Artikel Pilihan

SATU KETIKA DAHULU YAMAHA PERNAH MENGHASILKAN ENJIN UNTUK FORD DAN MENGGEGARKAN DUNIA AUTOMOTIF

Ini bukan kereta biasa-biasa walaupun ianya sebuah Ford  Taurus yang dihasilkan pada tahun 80-an. Kereta ini tidak dipasarkan di Malaysia sayangnya tetapi Ford Taurus SHO merupakan antara sport sedan terpantas pada zamannya. Apa rahsia? Ayah saya pun pakai Ford Telstar 2.0 tapi tak adalah laju sangat. Senjata rahsia kereta ini ialah enjin V6 yang dihasilkan khusus oleh Yamaha. Dengan kata lain ia menggunakan enjin yang diasaskan daripada enjin motosikal.

Gandingan Ford Taurus SHO dan enjin V6 Yamaha ini memang epik dan nyaris membuatkan Ferrari masuk sekolah balik untuk mereka enjin baru. Betul ke ni? Mestilah, tak percaya teruskan membaca.

Fakta pertama ialah enjin 3.0-liter DOHC V6 ini muncul dan membuatkan ramai kaki-kaki modified seluruh dunia angkat kening. Malangnya ramai yang memandang rendah kerana ia dipasang pada sebuah Ford Taurus (Kalau Escort Cosworth lain la). Enjin ini mempunyai garisan merah pada 7,300 RPM untuk memastikan aksesori dalaman tidak terbang ke sana sini. Padahal enjin ini berkemampuan untuk berputar pada kelajuan 8,500 RPM sepanjang hari tuan-tuan.

Angka kuasa maksima 220 hp untuk enjin NA memang cukup tinggi bagi standard tahun 1989. Malah ia juga menjadikannya antara enjin NA dengan nisbah kuasa/sesaran tertinggi di dunia.

Terdapat juga pancarongga kemasukan dua peringkat yang buat masa sekarang pun kelihatan seperti dihasilkan dengan teknologi NASA. Ia juga mempunyai dua puncak tork (2,700 RPM dan 4,500 RPM) dengan penggunaan dua set intake runner bagi mengekalkan kuasa pada kelajuan rendah dan tinggi. Ia membantu Ford Taurus ini mencatat kelajuan 100 km/j hanya dalam masa 6.5 saat.

Itu baru sikit. Untuk perbandingan enjin ini hanya berbeza 5 hp kuasa maksima berbanding dengan Mustang GT V8 5.0 pada zaman itu. Bukan itu sahaja, enjin ini juga masih cukup menjimatkan minyak berbanding enjin lain khususnya keluaran AS.

BACA: MERCEDES CLK GTR – KERETA BERENJIN V12 PALING GILA PERNAH DIBINA

Enjin ini wajar dihormati bukan hanya kerana ia dihasilkan sepenuhnya oleh Yamaha di Jepun tapi ia juga boleh dikatakan cukup tahan lasak jarang sekali meragam. Komponen injapnya dikatakan mampu bertahan sehingga 320,000 kilometer walaupun ia sepatutnya diselenggara setiap 100,000 kilometer.

Enjin ini sebenarnya dihasilkan untuk produk yang lebih hebat dan bukannya menukar sedan biasa kepada sedan sporty. Ia pada asalnya dicadangkan untuk model mid-engine Ford yang diberi kod GN34. Dengan kuasa sebegitu Ford hanya sekadar menghasilkan kereta sport biasa tetapi mereka dikatakan akan mencabar Ferrari 308 secara berdepan.

Perkara pokok di sini bukannya Ford Taurus itu sendiri yang hebat tetapi enjin SHO yang dihasilkan oleh Yamaha yang bukan hanya perintis enjin masa depan tetapi juga cukup menjimatkan dan berkuasa. Ia juga mampu menjadi senjata untuk menewaskan jentera-jentera eksotik keluaran Itali jika kena caranya.

Walaupun akhirnya ia menghuni ruang enjin Ford Taurus tapi ia masih sesuatu yang menakjubkan. Manakan tidak kerana dalam tahun 1989 ia merupakan sebuah sedan yang kedua terpantas di dunia. Mengekori rapat BMW M5 yang menelan kos tiga kali ganda lebih mahal untuk dimiliki.

Ia bukannya cubaan pertama Yamaha dalam rekaan automotif tetapi enjin SHO V6 telah menjadi salah satu enjin terhebat sepanjang zaman.

Google ads
Back to top button