PENAPIS UDARA DAN PENAPIS PELINCIR – DUA BENDA PENTING YANG RAMAI TERLEPAS PANDANG

SHARE

Enjin merupakan nadi ataupun penggerak sebuah kenderaan yang perlukan penjagaan dan penyelenggaraan yang berterusan. Sebaik mana pun rekaan enjin tersebut tanpa penyelenggaraan yang rutin ia akan menyusahkan anda suatu hari nanti.

Dengan kata lain sekali enjin anda meragam, tersadailah dibuatnya. Kalau di rumah sendiri tiada masalah tetapi bagaimana jika tersadai di tengah-tengah hutan? Ataupun di lebuhraya dalam perjalanan balik ke Kokdiang?

BACA: TPS PENJAGAAN BREK KERETA

Anda mungkin juga akan mengalami defisit belanjawan peribadi dari semasa ke semasa kerana terpaksa membayar kos pembaikian kereta disebabkan kecuaian sendiri dalam mengabaikan penjagaan kereta.

Tetapi sebenarnya ada dua alat ganti yang agak murah tetapi membantu enjin anda berfungsi dengan lebih baik dan lancar dalam jangka masa yang lama. Cuma satu saja masalahnya, ia cukup mudah menjadi kotor dan mesti selalu ditukar dalam jangka masa tertentu.

Alat ganti yang dimaksudkan ialah penapis udara dan penapis minyak pelincir. Jika anda membelek majalah-majalah ataupun apa sahaja bahan bacaan berasaskan automotif, terdapat pelbagai iklan yang memaparkan kebaikan dua produk ini dari syarikat-syarikat tertentu.

Setiap syarikat ini akan mendakwa yang produk mereka adalah lebih baik daripada produk pesaing mereka. Tetapi sebenarnya bagaimanakah kedua alat ganti ini berfungsi melindungi enjin anda? Kami akan cuba terangkan secara neutral tanpa fakta-fakta yang biasanya disertakan dalam iklan-iklan biasa.

PENAPIS UDARA

Bagaimana penapis udara berfungsi sebenarnya? Adakah sama dengan penapis air osmosis terbalik yang menelan ansuran bulanan RM300 sebulan seumur hidup? Sedikit sama tetapi ada perbezaaannya.

Sebagai contoh mudah, lihat sahaja gril hadapan kereta anda ataupun bahagian papan nombor pendaftaran sebaik sampai ke destinasi khususnya pada lewat malam. Agak menjijikkan bukan? Ada lalat mati, kumbang, dan pelbagai kotoran yang melekat di situ.

Benda-benda ini juga akan sampai ke dalam ruangan enjin melalui bukaan hadapan dan tidak mustahil terus ke dalam enjin jika tidak disekat oleh elemen penapis udara ini. Ia seterusnya mengakibatkan kerosakan dan kakisan di dalam bahagian enjin. Suatu yang semestinya kita tidak mahu berlaku.

Penapis udara akan menapis semua benda-benda asing tadi lama sebelum ia memasuki dalaman enjin. Malah penapis udara ini juga diletakkan di dalam kotak pelindung plastik untuk melindunginya daripada pencemaran secara terus dari elemen luar.

BACA: CARA PENJAGAAN BATERI YANG BETUL

Bila penapis udara menjadi terlalu kotor, ia akan menyebabkan bekalan udara kepada enjin menjadi berkurangan menyebabkan proses pembakaran menjadi kurang cekap. Ini akan menghalang enjin daripada menghasilkan kuasa yang sepatutnya dihasilkan.

Bagaimanapun, penyelidikan menggunakan enjin moden dengan sistem suntikan bahan api menunjukkan penapis udara yang kotor memang akan mengurangkan kuasa enjin anda tetapi sama sekali tidak akan menjejaskan kadar penggunaan bahan api kenderaan.

Jika ada iklan yang mengatakan penggunaan penapis udara keluaran mereka akan menjimatkan bahan api tu faham-fahamlah. Itu semua teknik jualan untuk menarik minat pelanggan.

PENAPIS PELINCIR / OIL FILTER

Penapis minyak pelincir pula mungkin mempunyai saiz hanya sebesar gelas teh tarik tetapi ia mempunyai fungsi yang cukup penting. Ia berfungsi seperti buah pinggang anda yang menapis segala kotoran dalam saluran darah kita.

Untuk enjin kereta semestinya ia merujuk kepada minyak pelincir enjin. Serpihan logam hasil kakisan akibat geseran komponen enjin akan bertindak sebagai pengisar yang akan bercampur dengan minyak pelincir.

Ia perlu ditapis sebelum mengakibatkan kerosakan yang lebih besar kepada enjin. Dalam masa yang tertentu, penapis ini juga akan menjadi kurang efektif akibat mendakan kotoran yang banyak didalamnya dan perlu diganti.

Jika tidak, enjin anda akan dicemari dengan sampah-sampah kecil yang bercampur dengan minyak pelincir dan mengakibatkan hakisan pada enjin anda. Sebab itu juga, sewaktu jadual penukaran minyak pelincir, semua pengeluar mengesyorkan penapis pelincir ditukar bersama. Tak guna tukar pelincir tetapi penapisnya masih kotor dan pelinciran baru tidak dapat berfungsi dengan ekefektif.

BACA: PERINGATAN PENTING KEPADA PEMILIK CVT

Terdapat beberapa barangan dalam kereta anda yang anda mungkin melengahkan masa sebelum menukarnya seperti pewangi kenderaan. Ia tidak memberi kesan kepada kenderaan anda kecuali kesan kepada anda sendiri ketika membeli durian (membayangkan pun dah rasa pening).

Dua penapis ini bagaimanapun mempunyai kepentingan yang besar kepada kesihatan enjin kereta dan sebaiknya diperiksa dan ditukar secara berkala. Untuk kepastian masa penukaran sila rujuk kepada buku panduan penjagaan kereta anda. Setiap kereta mempunyai jadual kekerapan yang berbeza.

Jangan berkira sangat dengan kos untuk keduanya kerana ia merupakan antara alat ganti yang paling murah dalam sesebuah enjin kenderaan. Malah harga penapis minyak biasanya jauh lebih murah daripada seliter minyak pelincir semi sintetik.

Penapis udara pula bergantung kepada jenis yang anda pilih. Penapis udara standard biasanya agak murah dan kegunaannya pula secara pakai buang. Terdapat juga penapis udara aftermarket yang berharga lebih mahal tetapi boleh digunakan berulang kali selepas dibersihkan.

BACA: BAGAIMANA PASTIKAN AIRCOND SEJUK DAN TAHAN LAMA?

BACA: TPS JIMATKAN BAHANAPI SEMASA MEMANDU

 

 

 

Share this post

scroll to top