Artikel Pilihan

PROTON SATRIA NEO S2000 – NOSTALGIA SANG JUARA…  

Proton dan sukan motor merupakan dua entiti yang tidak boleh dipisahkan. Membangun daripada syarikat Mitsubishi, era 90-an merupakan zaman kegemilangan Proton menerusi keterlibatan mereka dalam arena perlumbaan tempatan mahupun antarabangsa.

Kejayaan Proton dalam kacah rali, perlumbaan endurance dan litar menyaksikan pengeluar tempatan ini terus menerus melabur untuk menempatkan diri mereka sebaris dengan jenama terkenal lain.

Berbeza dengan syarikat “muda” seluruh dunia yang lebih fokus kepada pemasaran dan jumlah jualan, Proton melabur sejumlah dana yang besar untuk pembangunan sukan motor. Mereka menempa nama dan kemuncak sebenar, apabila Proton memutuskan untuk bertanding dalam perlumbaan rali paling berprestij di dunia WRC (World Rally Championship) menerusi Proton Putra yang dibangunkan oleh firma rali terkemuka – Prodrive.

BACA: PUTRA PRODRIVE, PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI…

Namun, atas sebab yang tidak dapat dijelaskan sehingga hari ini, pelaburan besar tersebut terhenti di tengah jalan. Unit kereta yang hampir siap terbiar tanpa sebarang berita. Antara spekulasi yang tersebar ialah conflict of intrest syarikat Prodrive yang juga bertanggungjawab membangunkan jentera Mitsubishi.

PROTON SATRIA NEO

Proton Satria Neo merupakan generasi kedua Proton Satria yang diperkenalkan sejak tahun 1994. Ia mula diperkenalkan kepada umum pada tahun 2006 dan menjadi antara model Proton terlaris di kalangan generasi muda.

Neo dilengkapkan dengan dua pilihan enjin iaitu  1.3-liter CamPro dan 1.6-liter Campro. Ia merupakan sebuah model yang agak sporty dan merupakan satu-satunya model Proton yang dipasarkan di Jepun (menerusi syarikat tuner Cusco).

SATRIA NEO S2000

Itu Satria Neo biasa, Satria Neo S2000 yang ingin kami ceritakan ini merupakan kembar seiras Satria Neo biasa tetapi dengan karektor yang berbeza.

Ia merupakan model yang disediakan oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM) untuk Proton Motorsports’ British dan menepati piawaian FIA Super 2000. Dihasilkan menggunakan casis asal sama seperti kereta kegunaan di jalan raya. Ia mula dibangunkan seawal tahun 2009 khusus untuk siri Super 2000.

Bagaimanapun, Neo bukannya dikuasakan dengan enjin CamPro asal tetapi menggunakan enjin 1.8-liter Renault yang sama dilengkapkan pada model Proton Waja. Ia ditala oleh MEM agar menepati piawaian Super S2000 dan mampu bersaing dengan baik sewaktu perlumbaan, sekaligus mampu menghasilkan 278 bhp pada 7600rpm.

Apa itu S2000 @ Super 2000?

Ia merupakan kategori kenderaan ataupun kereta yang ditetapkan untuk perlumbaan touring ataupun rali oleh FIA dengan syarat ia sudahpun dipasarkan sekurang-kurangnya 2500 unit pada tahun sebelumnya. Enjinnya mestilah enjin NA (normally aspirated) tidak melebihi 2.0-liter dengan had putaran enjin 8500 rpm.

Ada sedikit perbezaan dari segi spesifikasi touring dan rali di mana versi rali dibenarkan menggunakan sistem pacuan empat roda dengan kotak gear sequential 6-kelajuan yang dibekalkan oleh satu daripada tiga syarikat pembekal yang diluluskan.

Satria Neo dihasilkan daripada kerangka asas yang dihantar kepada bengkel MEM. Di situ kemudiannya tiub Chrome Moly ringan sepanjang 35 meter digunakan untuk menghasilkan sangkar keselamatan.

Selain mampu menyelamatkan nyawa pemandu dan penunjuk arah, sangkar itu juga berfungsi menguatkan kerangka utama kereta.

Kedudukan tempat duduk keduanya adalah lebih ke belakang berbanding Neo standard untuk agihan berat yang lebih baik. Bahagian pedal-pedal dan stereng juga adalah boleh laras untuk keperluan pemandu yang berbeza.

Sistem pacuan empat roda juga membuatkan kereta ini memerlukan ruang sambungan transmisi yang lebih besar. Satria Neo S2000 ini menggunakan  kotak gear sequential 4WD versi 532 yang dibekalkan oleh Xtrac.

Tidak ada langsung komponen suspensi standard digunakan pada model ini.Kebanyakan komponen suspensi juga dihasilkan daripada tiub Chrome Moly TIG. Para jurutera MEM juga mereka sistem suspensi berdasarkan tetapan asal tetapi dengan material gred lebih tinggi.

Sistem bolehlaras membolehkan kereta ini direndahkan tanpa sebarang masalah sewaktu berlumba di permukaan jalan raya dan ditinggikan untuk berlumba di laluan off-road.

Breknya pula adalah daripada jenama Alcon dengan angkup 4-piston yang ditempa. Cakera bersaiz 300mm digunakan untuk laluan off-road manakala 350mm untuk jalan  raya. Saiz rim untuk jalan raya pula ialah 18 inci berbeza dengan untuk kegunaan off-road, 15 inci.

 

Beberapa buah model ini telah disiapkan untuk beberapa acara rali dan dipandu oleh beberapa orang pemandu rali ternama.

Untuk rali Intercontinental Challenge tahun 2011, pemandunya ialah Chris Atkinson bermula di Rali Monte Carlo dan sebuah kereta lagi dipandu oleh Per-Gunnar Andersson.

Beliau juga bertanding dalam semua enam pusingan Asia Pacific Rally Championship (APRC) 2017. Seorang lagi pemandu Satria Neo S2000 untuk APRC ialah Alister McRae.

McRae juga merupakan pemandu yang bertanggungjawab memandu kereta ini sehingga menjadi juara kategori pengeluar dan pemandu pada perlumbaan APRC 2011.

Google ads
Back to top button