Artikel Pilihan

QINGXING JINGKE 400 – JELMAAN AVANZA VERSI EV

Segmen EV (electric vehicle) kini semakin diterima ramai. Baik yang menyokong usahanya dalam penjagaan alam sekitar mahupun buat mereka yang tidak menginginkan sakit kepala memikirkan harga bahan bakar yang ada naik dan turun harganya. Akan tetapi, rata-rata kenderaan EV yang diperkenalkan di pasaran hanya mampu memuatkan sehingga lima penumpang sahaja. Beg baju balik kampung jenis isi dalam beg plastik ikat atas bumbung jangan kasi jatuh. Lalu, timbullah idea bagi syarikat Qingxing ini, membina Jingke 400. 

BACA : ICONIC 7 MPV KONSEP ELEKTRIK MEWAH

BACA :POLESTAR 1 – GRAND TOURER COUPE BUATAN CHINA, BERKUASA 600hp & TORK 1,000Nm! 

Syarikat Qingxing ini baru sahaja ditubuhkan pada tahun 2017 yang lalu, merupakan anak syarikat kepada kumpulan First Auto Work (FAW). Dan syarikat yang berpengkalan di Beijing ini mengkhususkan segmen EV sahaja dalam senarai produk mereka kelak.

Oh ya, sebelum ada yang bertanya, apa pasal macam pernah tengok aja MPV ini kan. Benar. Tidak salah mata anda yang memandang. Ianya adalah model rebadge daripada model Toyota Avanza generasi pertama kalau di tempat kita. Akan tetapi, Qingxing telah mengambil model daripada FAW-Jilin Senya S80 untuk dijadikan model Jingke 400 mereka. Kira dah dua kali rebadge-lah ni. Senang betul mereka buat kerja.

Walau pun nampak macam senang, tetapi sebenarnya susah juga. Sebab model Jingke 400 ini tidaklah lagi dijanakan kuasa enjin 1.5 liter. Dah nama pun EV. Jadinya, sebuah motor elektrik daripada pek bateri 45.5 kWh dengan kuasa 80hp dan 220 Nm dapat dihasilkan dengan mudah. Manakala di bahagian muka hadapan, terdapat garisan berwarna biru yang dipasang. Nak bagitahu kereta elektrik lah kononnya tu. Cuma lampu di bahagian belakang telah diberikan nafas baharu dengan penggunaan lampu utama jenis melintang dan bukan lagi menegak

Jikalau pandu setakat 60 km.j, bolehlah dapat berjalan sejauh 380 km. Boleh tahan jauh juga. Sesuai sangat dipandu waktu musim perayaan begini. Serba serbi jem tak tentu hala. Tapi kalau pandu luar musim perayaan, mau dua tiga hari juga baru sampai kampung kalau pandu setakat kelajuan basikal tu kan?

Walaupun Jingke ini meminjam chasis daripada Avanza, namun pengeluarnya lebih berminat memasang kerusi sehingga barisan kedua sahaja. Makna kata, setakat nak isi lima orang dan bagasi yang bagak dan biskut-biskut raya untuk dibawa pulang ke kampung adalah cukup ideal. Tak cukup lagi, rail di bumbung juga sudah tersedia. Tinggal nak beli kotak pasang aja kemudian.

Ruang kabinnya pula tipikal mana-mana kenderaan buatan China. Bubuh acah-acah kulit sebagai alas tempat duduk dan skrin sesentuh bagi nampak efek tidak murah.

Jingke 400 ini dijangka berada di pasaran China pada suku ketiga 2018 ini dengan tanda harga bermula Yuan 49,900 (RM31,138). Murah bukan?

Google ads

B K

Back to top button