Artikel Pilihan

RENAULT ESPACE F1 – MPV TERPANTAS DI DUNIA!

Renault Espace merupakan sebuah MPV yang cukup low profile. Ia tidak sehebat MPV lain yang dipasarkan di Malaysia dan mempunyai harga pasaran semasa yang membuatkan ramai pemilik menitiskan air mata.

Maunya tidak, dengan harga kurang RM10,000 anda sudah boleh mendapatkan sebuah Renault Espace 2.0 keluaran tahun 2002. Tapi itu Espace untuk kegunaan biasa, contohnya untuk pergi ke pasar, hantar anak sekolah dan balik beraya di kampung setahun sekali.

Ini pula Raja segala Espace di muka bumi ini, mungkin juga ia sebenarnya raja kepada segala MPV.

Espace F1 merupakan satu-satunya MPV ataupun van yang layak menggunakan nama F1 ataupun Formula Satu di dunia ini. Ini kerana ia bukan calang-calang MPV. Malah ia juga cuma ada satu unit sahaja. Ia dihasilkan sebagai memperingati ulang tahun ke sepuluh pengeluaran Espace dan juga penglibatan Renault dalam perlumbaan F1.

BACA: CARLOS GHOSN, LELAKI AJAIB DI SEBALIK RENAULT

BACA: FORD TRANSIT EDISI VALENTINO ROSSI

MPV ini merupakan hasil kerjasama dua buah syarikat iaitu Renault dan Matra. Matra merupakan syarikat yang bertanggungjawab merekabentuk Espace untuk Renault. Dan semestinya pada ketika MPV ini hendak dihasilkan, Renault sedang membangunkan enjin V10 untuk kegunaan kereta F1 mereka (masa ni F1 masih menggunakan enjin V10).

Walaupun ia cumalah satu latihan kejuruteraan yang biasa, Renault Espace F1 telah dihasilkan dengan jayanya. Sebenarnya ia bukanlah MPV yang membawa penumpang seperti MPV biasa semata-mata.

Mereka cuma menggunakan bahagian atas badan Espace biasa yang kemudiannya dicantumkan dengan bahagian lantai yang diperbuat daripada  gentian karbon. Ia kemudian dilengkapkan dengan enjin F1 pasukan Williams-Renault FW15C tahun 1993 yang dilaraskan agar mampu menghasilkan 800 bhp kuasa maksima! (Vellfire baru berapa bhp?). Ia sebenarnya telah dinaik taraf daripada 700 bhp kuasa pada enjin asal.

Dengan kata lain ini memang sebuah jentera F1 yang memakai baju lain. Ia juga mempunyai prosedur penghidup yang sama seperti kereta F1 pada tahun 90-an. Malah ia juga perlukan bantuan daripada sistem komputer luaran dan beberapa orang pembantu sama seperti kereta F1 sebenar. Payah juga kalau nak balik kampung macam ni.

Selain daripada itu ia turut dilengkapkan dengan kotak gear separa automatik 6-kelajuan sama seperti kereta F1 Williams FW15C. Kedudukan enjinnya juga kini berbeza dari Espace biasa dan menggunakan format yang sama seperti kereta F1 (mid-engined).

Tapi bila ia sudah bergerak memang lain ceritanya adik-adik. Tonton sahaja video pada pautan di bawah untuk melihat kehebatannya. MPV ini mampu menbuat pecutan dari 0 hingga 200 kilometer sejam hanya dalam masa 6.9 saat. Kelajuan maksimanya pula memang melebihi 300kmj, sama seperti kereta F1 sebenar.

Jika ada yang rasa macam pernah melihat MPV ini, itu bukannya perasaan anda semata-mata kerana ia juga turut ditampilkan dalam permainan Playstation Gran Turismo 2. Kini Espace F1 ini menetap di ruang pameran Matra di Perancis.

GALERI

 

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button