Artikel Pilihan

YOUTUBER DARI UK DIPENJARA 5 TAHUN KERANA MENIPU DUIT PESARA UNTUK MEMBELI KERETA MEWAH

Youtube memang merupakan satu platform media yang berpengaruh dan menjadi tontonan ramai. Jutaan video automotif dari ulasan model baru, pandu uji dan video-video perlumbaan boleh ditonton. Selain dari itu ia juga menjadi pelatform untuk menunjuk-nunjuk bagi golongan yang berada dan berkemampuan. Contohnya brader dari UK ini yang yang mempunyai jutaan tontonan untuk video automotif yang dimuat naik beliau.

Lelaki yang dimaksudkan ialah Anthony Locke, 32 tahun yang juga merupakan pemilik akaun Youtube dengan nama Gaskings. Video yang dimuatnaik beliau mampu mengumpul sehingga 190 juta tontonan sejak akaun tersebut dibuka pada tahun 2014.

Tapi sebelum memuatkan naik video yang memaparkan kereta-kereta hebat yang setengahnya dimiliki beliau sendiri, Locke merupakan seorang scammer (penipu) bergiat aktif dalam menipu para pesara untuk menarik minat mereka melabur dalam skim yang diperkenalkan  beliau.

Laporan polis menyatakan yang secara keseluruhan jumlah wang yang dirembat Locke dari para pesara itu mencecah 1 juta pound sterling (RM5.36 juta!).

Apa yang dibeli oleh Locke dengan duit sebanyak itu? Beliau menggunakannya untuk gaya hidup seharian beliau  dan membeli sejumlah besar kereta-kereta hebat seperti Aston Martin Vantage, Lamborghini Gallardo, Mercedes B180, Audi R8, Audi R5, Porsche 911 dan pelbagai jenis lagi kereta.

BACA: VERAKAI, SUV PERTAMA ASTON MARTIN, DEBUT TAHUN 2019

Locke beroperasi dengan cukup mudah di mana beliau dan rakan subahat meyakinkan mangsa mereka akan keuntungan jika melabur dalam syarikat mereka padahal wang tersebut digunakan untuk kegunaan sendiri. Locke mencari mangsa menerusi laman web yang dinamakan Successful Pensions (nama pun dah macam skim MLM sebenarnya).

Dalam masa hanya 6 bulan selepas beroperasi, Locke mula membuka akaun Youtube  tentang kegilaan beliau terhadap supercar. Dalam masa beberapa tahun sahaja, video-video yang dimuatnaik beliau berjaya mengumpul lebih 190 juta tontonan.

Sebaik dibuktikan bersalah Locke dikenakan hukuman penjara 5 tahun dan rakan subahat beliau Ray King ,54, dikenakan hukuman penjara 3 tahun. Video-video Gaskings masih lagi boleh ditonton di laman Youtube.

Jangan ingat orang Malaysia je kena tipu dengan skim macam ni, Mat Salleh yang bijak pandai pun boleh kena tahu. Siapa tak nak pakai kereta mewah kan? Kalau macam Abang Japar senang, ke hulu ke hilir dengan Tiara, pergi pasar naik Demak interchange.

 

Google ads
Back to top button