SELAMAT ULANGTAHUN KE 100 ISUZU MOTORS!

SHARE

Syarikat mana yang merupakan pengeluar kenderaan tertua dari Jepun? Mesti dalam kepala kita akan berputar dengan nama-nama syarikat yang menjadi pilihan rakyat Malaysia seperti Toyota, Honda, Nissan, Mazda atau Subaru.

Malangnya jawapan tersebut semuanya salah kerana, syarikat pengeluar kenderaan tersebut ialah Isuzu. Ia mula diasaskan pada tahun 1916 menjadikan usianya genap 100 tahun pada tahun 2016.

BACA-COROLLA BUATAN KAYU, SEMPENA 50 TAHUN COROLLA

BACA-ARAI NSR, SEMPENA ULANGTAHUN KE 30

Sama seperti negara-negara membangun lain ketika itu, kebangkitan revolusi perindustrian menyebabkan ramai pereka-pereka baru muncul. Kereta pertama keluaran Jepun mula diperkenalkan pada tahun 1902 oleh Shintaro Yoshida namun cuma satu unit disiapkan. Model yang dihasilkan untuk jualan dinamakan tetapi cuma 10 unit sahaja dikeluarkan dan tidak ada satu pun kekal hingga sekarang.

Sebenarnya ada dua syarikat moden yang layak menjadi syarikat pengeluar kenderaan paling tua di Jepun iaitu Mitsubishi dan Isuzu. Kedua-duanya berasal daripada syarikat berasaskan perkapalan.

mitsubishi-model-a

Mitsubishi Model A, model pertama kereta dari Jepun

Mitsubishi Shipbuilding Corporation mula menghasilkan Model A pada tahun 1917 tetapi Isuzu telah diasaskan pada tahun 1916 hasil gabungan dua syarikat gergasi, Tokyo Ishikawajima Shipbuilding & Engineering Company dan Tokyo Gas and Electric.

Syarikat-syarikat perkapalan ini mula merebut insentif yang ditawarkan oleh kerajaan Jepun berdasarkan Akta Kenderaan Sokongan Tentera yang diperkenalkan akibat konflik peperangan Russo-Japanese dan Perang Dunia Pertama.

Permintaan terhadap trak-trak besar untuk kegunaan ketenteraan adalah amat tinggi. Justeru, trak Isuzu yang pertama telah dikeluarkan pada bulan Mac 1918. Nama Isuzu belum lagi digunakan dan ia dikenali dengan nama TGE-A-Type mengikut singkatan nama syarikat asal.

Trak pertama Isuzu yang dikomersialkan pada tahun 1918

Trak pertama Isuzu yang dikomersialkan pada tahun 1918

Pembangunan Jepun yang cukup pesat membuka ruang pasaran untuk kereta penumpang. Ia bukan untuk kegunaan peribadi kerana harganya yang cukup mahal tetapi lebih kepada untuk kegunaan komersil seperti teksi.

Syarikat-syarikat asing asing seperti Ford dan GM mula membuka kilang dan membawa masuk kereta-kereta kos rendah ke Jepun. Pada ketika itu pengeluaran kereta Jepun masih lagi dikira ketinggalan zaman.

Isuzu pada ketika itu mengorak langkah dengan membuat perjanjian usahasama dengan syarikat Wolseley dari England untuk menghasilkan kereta penumpang dan pada bulan Disember 1922, unit pertama yang dinamakan Wolseley A9 mula disiapkan.

Isuzu mendakwa ia sebagai kereta pertama yang dihasilkan secara besar-besaran di Jepun. Setahun selepas itu, gempa bumi yang besar telah melanda Kanto yang mengakibatkan banyak kemusnahan harta benda. Sekali lagi kereta dan trak-trak besar diperlukan untuk pembangunan semula. Kerajaan Jepun sekali lagi menawarkan insentif untuk menggalakkan pembangunan semula.

Keadaan ekonomi dan sosio setempat tidak menggalakkan pemilikan kereta secara peribadi di Jepun ketika itu, jadi Isuzu melupakan pasaran kereta penumpang dan memajukan lagi perusahaan membuat trak yang lebih menguntungkan.

Sumida, Bas pertama dari Isuzu , buatan Jepun pertama untuk pasaran

Sumida, Bas pertama dari Isuzu , buatan Jepun pertama untuk pasaran

Pada tahun 1927, mereka memulakan proses pengeluaran bas dan trak dengan rekaan sendiri khusus untuk pasaran Jepun. Biasanya, mereka akan menamakan produk mereka dengan nama tempat-tempat terkenal di Jepun, contohnya model yang dinamakan Sumida sempena dengan nama sungai yang mengalir sepanjang 27 kilometer merentasi bandaraya Tokyo.

Nama Isuzu mula digunakan pada tahun 1937 kerana keperluan menepati standard yang diperkenalkan oleh kerajaan Jepun dan ia juga diambil daripada nama sebatang sungai di Jepun yang mengalir melalui daerah Ise yang merupakan satu kawasan paling suci mengikut kepercayaan rakyat Jepun.

Selepas itu salasilah keluarga Isuzu mula berkembang. Sekitar pelancaran model Sumida, bahagian pembuatan kereta Tokyo Ishikawajima Shipbuilding & Engineering telah terpisah menjadi syarikat berasingan.

GABUNGAN DENGAN DAT

Pada tahun yang sama kenderaan Isuzu dilancarkan, Ishikawa Automotive Works telah bergabung dengan DAT Automobile Manufacturing (sebahagian daripada gabungan ini akan kemudiannya menjadi asas kepada pembentukan syarikat Datsun yang kemudiannya dikenali dengan nama Nissan hari ini).

Ia kemudian dikenali hanya dengan nama Automotive Industries dan memfokuskan kepada penyelidikan enjin disel. Mereka kemudian berjaya menghasilkan enjin disel sejukan udara yang cukup maju dan dinamakan DA4 dan DA6 berdasarkan jumlah selinder.

Ia cukup terbukti popular khususnya untuk kegunaan perdagangan dan ketenteraan. Enjin inilah juga yang menjadi asas kepada enjin disel moden Isuzu hari ini.

Enijn DA6 yang telah menjadi asas kepada kejayaan enjin disel buatan Isuzu pada hari ini

Enijn DA6 yang telah menjadi asas kepada kejayaan enjin disel buatan Isuzu pada hari ini

Untuk sekian lama Isuzu melupakan pembuatan kereta dan fokus kepada penghasilan trak dan bas. Sekali lagi Isuzu bergabung dengan syarikat lain untuk menghasilkan kenderaan untuk kegunaan selepas Perang Dunia Kedua.

Selepas perang, sebahagian gabungan itu berpecah keluar dan menjadi syarikat Hino yang kemudiannya dimiliki oleh Toyota, pesaing terdekat Isuzu.

Tahun 1949 syarikat ini dikenali dengan nama Isuzu Motors secara rasmi. Masih mengekalkan perniagaan dengan pembuatan trak tentera tetapi kali ini untuk kegunaan askar Amerika yang mahukan lokasi kilang berhampiran dengan Perang Korea. Isuzu juga telah menjadi pengeluar kenderaan terbesar di Jepun pada ketika itu.

Hanya menjelang 1950 baharulah Isuzu kembali berminat menghasilkan kereta kerana ia mula mendapat pasaran dan dibeli secara persendirian. Kini mereka mengulang sejarah dengan membuat perjanjian kerjasama pembuatan dengan syarikat dari England untuk menghasilkan Hillman Minx.

Pada tahun 1959, Isuzu memperknalkan trak kegunaan mereka yang terkenal sehingga ke hari ini, Isuzu Elf. Inilah nenek moyang kepada Isuzu Commando yang sangat laris jualannya di Malaysia sehingga kini.

Isuzu Bellel, kereta pertama yang direkabentuk dan dihasilkan sepenuhnya oleh Isuzu

Isuzu Bellel, kereta pertama yang direkabentuk dan dihasilkan sepenuhnya oleh Isuzu

Isuzu melancarkan kereta pertama rekaan mereka sepenuhnya yang dinamakan Bellel dan bersaing dengan Toyota Crown dan Nissan Cedric. Namun pembuatan kereta bukanlah kekuatan Isuzu. Ia mempunyai banyak masalah contohnya permukaan cat yang kurang kemas dan bunyi enjin yang bising. Kualitinya mungkin munasabah untuk sebuah trak tetapi bukan pada sebuah kereta penumpang biasa. Banyak yang akhirnya digunakan sebagai teksi.

Isuzu tidak berputus asa dan kembali menghasilkan model Bellett pada tahun 1963. Ia merupakan satu kejayaan dan berbeza langsung dengan model sebelumnya. Ia juga dilengkapi dengan sistem suspensi bebas sepenuhnya yang termaju dengan pilihan kotak gear manual dan juga automatik.

Isuzu Bellett - antara kereta klasik Jepun yang sangat cantik dilihat pada hari ini.

Isuzu Bellett – antara kereta klasik Jepun yang sangat cantik dilihat pada hari ini. Juga terdapat dalam versi GT Type R.

Sterengnya juga adalah dari jenis rak dan pinan yang memang merupakan ciri termaju ketika itu. Versi GT turut dilengkapi dengan brek cakera di hadapan manakala versi paling berkuasa dikenali dengan nama GT Type R (rupanya sebelum Honda dah ada model Type baq hang) dan dilengkapi dengan enjin twin-overhead cam.

GT Type R ini juga merupakan model sport terhebat di Jepun ketika itu. Isuzu juga mengeluarkan pelbagai versi Bellet ini seperti sedan, wagon dan ute (pikap seperti Proton Arena).

Kejayaan Bellett membolehkan Isuzu melancarkan model ikonik mereka yang kedua pada tahun 1968 dan dinamakan 117 Coupe. Ia merupakan hasil lakaran pereka tersohor Itali, Giorgetto Giugiaro dan dihasilkan dengan tangan. Jumlah pengeluaran hanya sekitar 30 ke 50 unit sahaja sebulan. Ia juga merupakan kereta pertama di Jepun yang menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik pada tahun 1970.

Isuzu 117 Coupe, kereta yang menyambung kegemilangan Bellett

Isuzu 117 Coupe, kereta yang menyambung kegemilangan Bellett

Namun Isuzu masih gagal menyaingi kejayaan Toyota atau Nissan bagi kategori pengeluaran kereta penumpang. 90 peratus produk mereka masih lagi trak dan bas. Saranan daripada kerajaan supaya syarikat pembuat kenderaan bergabung untuk menghadkan jumlah syarikat juga merupakan satu tekanan kepada mereka.

Nissan telah bergabung dengan Prince pada ketika ini tetapi gabungan antara Isuzu dan Subaru kurang menjadi. Gabungan itu kemudiannya berpecah dan Isuzu menjalinkan kerjasama dengan GM untuk mendapatkan akses kepada pasaran dunia.

Ini memberikan kelebihan kepada Isuzu untuk memasarkan produk mereka. Ingat teksi hitam kuning Kuala Lumpur suatu ketika dulu sekitar penghujung 80-an yang bernama Opel Gemini? Ia merupakan hasil sentuhan Isuzu dan merupakan kereta pertama mereka untuk pasaran dunia.

GM juga membenarkan Isuzu menghasilkan trak pikap mereka dipasarkan oleh Isuzu di serata dunia. Namun masalah juga timbul dalam hubungan mereka dengan GM dan menyebabkan Isuzu memasarkan sendiri produk mereka di Amerika Syarikat. GM kemudiannya bergabung dengan Toyota dan membentuk jenama Geo.

Isuzu Impulse. masih ingat dengan kereta ini?

Isuzu Impulse. masih ingat dengan kereta ini?

Dekad 80-an merupakan satu kejayaan buat Isuzu bila model keluaran mereka seperti Impulse, Trooper dan Gemini mula laris terjual di seluruh dunia. Isuzu juga menjalinkan kerjasama dengan syarikat lain untuk melakukan rebadging kereta-kereta mereka.

Contohnya hasil kerjasama dengan Honda, mereka memasarkan Accord generasi kelima dengan nama Legacy Aska, Integra sebagai Vertex dan Odyssey sebagai Oasis. Honda juga diberikan hak untuk mengeluarkan model-model Isuzu dengan nama mereka sendiri.

Pada hujung 90-an, Isuzu mengejutkan dunia dengan rekaan SUV konsep futuristik yang dinamakan VehiCROSS. Bayangkan rekabentuk V-Cross ini pada tahun 1997 ketika Proton menghasilkan Tiara dan Perodua menghasilkan Rusa. Vehicross ini benar-benar sebuah SUV dari planet lain!

Isuzu V-Cross, datang dari Marikh kah?

Isuzu V-Cross, datang dari Marikh kah?

Pada tahun 2002, Isuzu meninggalkan sepenuhnya pembuatan kereta penumpang dan meneruskan usaha mereka dalam pembuatan trak dan SUV. Mereka telah menghasilkan banyak kereta menarik tetapi kekuatan sebenar mereka ialah dalam bidang pembuatan kenderaan berat.

Kini Isuzu telah melebarkan pasaran mereka di lebih dari 100 negara di dunia dan walaupun cuma ada beberapa produk, Isuzu adalah antara syarikat Jepun yang berjaya mengharungi cabaran perniagaan moden. Isuzu Motors telah menyambut ulangtahun yang ke 100 dan dengan kejuruteraan yang dimiliki, tidak mustahil ia akan bertahan untuk 100 tahun lagi.

Selamat Hatri Jadi Isuzu!

 

 

(Visited 11 times, 11 visits today)

Share this post

scroll to top