TAYAR KERETA ANDA BUKANNYA PISANG – MICHELIN

SHARE

Tayar merupakan salah satu komponen yang paling penting untuk kereta anda. Tanpa geseran yang dihasilkan di atas permukaan jalan, adalah mustahil untuk kereta anda bergerak ke hadapan ataupun ke belakang seperti mana anda mahukan. Jadi adalah amat penting untuk membuat pilihan yang bijak sebelum menukar tayar kereta anda.

Akhir-akhir ini ramai yang cukup mengambil perhatian dengan tarikh tayar tersebut diperbuat. Dengan kata lain mereka berpendapat semakin baharu tayar tersebut semakin selamat ia digunakan pada kereta anda. ‘Ilmu’ ini boleh dikatakan sudah lama tersebar dan menyebabkan pihak Michelin membuat pemerhatian mengenainya.

Menurut Michelin, ‘tarikh lahir’ tayar tidak akan menjejaskan prestasinya. Berbeza dari ubat-ubatan ataupun buah-buahan seperti pisang, anda tidak perlu bimbang dengan tarikh yang dicetak pada permukaan tayar.

BACA: MICHELIN LAKUKAN PENJENAMAAN SEMULA TYREPLUS

Malah mereka menyatakan, tarikh yang harus diambil perhatian bagi pengguna ialah tarikh satu-satu tayar itu dipasang pada kereta anda.

Michelin seterusnya menerangkan yang proses penuaan sebiji tayar itu bermula sebaik ia dipasang pada rim kereta dan bukannya sebaik dikeluarkan dari kilang. Walaupun dalam keadaan tidak bergerak, tayar terpaksa menahan tekanan angin dan perubahan suhu, apatah lagi jika dalam keadaan bergerak.

Perubahan suhu juga cukup ekstrim bila bergerak, suhu yang dihasilkan akibat geseran bergabung pula dengan suhu permukaan jalan raya selain perubahan mendadak jika terpaksa terjun ke dalam lopak air akan mengakibatkan perbezaan tekanan yang tinggi pada tayar.

Untuk memupuk kesedaran, Michelin telah melancarkan kempen kesedaran yang dinamakan “Tires Are Not Bananas”. Ia bertujuan untuk memperbetulkan anggapan salah mengenai tarikh pengeluaran tayar. Menurut Michael Nunag dari Michelin, ramai yang mengambil berat tentang tarikh pengeluaran berbanding cara-cara penjagaan tayar selepas pemasangannya.

Untuk menyokong fakta ini beberapa siri ujian telah dijalankan untuk membuktikannya. Ujian di Arab Saudi menunjukkan tayar yang berusia setahun bila digunakan mempunyai tahap penuaan yang sama dengan tayar yang telah disimpan selama sepuluh tahun.

BACA: PELAJARI TEKNIK PENJAGAAN TAYAR YANG BETUL

Ujian sama di Korea Selatan pula menunjukkan hasil yang sama antara tayar baharu berbanding tayar yang disimpan selama tiga tahun. Ujikaji yang dilakukan oleh organisasi permotoran Jerman pula mendapati yang tayar baharu dan tayar yang disimpan selama tiga tahun mempunyai kadar geseran yang sama.

Nunag kemudian menerangkan kepentingan membuat pemeriksaan tekanan angin tayar, jajaran roda, pemeriksaan keselamatan dan kedalaman bunga tayar. Ini kerana ia jauh lebih penting berbanding memeriksa tarikh tayar tersebut dikeluarkan. Tayar yang sedikit lama juga memberikan kelebihan pada anda untuk mendapatkan harga yang lebih baik dan berpatutan (Jangan la sampai yang dah berusia 10 tahun ke atas).

Beli tayar baharu empat biji jenama premium kemudian tak reti-reti nak periksa tekanan angin, tayar bocor pun kau redah bawah 100 kilometer sejam mana tak jahanam. Bila bab sembang terus ceramah tentang cara-cara nak semak tarikh tayar dikeluarkan dan segala kod yang ada pada tayar. Sabar je lah nak.

(Visited 7,171 times, 68 visits today)

Share this post

scroll to top