SUZUKI PLAZA – SEJARAH SUZUKI YANG TERSEMBUNYI DI JEPUN

SHARE

Adalah menjadi impian ramai peminat kereta dan motosikal untuk menjelajah tempat-tempat begini. Alhamdulillah, dengan sedikit siasatan, duit belanja dan semangat berkobar-kobar, pasukan mekanika berjaya sampai ke muzium yang menempatkan susur galur sejarah sejarah syarikat permotoran Jepun – Suzuki.

Ia adalah syarikat yang kini membuat kereta dan motosikal yang dikenali di dunia. Muzium ini terletak bersebelahan dengan kilang pengeluaran kereta dan motosikal Suzuki yang terletak di daerah Hamamatsu, Jepun – kira-kira tiga jam perjalanan dari Bandaraya Tokyo.

Di sini, satu pameran yang komprehensif dibuat untuk mendedahkan kepada umum susur galur sejarah syarikat ini. Ia diasaskan oleh Michio Suzuki.

Michio Suzuki dilahirkan dalam tahun 1887 di sebuah kampung yang bernama Nezumino-mura yang hanya mempunyai 32 buah rumah sahaja. Beliau merupakan anak kedua seorang peladang yang menghabiskan masa kecilnya dengan memetik kapas. Pada awalnya, kejuruteraan, rekacipta dan elektrik merupakan sesuatu yang asing dalam hidup Suzuki dan keluarganya.

Satu-satunya kemahiran penduduk Nezumino-mura ialah menenun kain kapas dan inilah yang memberi idea kepada Suzuki untuk ciptaan sulung beliau. Antara ungkapan beliau dan menjadi sumber inspirasi kepada beliau sendiri ialah;

“Sentiasa mendengar kehendak pelanggan dan membangunkan produk yang praktikal tetapi pada masa yang sama cukup berguna kepada pelanggan”.

Membesar dalam budaya menenun kain jadi tidak mustahil lah hasil ciptaan beliau yang pertama ialah mesin tenunan yang dihasilkan menggunakan kepingan besi dan papan lapis. Dengan mesin ciptaan beliau inilah ibu Suzuki mampu menghasilkan tenunan yang 10 kali lebih pantas berbanding cara tradisional.

Kejayaan beliau menghasilkan mesin tenunan baru ini cepat tersebar dan beliau mula menerima tempahan. Dengan keyakinan baru hasil kejayaan pertama itu, beliau memulakan syarikat pertama beliau yang dinamakan Suzuki Loom Manufacturing dalam tahun 1909.

Syarikat inilah yang kemudiannya berkembang menjadi Suzuki Motors. Pada masa itu Suzuki cuma berumur 20 tahun dan memulakan syarikat beliau di atas sekeping tanah seluas 200 meter persegi yang dipinjam daripada penduduk setempat.

Selepas beberapa siri ciptaan yang berjaya dipasarkan, Suzuki menempa nama bila mengeluarkan mesin tenunan kain sarung yang berjaya dieksport hampir keseluruh Asia Tenggara sekitar tahun 1930.

Inilah produk pertama yang berjaya dieksport seterusnya menaikkan nama syarikat beliau selaku pengeluar mesin tenunan. Mesin ini merupakan produk utama syarikat Suzuki untuk kesekian tahun lamanya. Ianya satu kejayaan besar dan asas kepada hala tuju syarikat Suzuki seterusnya.

Berpegang kepada prinsip Suzuki iaitu ‘Yaramaika’ (bermaksud ‘Just do it’), Suzuki bersama menantunya, Shunzo pantas membuat kajian ke atas kenderaan-kenderaan yang dihasilkan di luar negara.

Pengetahuan yang ditimba itu menjadi asas untuk membina kereta pertama Suzuki, dikenali sebagai Suzulight. Shunzo menjadikan beberapa model kereta Eropah, termasuklah Austin 7 buatan Britain yang begitu mampu milik ketika itu sebagai penanda aras.

Suzulight – kereta pertama keluaran Suzuki

Suzulight ialah sebuah kereta kompak dan ringan (kurang 500kg) yang direka agar mudah selenggara, dipandu dan murah.

Digerakkan oleh enjin bersesaran 360cc dan berkuasa 16PS, enjin dua lejang dua silinder cukup maju pada zamannya. Ia juga dipasang dengan suspensi pegas gegelung bebas dan stereng jenis rack and pinion.

Di Muzium ini dipamerkan hampir semua kejayaan silam Suzuki, terutamanya detik ketika bergelut menghasilkan kereta kecil untuk keperluan dunia.

Di tingkat 2 pula, satu arena sudut replika pengeluaran kereta dibuat untuk memudahkan pengunjung memahami proses pengeluaran sebuah kereta. Bermula dari lakaran di pejabat, sehinggalah ke proses pemasangan terakhir dilakukan.

Bagi peminat motosikal pula, terdapat susunan motosikal yang dibuat mengikut kronologi sejarah. Katana? memang ada dan banyak lagi motosikal ikonik yang boleh dilihat di sini.

Jika anda ada perancangan untuk membuat percutian ke Jepun, masukkan sekali muzium ini dalam iternari. Kami jamin, ia satu kenangan yang tak mungkin dapat anda lupakan

BACA: LAWATAN KE MUZIUM YAMAHA JEPUN MEMANG BERBALOI!

GALERI

Share this post

scroll to top