Artikel Pilihan

WAGON BAJET – APA PILIHAN YANG KITA ADA DI MALAYSIA?

Okey hari ni kita sambung lagi cerita pasal wagon pasal Pak Amid tengok ramai pulak yang minat dengan wagon rupanya. Harap-harap jangan la harga wagon bajet ni melambung lepas ni. Pak Amid memang tengah cari wagon untuk balik kampung dan sesekali hantar kucing pergi spa. Model-model yang kami ceritakan hari tu memang agak high-end. Dah namanya pun wagon perkasa, mestilah betul punya berkuasa.

Tapi kami sedar kat Malaysia ni harga kereta memang merapu mahalnya, jadi kita tengok pilihan yang lebih menjimatkan dan tak merabakkan poket.

BACA: KENALI MODEL-MODEL WAGON HEBAT YANG PERNAH DIHASILKAN – PRAKTIKALITI SUV DENGAN DENGAN PRESTASI KERETA SPORTS (BUKAN SEMUA)

  1. Nissan AD Resort

Ia mula diperkenalkan di Malaysia awal tahun 90-an dengan nama Nissan AD Resort tapi di Jepun ia dikenali dengan nama Nissan Wingroad. Di bahagian Eropah pula ia dikenali dengan nama Nissan Sunny Wagon.

Ia diasaskan daripada generasi kedua Nissan Sentra yang cukup popular dengan imej sebagai teksi Genting. Ditawarkan dengan transmisi automatik dan juga manual. Enjin asalnya tidaklah berkuasa sangat tetapi sangat boleh diharap.

Jika anda inginkan lebih kuasa terdapat pilihan enjin Nissan lain yang lebih berkuasa untuk disalin masuk, SR20 contohnya. Bila dah disalin dengan bodykit lengkap Nissan California Wingroad memang gempak habih lah. Harganya pun berada di bawah paras RM10k. Kira okeylah untuk sebuah wagon entry level dari Jepun.

  1. Kia Rio Wagon

Inilah model wagon paling bajet yang kami rasa. Bayangkan sebuah model selepas tahun 2000 kini boleh dibeli dengan harga RM3k. Ia dikuasakan dengan pilihan enjin 1.4 dan 1.5-liter yang lebih dari mencukupi untuk kegunaan biasa.

Kalau kena cara mekap mungkin boleh nampak menarik tetapi Kia keluaran awal macam Rio ni memang sukar sikit la. Nak bergaya mungkin tidak sesuai tapi kalau anda ingin sebuah wagon murah untuk kerja-kerja memunggah barangan ringan ini cukup sesuai.

  1. Chevrolet Optra Wagon

Sebuah lagi wagon dari Korea ialah Chevrolet Optra. Walaupun dijenamakan semua sebagai sebuah Chevrolet rasanya ramai yang tahu ia adalah sebuah Daewoo Lacetti sebenarnya.

 

Wagon ni agak rare di Malaysia sebenarnya dan juga menjadi buruan peminat termasuk Pak Amid. Berbanding dengan model sedan yang bersepah di pasaran, model wagon Optra sebenarnya agak terhad. Kalau ada pu Optra 5 yang lebih baru tapi bagi kami kurang menarik sikit. Biasalah, selera masing-masing.

Jika dibandingkan dengan Kia Rio tadi ia jauh lebih lawa dan bergaya. Masuk je sport rim 16 dengan tayar profil rendah. Nah, anda sudahpun mempunyai sebuah Chevy bajet untuk bergaya. Harganya sedikit tinggi berbanding AD Resort tetapi masih lagi dibawah paras RM15k.

  1. Toyota Corolla DX Wagon

Ini merupakan versi wagon kepada Toyota Corolla DX yang menjadi pilihan bagi mereka yang baru nak main drift. Sebuah wagon yang agak otai dengan enjin asal yang berkuasa rendah. Sudah tentulah kerana tujuan asal ia diciptakan ialah untuk penjimatan petrol dan bukannya untuk kuasa.

Model ini boleh dikira sebagai klasik sebenarnya tapi tak adalah lama sangat kerana ia mula diperkenalkan sekitar tahun 80-an dan menjadi pilihan golongan peraih dan penjual suatu ketika dahulu kerana ruang barangannya yang luas.

BACA: WAGON ANTARA PRAKTIKALITI, KELAJUAN ATAUPUN KEUNGGULAN

Jika kena dengan caranya ia merupakan sebuah model yang sangat menarik. Cuma kalau nak beli tu kena cek betul-betul terutama bahagian-bahagian yang berkarat kerana kereta ini dan agak berusia. Harga? Bagi yang dalam keadaan sederhana boleh didapati dengan harga sekitar RM5k.

  1. Mitsubishi Galant Wagon

Mitsubishi Galant Wagon generasi ketiga dan keempat merupakan antara wagon yang popular ketika dahulu kerana saiznya yang cukup besar dan boleh memuatkan sebuah peti sejuk satu pintu dengan selamba.

Generasi ketiga Galant ini dikeluarkan pada tahun 1976-1980 dan generasi keempat dari tahun 1980-1987. Wagon ini masih banyak dapat dilihat di atas jalanraya Malaysia dan sebahagian besar masih dalam keadaan baik. Enjin asal 1.6-liter yang ada padanya adalah cukup ekonomik jika dijaga dengan baik tapi kalau dan semput sangat tu banyak lagi pilihan enjin moden Mitsubishi boleh digunakan sebagai alternatif.

Itulah antara beberapa wagon bajet yang terlintas di fikiran kami. Mungkin anda ada cadangan lain. Ada juga wagon lain yang menarik tetapi masih mengekalkan harga atas faktor tertentu seperti Mercedes-Benz 123 TE. Harganya memang tidak kurang dari RM30-35k tetapi jika mampu ia merupakan pelaburan yang agak bijak sebenarnya.

Google ads
Back to top button