Artikel Pilihan

TUMPAHAN SIMEN DARIPADA LORI SIPUT, SAMPAI BILA MASALAH INI AKAN TERUS BERLAKU?

Semasa melalui sebatang jalan di Bandar Tun Razak baru-baru ini, saya tiba-tiba jadi agak marah.

Sebabnya, jalan yang boleh dikatakan elok itu kini dicemari oleh tumpahan simen. Tumpahan itu masih baru, dipercayai jatuh daripada sebuah lori pembancuh simen yang keluar masuk dari sebuah tapak pembinaan kondominium berhampiran.

Sebagaimana yang kita tahu, ini bukanlah kes terpencil. Sudah terlalu banyak jalan yang pada asalnya elok, jadi rosak dan membahayakan pengguna jalan raya lain hanya kerana sikap acuh tidak acuh pihak tertentu.

Simen itu tidak memerlukan masa yang lama untuk mengeras dan membuangnya boleh kata mustahil. Cara paling mudah mungkin menurapnya dengan tar lain, kemudian tumpahan simen berlaku lagi.

Begitulah kitarannya sampai bila-bila tanpa sebarang usaha atau penguatkuasaan konkrit diambil.

Bagi saya, pemandu dan syarikat pengendali lori siput ini wajar dikenakan tindakan. Ini kerana selagi tiada tindakan tegas diambil, mereka akan lepas tangan dan masalah jalan yang dicemari tumpahan simen tidak berpenghujung.

Mungkin sudah sampai masa pihak berkuasa tempatan mengambil serius perkara ini. Kalau orang parkir tepi jalan boleh saman, ini pun tiada masalah rasanya.

Pengguna jalan raya yang lain juga harus bekerjasama membuat laporan supaya masalah ini boleh dikurangkan.

Google ads
Back to top button