PETER SAUBER DAN KISAH F1 – SEJARAHNYA YANG PANJANG

SHARE

Sebut sahaja nama Sauber, rata-rata kita pasti mudah untuk mengenali dan mengingati kereta lumba F1 terutamanya sewaktu jenama Petronas terpampang dengaan jelas pada jentera sewaktu era penajaan Petronas tengah sedap. Itu jam, perasaan bangga melihatkan jenama Malaysia bersaing di litar lumba dengan ditonton serata dunia jangan cakaplah. Malah, sewaktu melihatkan replika dua buah jentera yang tergantung pada pintu masuk Suria KLCC pasti menjadi perhatian ramai, baik daripada pengunjung tempatan mahupun luar negara.

BACA : MISTERI PETRONAS FP-1, SUPERBIKE PERTAMA MALAYSIA YANG DITELAN SEJARAH

BACA : INILAH “SAFETY CAR” TERBAIK YANG PERNAH DIGUNAKAN DALAM GRAND PRIX F1

Akan tetapi sebelum itu marilah kita mengenali siapakah gerangan empunya pemilik pasukan Sauber ini. Peter Sauber asalnya adalah merupakan seorang yang berkemahiran sebagai Juruteknik tetapi memilih untuk menjadi Jurujual kenderaan di Hinwill, Switzerland yang mana sehingga kini masih merupakan pengkalan utama buat pasukan Sauber F1 Team.

Sebagai pemuda yang tegas dan handal, maka muncul satu idea untuk mereka jentera pertama yang diberi kod C1 (asal penggunaan kod C dalam setiap jentera adalah merujuk kepada nama isteri beliau sendiri, Christiane) yang dibina di ruangan parkir tingkat bawah tanah (basement) dengan menggunakan tubular frame. Ianya telah dipasang dengan enjin bersesaran 1 liter Ford Cosworth dan digunakan untuk perlumbaan mendaki bukit di Switzerland pada tahun 1970.

Sebelum terjebak dengan dunia F1, Peter Sauber terlebih dahulu membabitkan diri dalam siri World Sportscar Championship dengan menggunakan jentera Sauber-Mercedes C9. Antara pemandu yang pernah bersama pasukan termasuklah Michael Schumacher dan Heinz-Harald Frentzen. Kisah F1 Peter Sauber bermula pada 1993 hasil kerjasama dengan Mercedes-Benz sebelumnya sewaktu siri perlumbaan World Sportscar Championship.

Dan tahun 1993 merupakan permulaan kepada era F1 sehingga kini. Tahun 1995 pula merupakan permulaan kerjasama dengan Petronas apabila logo kecilnya ditempatkan pada penjuru sayap jentera. Pada 1996 pula, maka bermulalah era penajaan Petronas besar-besaran bersama Pasukan Sauber dengan perkataan PETRONAS jelas terpampang di kiri dan kanan badan jentera C15 dengan warna hijau korporat mereka.

Penajaan (baca: kerjasama) ini sebetulnya banyak memberikan faedah kepada Petronas sendiri dengan penubuhan Sauber-Petronas Engineering yang khusus untuk membina jentera F1 sendiri. Malah, kerjasama ini turut membuahkan hasil dengan penciptaan enjin untuk kegunaan kenderaan produksi massa, Petronas E01 (kemudiannya telah dibeli hak dan dijenamakan sebagai Proton E01).

Kata orang, langit tidak selalu cerah. Peter Sauber kehilangan pasukannya sendiri setelah BMW membeli 60% saham daripada Credit Suisse pada Jun 2005. Sungguhpun demikian, Peter Sauber masih memegang hak 20% dan atas dasar itu, pihak BMW menjenamakan pasukan sebagai BMW-Sauber dengan beliau bertindak sebagai Penasihat.

Setelah beberapa musim, Julai 2009 BMW mengumumkan penarikan diri mereka dalam kancah F1. Dan setelah beberapa ketika, BWM kembali menjual seluruh operasi F1 kepada Peter Sauber. Walaupun kembali memiliki, tapi itulah. Langit lebih cepat gelap daripada yang disangkakan. 2016 menyaksikan Peter Sauber mengalami masalah kewangan dan terpaksa menjual kepada Longbow Finance, syarikat pelaburan dari Switzerland juga. Semenjak dari itu, Peter Sauber terus mengumumkan persaraan beliau dari dunia permotoran. Dan sudah tentu legasi Sauber Motorsport akan terus kekal dan menjadi warisan kebanggaan bangsa Swiss.

Sumber : Wikipedia & www.sauberf1team.com

Share this post

scroll to top