SI KUDA BESI – MERCEDES-BENZ 190E (W201)

SHARE

Kalau dilihat dari segi reka bentuk, tentu ramai tak percaya Mercedes-Benz W201  dihasilkan pada tahun 1982. Ya, ramai ingat kereta ini dikeluarkan pada era 1990. Sedangkan hakikatnya ia dihasilkan sezaman dengan Honda Accord ‘surau’ dan Toyota Corona teksi.

BACA – SUBARU FORESTER, KERETA TERPAKAI BERKUALITI

BACA – KENAPA KERETA JEPUN LEBIH DIPERCAYAI?

Mitsubishi YE-Triton-Mrec-Desktop

Antara sebab kereta ini jauh lebih maju berbanding pesaingnya ialah lebih £600 juta (RM3.5 bilion) telah dibelanjakan untuk pembangunan kereta ini. Malah, ramai pengkritik industri mengatakan ia sebuah kereta yang ‘over engineered’ dari banyak segi.

Pasukan jurutera Mercedes-Benz buat julung kali mengambil kira kecekapan aerodinamik sebagai faktor yang penting ketika mereka bentuk badan kereta ini. Sebab itulah, W201 mempunyai rekaan badan yang cukup moden berbanding kereta lain yang sezaman dengannya.

Pada awal perlancaran, model ini menggunakan enjin Mercedes M102 dengan suapan bahan api karburator dan pancitan bahan api elektronik. Enjin ini hampir sama dengan enjin yang digunakan oleh Mercedes siri W123 yang terkenal dengan kelasakannya.

Mercedes-Benz-190E-mekanika (1)

Model karburator dikenali dengan nama 190. Manakala untuk versi pancitan bahan api, ia dipanggil 190E. Huruf E merujuk kepada Einspritzung (pancitan bahan api dalam bahasa Jerman).

Kuasa enjin ialah 90bhp (karburator) dan 105hp (pancitan bahan api). Ia kemudian dipadankan dengan pilihan kotak gear manual 4 atau 5 kelajuan dan automatik 4 kelajuan.

Menjelang tahun 1983, Mercedes-Benz memperkenalkan pilihan enjin 2.3 liter yang mampu menghasilkan 113bhp. Versi ini dikenali sebagai Mercedes 190E 2.3. Pada tahun 1984, beberapa perubahan dibuat kepada enjin yang meningkatkan kuasanya kepada 122bhp.

Mercedes-Benz-190E-mekanika (5)

Paling signifikan ialah pengenalan model Cosworth pada tahun sama yang merupakan varian istimewa homologasi perlumbaan kereta touring Jerman. Model ni menggunakan enjin M102 dengan kepala silinder rekaan Cosworth yang memberi kuasa mencecah 185bhp.

Model tahun 1985 menerima enjin M102 yang dipertingkat kuasanya kepada 130bhp dan pada tahun 1987, sistem suntikan bahanapi enjin ni mendapat sentuhan Bosch KE3-Jetronic. Dengan sistem nyalaan berbeza dan nisbah mampatan enjin yang ditingkatkan telah menaikkan kuasa enjin kepada 137bhp.  Tahun 1987 juga menyaksikan kehadiran model 6 silinder 2.6 liter M103 160bhp.

Selain petrol, model ini juga mempunyai versi enjin diesel yang dilancarkan pada tahun 1983. Enjin diesel bersesaran 2,000cc itu amat terkenal dengan ketahanannya dan sering menjadi pilihan  mereka yang gemar memandu jauh. Untuk pasaran Amerika Utara, Mercedes-Benz memperkenalkan enjin 2.2 liter. Pada penghujung produksi model ini, Mercedes-Benz melancarkan pula versi enjin 2.5 liter turbo.

Mercedes-Benz-190E-mekanika (8)

Di Malaysia, model yang paling banyak dijual ialah versi 2 liter petrol. Kalau anda nak beli di pasaran terpakai, harganya berbeza mengikut tahun dan kondisi. Mercedes-Benz ini boleh dibeli semurah RM5,000 dan boleh mencecah RM30,000!

Model terawal boleh dibeli pada harga yang murah. Dengan kondisi yang baik boleh dibeli dalam lingkungan harga RM10,000. Model terakhir yang dikeluarkan sekitar tahun 1991 ke 1993 dijual pada harga RM15,000 ke atas, bergantung kepada kondisi.

Walaupun kereta ini sudah berusia lebih 30 tahun, kejuruteraan hebat yang dicurahkan memastikannya masih utuh dan selesa untuk perjalanan jauh. Jadi tidak hairanlah jika ia menjadi kereta klasik pilihan dan tiada masalah untuk dipandu setiap hari. Penggunaan timing chain pada enjin dan mekanikal yang ringkas memudahkannya diselenggara.

Mercedes-Benz-190E-mekanika (7)

Model Cosworth agak sukar ditemui di Malaysia. Sepanjang saya meninjau laman web menjual kereta, pernah sekali sahaja saya temui model asli untuk dijual dengan tawaran harga mencecah RM50,000. Model convert boleh ditemui dengan harga yang lebih rendah iaitu sekitar RM30,000.

Kalau nak beli model convert, pastikan aksesorinya lengkap. Misalnya  tempat duduk bucket, bodykit lengkap dan enjin dipasang dengan sempurna. Pastinya model manual mampu menarik harga yang lebih tinggi berbanding model automatik.

Mercedes-Benz-190E-mekanika (1)

Kalau anda membeli model standard dan ingin mengubah suai kepada spesifikasi Cosworth, pastikan poket penuh. Sebab kalau nak barang-barang asli, harganya boleh cecah 5 angka.

Apa yang pasti, Mercedes klasik tetap sebuah Mercedes. Ia ibarat kereta kebal yang boleh merempuh apa sahaja. Di Eropah, model W201 dan W124 dianggap sebagai keajaiban kejuruteraan moden.

Melangkaui jarak perbatuan sejauh 1 juta kilometer bukan lagi satu kebanggaaan. Memang kereta ni direka untuk bertahan sejauh itu.

Kalau garaj rumah saya besar macam padang bola, memang dah beli satu buat hobi!

Share this post

scroll to top