Artikel Pilihan

SELAMAT JALAN KENICHI YAMAMOTO, BAPA ENJIN ROTARY MAZDA (1922-2017)

Kenichi Yamamoto merupakan kepala kepada pasukan “47 Ronin” yang membawa kepada penghasilan enjin rotary yang telah menjadi kebanggaan Mazda. Tokoh penting dunia automotif ini bagaimanapun telah menghembuskan nafas terakhir pada 20 Disember 2017 pada usia 95 tahun. Pengumuman kematian beliau telah disampaikan kepada pihak media pada hari Krismas lepas oleh keluarganya.

Seorang lagenda dalam dunia permotoran dan hero kebanggaan Jepun, Yamamoto cukup sinonim dengan enjin rotary dan telah menulis buku tentangnya. Kehidupannya yang penuh inspirasi bermula pada tahun 1922.

Yamamoto telah dilahirkan di wilayah Kumamoto dan kemudiannya berpindah ke bandar Hiroshima bersama keluarganya. Beliau mempunyai ijazah dari Universiti Tokyo yang cukup berprestij pada tahun 1944 dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan terus menyertai Kawanishi Aircraft Company.

Pada tahun 1945 beliau telah direkrut sebagai tentera laut Jepun tetapi telah kembali ke Hiroshima pada bulan September selepas ia musnah akibat serangan bom atom Amerika Syarikat.

Serangan tersebut telah meragut nyawa adik perempuan Yamamoto dan satu-satunya ahli keluarga yang tinggal ialah ibu beliau. Yamamoto menjaga keperluan ibunya sambil cuba mendapatkan pekerjaan di bandar yang hampir musnah itu.

Pekerjaan memang sukar didapati tetapi akhirnya beliau berjaya mendapat pekerjaan sebagai buruh di kilang transmisi Toyo Kogyo. Pada masa itu Toyo Kogyo merupakan syarikat yang menjadi asas kepada Mazda dan memulakan pengeluaran trak tiga roda sebagai sebahagian rancangan pembangunan semula Hiroshima.

Pekerjaaan baru Yamamoto memang cukup mencabar fizikal dan mental. Ia memerlukan beliau memasang komponen-komponen transmisi siang dan malam. Seharian bergelumang dengan bendalir minyak, Yamamoto bukan lagi melakukan kerja-kerja jurutera sebenar bahkan lebih kepada buruh biasa sehingga satu hari beliau menemui beberapa blueprint dan mula mempelajari serta memeriksanya pada waktu terluang. Beliau juga memeriksa dengan teliti komponen-komponen transmisi yang dipasangnya setiap hari.

BACA: MAZDA RX-7 TYPE R BARTHURST – 500 UNIT SAHAJA (SEMUANYA JDM)

Sehinggalah kerja-kerja Yamamoto yang cukup teliti disedari oleh jurutera senior yang telah membawanya naik ke jawatan jurutera sebenar. Antara projek Yamamoto yang pertama ialah dalam merekabentuk enjin OHV Mazda yang pertama sewaktu beliau berusia 25 tahun.

Yamamoto dinaikkan pangkat sebagai penolong pengurus Engine dan Design Division pada tahun 1959 dan menyelia beberapa projek penting Mazda ketika itu antaranya ialah trak K360 dan R360, kereta penumpang pertama Mazda. R360 kemudiannya berjaya menguasai 65 pasaran domestik Jepun untuk kategori ‘kei’ dan Mazda menjadi pengeluar nombor satu selepas Perang Dunia. Yamamoto merupakan tulang belakang dalam kumpulan jurutera Toyo Kogyo.

Bakat yang ada pada Yamamoto membuatkan beliau dipilih oleh Tsuneji Matsuda, presiden Toyo Kogyo sebagai ketua pembangunan enjin rotary yang bakal mencorakkan hala tuju Mazda di masa hadapan. Ia juga satu usaha untuk membangunkan enjin pembakaran dalaman generasi baru kepada dunia. Matsuda meyakinkan Yamamoto yang syarikat dari Hiroshima mampu dan mesti mencipta keajaiban dalam dunia kejuruteraan – falsafah yang dipegang teguh oleh Yamamoto di kemudian hari.

Seramai 47 orang gabungan jurutera, pereka dan saintis telah dilantik dan diberi jolokan 47 Ronin, seperti lagenda samurai terkenal Jepun. Mereka menjadi perintis kepada cabang baru syarikat yang dinamakan Rotary Engine Research Division. Inilah permulaan kepada enjin lagenda Mazda yang berterusan menjadi sebutan sehingga kini.

BACA: MAZDA COSMO SPORT – 50 TAHUN TEKNOLOGI ENJIN ROTARY

Terima kasih kepada Yamamoto, Mazda menjadi satu-satunya pengeluar kenderaan di dunia yang menguasai pembuatan enjin rotary dengan sempurna tetapi pengaruh Yamamoto bukan hanya setakat itu sahaja.

Beliau turut terlibat dalam Projek Phoenix Mazda pada tahun 70-an untuk mengurangkan penggunaan bahan api pada enjin rotary sebanyak 40 peratus dan memastikan ia mampu lulus piawaian Clean Air Act 1970.

Yamamoto juga menulis buku mengenai enjin rotary bertajuk Rotary Engine dan telah diulang cetak beberapa kali. Beliau turut dinaikkan pangkat sebagai Presiden Mazda pada tahun 1984 sebelum menjadi Pengerusi pada tahun 1992.

Selepas bersara beliau kekal sebagai penasihat syarikat dan telah dinamakan sebagai salah seorang tokoh dalam Japan Automotive Hall of Fame 2007 berikutan sumbangannya dalam membangunkan potensi enjin rotary.

Di Jepun, Yamamoto dianggap sebagai bapa enjin rotary. Walaupun ia pertama kalinya diperkenalkan oleh Felix Wankel, sebenarnya Yamamoto ialah jurutera yang bertanggungjawab mempelajarinya, membangunkannya dan , menambahbaiknya sehingga ia mampu dikeluarkan secara besar-besaran. Melalui Kenichi Yamamoto Mazda telah berjaya menghasilkan produk yang telah menawan hati jutaan peminat di seluruh dunia. Beliau akan diingati setiap detik yang akan datang. Terima kasih Kenichi Yamamoto atas sumbangan besar anda kepada dunia automobil.

Google ads
Back to top button