Artikel Pilihan

TIMING BELT ATAU TIMING CHAIN – MANA LEBIH BAIK?

Akhir-akhir ini kami perhatikan boleh tahan jugak ramai pembaca yang cukup fanatik dalam mempertahankan kebaikan penggunaan timing belt dan juga timing chain. Ada yang kata timing chain lebih bagus sebab tak perlu tukar dalam jangka masa panjang dan ada juga yang mengatakan penggunaan timing belt lebih menjimatkan kerana harganya tidak semahal timing chain.

Sebenarnya kedua-duanya mempunyai fungsi yang sama iaitu memutarkan aci sesondol untuk memastikan enjin hidup lancar tanpa sebarang masalah. Masalah utama bagi ramai pengguna di Malaysia ialah kita tidak mempunyai bajet yang besar (bukan semua). Kesan kegawatan yang melanda membuatkan kita perlu berjimat sebaik mungkin.

BACA: 10 ENJIN TERBAIK DARI JEPUN – DAN MASIH TERBAIK HINGGA HARI INI

Dari situlah timbulnya idea yang penggunaan timing chain lebih baik daripada timing belt. Sebenarnya bagi seorang kaki-kereta yang sentiasa mahu meningkatkan prestasi serta kelajuan dan sanggup berbuat apa sahaja untuk meningkatkan kuasa maksima enjin, timing belt ialah pilihan yang paling sesuai .

Sama ada berada di dalam litar ataupun sedang melakukan ujian dyno, anda mestilah mampu bertindak dengan cepat untuk mengubahsuai tetapan aci sesondol. Ia merupakan satu cara terbaik untuk melaras enjin anda dan cara yang paling cepat ialah dengan menggunakan timing belt kerana ia memudahkan anda menukar aci sesondol dengan cepat bila perlu.

Mekanik yang mahir mampu mempercepat ataupun memperlahan pemasa aci sesondol bagi memerah setiap inci kuasa yang mampu dijana enjin anda berdasarkan permukaan litar dan keadaan cuaca semasa.

Kesan penukaran timing belt juga amat ketara menyebabkan banyak model berprestasi tinggi dikeluarkan dari kilang dengan pelbagai alat bantuan pemasaan injap. Begitu juga dalam perlumbaan, anda semestinya mahu pelarasan dilakukan dengan cepat dan pantas. Ia hanya boleh dilakukan dengan menggunakan timing belt.

Penukaran aci sesondol juga boleh dilakukan dengan pantas jika enjin tersebut menggunakan timing belt. Tidak banyak komponen yang perlu dibuka untuk membolehkan proses tersebut dibuka. Lain pula halnya jika anda menggunakan timing chain. Kedudukannya yang berada di dalam perumah enjin membuatkan banyak komponen yang perlu dibuka bagi membolehkan anda menukar aci sesondol.

Kelebihan penggunaan timing belt
Terdapat pelbagai kelebihan yang ada pada timing belt sebenarnya.
1. Ia meningkatkan kuasa dengan lebih baik berbanding timing chain kerana ia bergerak dengan lebih lancar dengan kesan geseran yang minima selain mempunyai ketepatan pemasaan yang baik.
2. Ia beroperasi dengan lebih senyap berbanding timing chain kerana sifat semulajadinya yang lebih lembut berbanding rantai yang diperbuat daripada logam.
3. Ia mampu menghilangkan gegaran kecil hasil pergerakan aci sesondol. Dengan kata lain, ia juga berfungsi menyerap sebarang gegaran yang mungkin terhasil sewaktu enjin beroperasi.

Tempoh penukaran timing belt
timing belt mesti ditukar bila cukup masa, biasanya sekitar 80,000 ke 100,000 kilometer perjalanan. Boleh rujuk buku manual pengguna kereta masing-masing kerana ia berbeza mengikut model. Kegagalan ia diselenggara dengan baik mungkin mengakibatkan ia putus tetapi jangan bimbang kerana ia bukannya diperbuat daripada getah murah dan telah dihasilkan berdasarkan R&D bertahun-tahun.

Timing chain pula tidak perlu ditukar sekerap timing belt kerana ia diperbuat daripada logam sepertimana rantai basikal. Disinilah timbulnya idea daripada ramai mekanik yang tidak bertauliah kononnya timing chain lebih baik daripada timing belt kerana tidak perlu ditukar.

Adakah timing chain kebal dari kerosakan?
Tentu sekali tidak. Sama seperti komponen mekanikal lain ia juga akan haus walaupun kedudukannya terendam di dalam minyak pelincir. Kegagalan pengguna menukar minyak pelincir secara berkala, minyak pelincir kurang dan kualiti minyak pelincir yang digunakan akan menentukan tempoh hayat timing chain tersebut.

BACA: INILAH ENJIN 4 SELINDER TERBAIK PERNAH DIHASILKAN

Malah timing chain juga mempunyai komponen lain yang menyokongnya seperti tensioner, silencer dan chain guide. Semua komponen ini juga akan haus dan ada yang diperbuat daripada plastik dan perlu diganti pada suatu masa bergantung kepada kegunaan.
Timing chain yang sudah terjejas akan membuatkan enjin anda berbunyi bising selain kereta menjadi berat dan mungkin juga sukar dihidupkan. Semestinya juga kos untuk menukar set timing chain ini adalah lebih tinggi berbanding tali sawat biasa.

Kesimpulan
Tepuk dada tanya selera sistem mana yang lebih sesuai dengan anda. Bagi kami keduanya ada kelebihan. Jika ada yang mengatakan kos penukaran timing belt selama lima tahun jika dikumpulkan cukup untuk membeli sport rim baharu bagi kereta yang menggunakan timing chain, kami rasa kenyataan itu agak kurang tepat.

Logiknya agak sama dengan membandingkan kos sekotak rokok setiap hari jika dikumpulkan selama 50 tahun membolehkan kita membeli BMW 5 Siri secara tunai. Pak Amid dah 40 tahun berhenti merokok tapi masih lagi beli kereta bayar ansuran bulanan. Renungkan.

Google ads
Back to top button