Artikel Pilihan

PERJALANAN HIDUP MITSUBISHI 100 TAHUN

Tahun ini usia Mitsubishi Motors sudah mencecah 100 tahun. Suatu perjalanan yang cukup panjang. Ia bermula pada tahun 1917 bila Mitsubishi Shipbuilding CO. Ltd. memperkenalkan kereta pertama mereka yang dikenali dengan Mitsubishi Model-A.

BACA: SELAMAT ULANGTAHUN KE 100 ISUZU

Berikut kami paparkan sejarah perkembangan Mitsubishi sepanjang seratus tahun dalam bentuk garis masa. Kalau nak cerita satu-satu memang kena buat novel rasanya.

1917- MITSUBISHI MODEL A

Mitsubishi Model-A dihasilkan sebagai kenderaan mewah khusus untuk kegunaan pegawai-pegawai kerajaan. Ia kemudiannya dipasarkan kepada umum dan merupakan kereta pertama yang dikeluarkan secara besar-besaran dalam sejarah Jepun.

1962 – GRAND PRIX MACAU

Mitsubishi Motors telah memenangi perlumbaan antarabangsa pertama yang disertai dan memperbaharui catatan rekod perlumbaan baharu dengan menggunakan Mitsubishi 500 Super Deluxe. Ia juga merupakan kenderaan pertama yang diuji secara aerodinamik dalam terowong udara di Jepun.

1970 – TEKNOLOGI KERETA ELEKTRIK

Mitsubishi Motors sudah memulakan penyelidikan kereta elektrik (EV) sejak dari tahun 1970 sekaligus memulakan langkah untuk memasarkan EV secara besar-besaran. Ia juga merupakan syarikat pertama yang memulakan proses ke arah tersebut.

COLT GALANT GTO

Dilahirkan dari model Colt F-Series yang telah memenangi Grand Prix sebanyak lima kali. Galant GTO telah dilancarkan di Jepun dan akhirnya akan berkembang kepada model ikonik Lancer Evolution.

1976 – SILENT SHAFT TECHNOLOGY

Mitsubishi Motors membangunkan teknologi yang dinamakan Silent Shaft Technology dan melesenkan paten mereka kepada Porsche, Saab dan Fiat.

1980 – DISEL BERKUASA TURBO

Para jurutera Mitsubishi berjaya memperkenalkan enjin turbodisel jimat tenaga pertama dengan Silent Shaft Technology.

1983 – PERLUMBAAN RALI DAKAR

Mitsubishi Pajero mencipta sejarah baru perlumbaan Rali Dakar dengan memenangi tiga kejuaraaan dalam tahun pertama penyertaan. Untuk pengetahuan semua, Rali Dakar merupakan medan perlumbaan tahan lasak yang paling mencabar di dunia.

1987 – GALANT VR4

Mitsubishi Galant VR4 menjadi kereta pertama yang dilengkapi dengan Suspensi Kawalan Elektronik Aktif (ECS). Ia juga merupakan model pertama Mitsubishi yang menerima anugerah ‘Car of the Year’ di Jepun.

1989 – VR4 & WRC

Pada tahun ini galant VR4 telah memenangi dua pusingan rali WRC iaitu One Thousand Lake Rally dan RAC Rally. Suatu pencapaian yang cukup membanggakan bagi sebuah model yang baharu sahaja diperkenalkan.

1990 – SISTEM KAWALAN TRAKSI

Mitsubishi Motors juga merupakan syarikat pertama yang mereka sistem kawalan cengkaman ataupun juga dikenali dengan nama Traction Control System. Ia kemudiannya menjadi ciri keselamatan wajib bagi sebuah kereta baharu di kebanyakan negara termasuklah Amerika Syarikat.

3000GT

Mitsubishi 3000GT ataupun juga dikenali dengan nama GTO diperkenalkan. Ia membawa teknologi baharu bersamanya seperti sistem suspensi AWD sepenuh masa berprestasi tinggi dan aerodinamik aktif.

1992 – BERMULALAH LAGENDA LANCER EVOLUTION

Model lagenda Lancer Evolution dilancarkan seterusnya memenangi pelbagai perlumbaan seperti WRC, perlumbaan litar dan perlumbaan mendaki bukit yang terkenal (hill climb).

TEKNOLOGI MIVEC

Teknologi enjin generasi baru MIVEC (Mitsubishi Innovative Valve timing Electronic Control system) diperkenalkan dengan mengekalkan prestasi enjin tetapi pada masa yang sama memaksimakan penggunaan bahan api.

1996 – GDI (GASOLINE DIRECT INJECTION)

Mitsubishi Motors mendahului dunia dengan memperkenalkan enjin mesra alam sekitar GDI.

1998 – KEJUARAAN WRC

Tommi Makinan mencatat rekod dengan memenangi kejuaraan WRC empat tahun berturut-turut dari tahun 1996 hingga tahun 1999 untuk kategori pemandu. Mitsubishi pula memenangi pengeluar dalam tahun 1998. Kesemuanya dengan menggunakan Mitsubishi Lancer Evolution.

2007 – KKEJUARAAN RALI DAKAR KE-12

Mitsubishi Motors memperbaharui rekod dengan 7 kemenangan Rali Dakar berturut-turut menjadikan jumlah kemenangan keseluruhan mereka kepada 12 kemenangan.

LANCER EVOLUTION X

Lancer Evolution X dilancarkan dengan Super All-Wheel Control yang dikatakan sebagai sistem AWD termaju di dunia. Ia juga telah memenangi anugerah ‘Car of the Year’ di Jepun.

2008 – DRIVE @ EARTH

Mitsubishi memperkenalkan konsep baharu untuk menghasilkan kenderaan yang lebih bersih untuk kesejahteraan manusia, masyarakat dann alam sekitar. Ia menggunakan semua teknologi seperti EV dan pengurangan keluaran bahan bakar untuk meningkatkan kualiti hidup.

2009 – i-MiEV

Selepas 40 tahun penyelidikan dan memenangi pelbagai anugerah, Mitsubishi Innovative Electric Vehicle ataupun i-Miev diperkenalkan di serata dunia.

Kini selepas 100 tahun perjalanan dalam bidang automotif dan kejuruteraan, Mitsubishi Motors menetapkan hala tuju baharu dalam menghasilkan kenderaan EV generasi baharu. Pakatan baharu Nissan-Renault-Mitsubishi diharapkan aka terus berkembang menghasilkan model-model yang lebih mengancam.

Ia akan menjadi pencabar terdekat kepada syarikat seperti Tesla dalam menghasilkan kenderaan EV dengan jarak operasi yang lebih panjang.

Selamat ulang tahun ke 100 Mitsubishi Motors dan semoga terus bergerak maju sehingga 100 tahun lagi.

 

 

 

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button