SEJARAH : A1GP KINI TINGGAL SEJARAH
Lama dahulu, dunia perlumbaan satu tempat duduk pernah digemparkan dengan suatu perlumbaan yang dianggap sebagai Piala Dunia Sukan Permotoran. Agak kencang jugalah dia punya sembang di kala itu. Tapi itulah, perlumbaan yang berpaksikan negara itu kini telah lenyap dan hanya tinggal sejarah. Budak-budak zaman Aiman Tino entah tahu ke tidak perlumbaan A1 Grand Prix ini.
BACA : LEGASI PELUMBA F1 ANAK DAN BAPA
BACA : PETER SAUBER DAN KISAH F1 – SEJARAHNYA YANG PANJANG
Idea perlumbaan yang lari daripada konvensional berpasukan, telah dicetuskan oleh Sheikh Maktoum Hasher Maktoum Al Maktoum, dari Dubai pada tahun 2003. Idea asalnya adalah untuk mengisi ruang kosong yang ditinggalkan ketika tamatnya musim perlumbaan F1, dan perlumbaan A1 musim pertama telah berlangsung dengan jayanya bermula 25 September 2005 hingga 2 April 2006 dengan membabitkan 11 siri perlumbaan.
Sebagai orang yang ada-ada, sebarang idea yang mungkin gila bagi pandangan orang kebanyakan, perlumbaan A1 bukanlah satu masalah besar. Menggunakan jentera Lola serta berenjinkan Zytek yang mampu menghasilkan kuasa sekitar 520hp serta tambahan 30hp powerboost, perlumbaan A1 ini pasti mudah untuk menarik perhatian peminat serta bakal pemilik francais. Walapun idea asalnya adalah untuk perlumbaan membabitkan negara, namun beberapa francais telah berjaya dikenal pasti bagi mewakili beberapa negara dalam perlumbaan. 23 francais adalah ditetapkan untuk negara manakala baki 7 lagi telah menjadi milik beberapa pasukan seperti Carlin Motorsport yang menguruskan bagi pasukan dari negara Jepun, Lebonan dan Portugal. Manakala DAMS pula menguruskan pasukan A1 dari Perancis, Mexico dan juga Switzerland. Bertambah menariknya lagi, setiap pasukan negara yang bertanding wajib mempertaruhkan pelumba lokal walaupun sebetulnya turut ada disenaraikan adalah pemandu naturalisasi seperti Adam Khan yang mewakili pasukan A1 Pakistan walaupun beliau sebetulnya dilahirkan di England.
Oh ya, pasukan A1 Malaysia telah diuruskan sendiri melalui kerjasama antara Jack Cunningham selaku Prinsipal dan juga bekas pelumba F1 negara, Alex Yoong yang turut bertindak sebagai pemandu bagi musim pertama. Apa yang menariknya, pasukan A1 Malaysia bagi musim pertama agak bagus juga prestasinya dengan berjaya memenangi pusingan di China serta dua lagi kedudukan podium dan berjaya menduduki tempat kelima secara keseluruhan.
Namun, terik siang yang dijangkakan berpanjangan rupanya gelap di malam hari. Siri perlumbaan A1 menerima kejutan apabila pemilik Sheikh Maktoum bertindak untuk menjual A1GP kepada RAB Capital yang diketuai oleh Tony Teixeira pada penghujung 2006. Beliau cuba untuk membawa pembaharuan pada musim keempat (2008-09) dengan pengenalan jentera baharu Powered by Ferrari. Namun idea tersebut mendapat tentangan daripada pasukan yang bertanding dengan menyatakan kesuntukan masa untuk menguji jentera baharu tersebut selain daripada isu kos perlumbaan akibat daripada pembaharuan tersebut.
Dan detik kelam A1 ini akhirnya melabuhkan tirainya sewaktu perancangan musim kelima 2009-10 siri ini sedang giat dirancang. Perlumbaan pembukaan sepatutnya dilangsungkan di Surfers Paradise Street Circuit, Australia namun tiada langsung kelibat jentera serta kelengkapan dengan kesemuanya masih lagi berada di London ketika itu. Dan rentetan daripada itu, beberapa siri perlumbaan berikutnya turut dibatalkan termasuklah Litar Sepang. Dan akhirnya, perlumbaan A1GP ini terkubur begitu sahaja tanpa ada satu pun perlumbaan dilangsungkan walaupun jadual telah dikeluarkan.
Sungguhpun A1GP ini berdosa di mata peminat sukan permotoran ketika akhir musimnya, namum kelibat beberapa pelumbanya pasti mampu menghapuskan sedikit rasa ralat. Nelson Piquet Jr., Sébastien Buemi, Nico Hülkenberg, Adrian Sutil, Jos Verstappen dan tidak lupa pelumba handalan negara Alex Yoong antara nama yang pernah memeriahkan perlumbaan yang kini hanya tinggal sejarah sahaja.