Artikel Pilihan

WATERCAR PANTHER – KENDERAAN AMFIBIA TERPANTAS DI DARAT MAHUPUN DI LAUTAN BIRU

Rasanya dalam banyak – banyak kenderaan amfibia yang wujud di muka bumi, WaterCar Panther ini adalah yang paling rugged pernah dilihat. Paras rupanya langsung tidak menggambarkan bahawasanya ianya adalah sejenis kenderaan dua alam. Nampak macho di daratan namun dalam masa yang masa masih kelihatan perkasa di lautan. Tapi apa pasal WaterCar Panther ini macam pernah ku lihat, tapi di mana ya?

BACA : BOSAN DENGAN BANJIR KILAT, LELAKI INI UBAHSUAI KERETA JADI AMFIBIA

BACA : DUCK TOUR : DARI PERANG KEPADA TARIKAN PELANCONG

Menurut cerita, perekanya dikhabarkan telah dicabar untuk mencipta sebuah kenderaan amfibia yang paling pantas di daratan dan juga lautan. Maka jalan pintas telah dipilih. Caranya? Pilih sahaja model kenderaan yang sedia ada, kemudian kasi ejas sampai jadi.

Untuk kelihatan laju, pemilihan bentuk kenderaan juga seharusnya tepat. Bukannya boleh sembarangan. Nak pilih Perodua Kembara macam tak nak sesuai. Jadi, mereka telah memilih model Jeep untuk dijelmakan sebagai sebuah kenderaan amfibia. Walaupun luarannya menggunakan tubuh Jeep, tapi nadinya jangan dibuat main. Bukan setakat bypass, ni siap ganti jantung lagi ok.

Sebuah enjin Honda 3.7 liter V6 V-TEC telah dipilih bagi memastikan kenderaan ini mampu bergerak dengan tangkas dan pantas. Tapi janganlah pula kau harapkan kelajuannya serupa Type-R. Enjinnya pun sudah dipindahkan ke bahagian belakang. Jangan buat gila nak letak belakang. Mana nak sangkut motor kipas pula kan? Dan untuk itu, sebuah kipas bermotor jenis Panther telah digunakan bagi menggerakkan sewaktu di dalam air.

Manakala bahagian luarannya, beberapa bahagian telah menggunapakai gentian fiber bagi menjamin ketahanannya. Malah rekaan badan kenderaan ini telah diuji berkali – kali bagi memastikan ianya mampu berfungsi dengan baik. Maka, tidak hairanlah sekiranya pihak US Coast Guard turut memberikan lampu hijau tentang rekaan kenderaan amfibia ini.

Bahagian kabinnya pula jangan ada yang beranggapan ianya akan kelihatan canggih seperti norma kenderaan biasa. Perkakasan asas masih ada. Cuma bahagian tempat duduknya telah direka semula bagi menjamin keselesaan penumpang. Apatah lagi ketika meredah laluan ombak yang berliku. Eceh. Tak adalah sakit sangat punggung tu bila terhentak. Bagi memastikan kemasan dalam dan luaran tidak mengalami masalah karat, sudah tentu pengguna stainless steel secara maksima digunakan. Penggunaan balutan tempat duduk jenis yang mampu menampung tahap kebasahan akibat percikan air turut digunakan bagi memastikan ianya akan tahan lebih lama.

Jadinya, berapakah harga untuk sebuah kenderaan amfibia yang sedap dipandu untuk bawa pergi memancing ini? Dengan harga $172,000 (RM705,888) barangkali ianya agak premium untuk dimiliki. Tapi kalau di rumah Semi-D dah lengkap dengan Vellfire dengan Myvi sebiji, apa salahnya beli sebiji kan? Hujung minggu bawa anak bini pergi Port Dickson. Amacam?

 

Google ads

B K

Back to top button