adalah lagenda Nissan sebenar. Sekarang kau boleh bangga dengan Almera je lah.

Nissan-skyline-R33-mekanika (4)

GENERASI KEEMPAT GT-R -R33

R33 dibangunkan dalam tahun 1995 sebagai pengganti kepada R32. Enjinnya mempunyai persamaan dengan R32-RB26DETT kerana kehebatan prestasi enjin sebelumnya sudah cukup mengkagumkan.

Hanya beberapa modifikasi kecil dilakukan antaranya ialah komponen gear yang diperkuatkan. Terdapat juga versi V-Spec yang menggunakan sistem pacuan-semua-roda terbaru lengkap dengan sistem LSD aktif. Ia juga turut dilengkapkan sistem ABS khusus untuk pacuan-semua-roda.

Terdapat juga beberapa versi edisi terhad yang dikeluarkan oleh Nismo. LM Edition contohnya adalah versi edisi terhad generasi keempat untuk meraikan kejayaan Nissan dalam perlumbaan Le Man 24-jam dalam tahun 1996.

Ia dihasilkan dengan warna Champion Blue dan lengkap dengan hood-splitter untuk mengarahkan angin ke bahagian atas. Bahagian belakang pula disudahi dengan spoiler yang diperbuat daripada gentian karbon lengkap dengan flap.

Hanya 98 unit LM GT-R dihasilkan untuk pasaran Jepun dan hanya 14 daripadanya diasaskan daripada versi V-Spec (ini baru betul punya Limited Edition).

r33-400r-skyline

Selain LM GT-R, satu lagi model edisi terhad ialah 400R yang dikeluarkan dalam tahun 1997. Bukan hanya kemampuan enjinnya telah dipertingkatkan, malah kini ia juga diberikan sistem ekzos baru, klac berganda dan sistem intercooler baru.

Ciri aerodinamik turut diberi perhatian dengan kelengkapan ruang roda yang lebih lebar, skirting dan bampar baru untuk memastikan aliran udara terbaik. Kini ia mampu memecut selaju 186 batu sejam (299kmj!) dan membuat pecutan 0-60 batu sejam hanya dalam masa 4 saat. Hanya 44 unit sahaja dikeluarkan sehingga pengeluaran dihentikan dalam tahun 1998.

Nissan-skyline-GT-R-R34-mekanika (2)

GENERASI KELIMA GODZILLA GT-R (R34)

Generasi kelima Skyline GT-R telah dikeluarkan pada bulan Januari 1999. Ia kini lebih pendek dari depan ke belakang. Bahagian gantungan depan juga direndahkan agar kelihatan lebih kompak dan moden.

Bahagian dalaman turut diberi perhatian dengan kelengkapan LCD baru dengan ciri paparan multifungsi dibahagian tengah papan pemuka. Ia memaparkan tujuh paparan informasi berbeza seperti tekanan boost dan pelincir, suhu air dan pelbagai lagi.

Versi V-Spec pula mempunyai tambahan dua lagi fungsi iaitu bacaan kemasukan dan suhu gas ekzos. Ciri tambahan lain termasuklah lap timer dan meter tekanan-G.

Model edisi terhad pula dinamakan M-Spec sempena dengan nama ketua jurutera Nissan yang bernama Mizuno. Ia mempunyai sistem suspensi boleh laras, kemasan kulit dan tempat duduk hadapan lengkap dengan pemanas.

Versi V-Spec pula turut dieksport ke luar Jepun di negara pemanduan sebelah kanan dengan pelbagai modifikasi antaranya, penambahan 3 lagi penyejuk-pelincir, ECU yang ditala semula selain tempat duduk kulit sepenuhnya.

Model produksi terakhir R34 GT-R telah dikeluarkan pada bulan Februari 2002 dan dinamakan Skyline GT-R V-Spec II Nur dan M-Spec Nur. Ia mengambil nama sempena litar perlumbaan Nurburgring di Jerman (bukan sempena nama Siti Nurhaliza tau).

1000 unit telah dihasilkan di mana 750 unit adalah versi V-Spec II dan selebihnya ialah M-Spec. Model Nur ini menggunakan enjin yang ditala semula berdasarkan enjin perlumbaan N1. Pengecas turbo standard telah digantikan dengan unit yang lebih besar untuk peningkatan boost.

Ia diiklankan dengan 276 bhp kuasa maksima tetapi angka sebenarnya ialah 330 bhp sewaktu dikeluarkan dari kilang.

Ada lagi model terakhir yang tidak disenaraikan sebagai model produksi iaitu spesifikasi Nismo. Ironinya, ia bukanlah model baru sepenuhnya tetapi sayap penala Nissan, Nismo telah membeli semula R34 GTR di pasaran Jepun dan mengubahsuainya dengan spesifikasi mereka. Ya. Ia kereta terpakai yang diperbaharui dan dijual semula kepada peminat fanatik Nissan!

2017-Nissan-GT-R-Nismo-mekanika (3)

GENERASI KEENAM – NISSAN GT-R, INI BETUL-BETUL GT-R!!

Ia cuma dikenali dengan nama GT-R dan tidak lagi Skyline GT-R. Dipertontonkan buat pertama kali di Pameran Motor Tokyo 2007 sebelum dilancarkan pada 6 Disember tahun yang sama di Jepun.

Setahun kemudian ia dieksport keluar Jepun. Ia dihasilkan berdasarkan model konsep GT-R abad ke 21 yang dipamerkan di Pameran Motor Tokyo 2001. Direka semula untuk pameran yang sama 2005 dengan mengekalkan 80 peratus ciri-ciri asal.

GT-R dihasilkan dengan menggunakan teknologi terkini yang boleh didapati dalam eranya untuk membolehkan ia mencapai tahap imbangan yang diperlukan.

BACA – GT-R TERPANTAS DI BUMI DARI BAHRAIN

BACA – REKOD GT-R TERPANTAS KINI DIPEGANG AMS!

Kejuruteraan perlumbaan digunakan sepenuhnya dalam pembuatan untuk memastikan ia cukup ringan dan teguh. Untuk itu bahagian badannya diperbuat daripada aluminum dan komposit karbon agar lebih ringan.

Unit paparan pelbagai fungsi bahagian dalam pula direka oleh Polyphony Digital (pencipta permainan Gran Turismo untuk Sony Playstation). GT-R turut dilengkapi dengan lampu-lampu LED pada semua bahagian kereta ini.

Ia hasilkan dalam kawasan kilang dengan suhu yang terkawal untuk memastikan semua bahagian berada dalam suhu yang selaras sewaktu dipasang.

Versi Track Edition dikeluarkan pada tahun 2014 dengan suspensi yang lebih agresif, ruang kemasukan udara yang lebih besar, sistem sejukan brek yang lebih baik dan spoiler hadapan yang unik. Tempat duduk belakang dikeluarkan dan tempat duduk hadapan diberi kemasan kulit berwarna hitam oleh Recaro.

Nissan-GT-R-Vision-2020-30

GT-R SELAMANYA

Setelah 6 generasi, GT-R yang terkini kini masuk pengeluaran tahun yang ke lapan semenjak pertama kali ia diperkenalkan pada 2008. GT-R juga melakar sejarah pengeluaran paling panjang dan ia membawa reputasi Nissan ke persada tertinggi yang belum pernah mereka dikecapi.

Ia paling pantas dalam kelasnya dan bukan itu sahaja, jauh lebih murah dari saingan terdekatnya Porsche 911. GT-R telah membuktikan bahawa sportscar “murah” memang boleh dibina dan dijual secara massa di pasaran. VR38DETT adalah contoh bagaiamana kejuruteraan moden mampu mengubah dunia dan itu menambahkan lagi gimik persoalan masa depan.

Adakah GT-R akan datang lebih pantas dan lebih bagus?

Google ads
Back to top button