Artikel Pilihan

TIPS PENTING PENJAGAAN SISTEM BREK KERETA

Sebagai pemilik mahupun pemandu sebuah kereta kita semestinya mahu melengkapkan diri kita sedikit sebanyak dengan pengetahuan tentang penjagaan sesebuah kereta. Jangan main hentam keromo dalam hal penjagaan kereta kerana satu hari nanti ia akan menyusahkan.

Kali ini kami akan berikan sedikit tips tentang penjagaan brek. Rasanya semua orang pun tahu tentang kepentingan brek bagi sebuah kereta kan? Memandu kereta tanpa brek ataupun dengan brek yang rosak ibarat mengambil jalan pintas ke alam barzah.

BACA: BREK ABS PATUT DIPASANG PADA MOTOSIKAL

BACA: TIPS PENJAGAAN BATERI YANG BETUL

Sama seperti komponen lain, brek juga akan memberikan tanda-tanda awal bila ia mula bermasalah. Macam penyakit manusia jugalah, mesti ada simptom tertentu yang akan membuatkan anda bergegas ke hospital.

Pemandu yang bijak akan sentiasa peka dengan isyarat yang diberikan oleh kereta mereka. Brek yang diselenggara dengan baik juga akan menyelamatkan nyawa. Jika ada sebarang masalah dikesan, sebaiknya anda segera membawa kereta anda ke bengkel yang mahir untuk diperbaiki.

Sebaik-baiknya sistem brek kereta anda diperiksa sekurang-kurangnya setahun sekali tetapi ada masa yang sama jangan membiarkan brek anda tanpa sebarang pemeriksaan jika ia mula memberi tanda-tanda kerosakan.

Berikut adalah tanda-tanda biasa yang harus anda beri perhatian tentang brek kereta anda. Mengabaikannya bermakna anda akan menyusahkan diri anda dan mungkin juga orang lain.

  1. Bunyi bising : Bunyi geseran, kisaran ataupun bunyi berdenting sewaktu menggunakan brek. Tidak kira macam mana bunyi sekalipun asalkan ia mula berbunyi sewaktu anda mengenakan brek harus diberikan perhatian segera.
  2. Hilang Imbangan : Kereta anda hilang imbangan ataupun seperti di tarik ke bahagian kiri ataupun kanan jalan sewaktu mengenakan brek.
  3. Pedal rendah : Pedal brek perlu ditekan sehingga menyentuh lantai kereta sebelum mula mencengkam.
  4. Pedal tinggi : Anda perlu menekan sekuat hati sebelum brek mula mencengkam.
  5. Terlalu sensitif : Brek diaktifkan terlalu cepat walaupun dengan sentuhan ringan pada pedal brek.
  6. Gegaran : Pedal brek bergegar dan bergetar walaupun anda membrek dalam keadaan biasa.
  7. Amaran lampu : Lampu amaran brek menyala pada paparan penunjuk papan pemuka kereta anda.

Kesemua tanda-tanda yang disebutkan di atas merupakan tanda-tanda yang diberikan oleh sistem brek kereta anda tentang masalah yang bakal mendatang. Jangan sesekali mengabaikannya kerana ia merupakan satu tindakan yang cukup merbahaya.  Brek merupakan komponen yang akan mengalami kehausan dan harus diganti dan diselenggara bila tiba masanya.

Terdapat beberapa faktor yang mengakibatkan brek haus dengan cepat walaupun anda menggunakan pad brek yang berkualiti tinggi antaranya :

  1. Tabiat pemanduan : Pemanduan yang agresif akan mengakibatkan kehausan yang cepat pada pad brek.
  2. Keadaan operasi : Kehausan juga bergantung kepada pengoperasian kenderaan. Jika menggunakannya untuk tugas-tugas berat ataupun di kawasan di mana muka buminya bergunung-ganang, semestinya ia juga akan menjejaskan pad brek anda lebih cepat.
  3. Jenis kereta: Alamak, kalau dah pakai Nissan GT-R takkanlah kita harap kadar kehausan pad brek akan sama seperti Axia kan?
  4. Kualiti pad brek : Pad brek kereta datang dalam pelbagai kualiti dengan jenama yang pelbagai. Jika anda berkemampuan apa salahnya mendapatkan pad brek yang lebih berkualiti untuk peningkatan prestasi brek yang lebih baik.

TRW LANCAR PAD BREK BERTEKNOLOGI SERAMIK

Akhir sekali, janganlah sampai angkup brek anda sudah bergesel dengan cakera baru mahu menukar pad brek. Geseran antara besi dengan besi akan mengakibatkan kerosakan yang besar pada cakera brek.

Kos untuk memperbaiki dan menukarnya juga boleh dikatakan agak arwah. Jadi berhati-hatilah dengan tanda-tanda awal yang diberikan oleh kereta anda.

Kecuali jika bapa anda memang ada kilang brek sendiri.

BACA: PESANAN PENTING PADA PENGGUNA CVT

BACA: BAGAIMANA PASTIKAN AIRCOND SENTIASA SEJUK?

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button