Artikel PilihanBuletin

KOLABORASI TRAK PIKAP MAZDA DAN ISUZU

Di Jepun, kerjasama antara 2 pengeluar kereta bukanlah sesuatu yang asing. Subaru dan Mazda banyak menjenamakan semula K-Car daripada Daihatsu dan Suzuki.

Mazda-BT-50-2016-mekanika (2)

Industri trak, bas dan kenderaan berat juga begitu. Setiap pengeluar ada kepakaran masing-masing. Jadi, berkongsi teknologi adalah cara yang paling tepat untuk memastikan setiap kenderaan dikeluarkan dengan kos paling kompetitif.

Sejak dari dulu lagi, Mazda tidak terlalu fokus kepada trak pikap dan minivan. Mereka telah menjalinkan kerjasama dengan Ford untuk perkongsian pintar sama ada platform ataupun enjin. Justeru, lahirlah model-model seperti trak Mazda BT-50, van Bongo serta  kereta-kereta penumpang Familia siri BF dan BG pada zaman kegemilangannya.

Namun kerjasama itu bakal berakhir, di mana dalam pengumuman terbarunya Mazda akan mengadakan kerjasama dengan Isuzu pula. Ini mengakhiri kerjasama Ranger-BT-50 yang sedia ada, sekali gus mengesahkan bahawa model baharu BT-50 akan menggunakan platform Isuzu D-Max.

Mazda-BT-50-2016-mekanika (1)

Membangunkan sebuah model ‘core’ bukan sahaja memerlukan masa dan teknologi, malah memakan belanja yang sangat besar. Perkongsian teknologi ini juga penting apabila kebergantungan diberikan sepenuhnya kepada yang pakar.

Dalam kes ini, Isuzu memang tidak asing di Jepun. Sejak tahun 2003 lagi, Mazda Motor Corporation dan Isuzu Motors telah menandatangani program pembangunan trak ringan Isuzu N-Series kepada model jenama Mazda.

Isuzu-DMAX-Safari-mekanika

Untuk contoh lebih jelas, lihat bagaimana BMW menggunakan Kymco untuk membangunkan maxi skuter C600/C650GT mereka. Begitu juga Kawasaki menerusi model J300. Memberi kepada yang pakar adalah kata kuncinya. Sudah pasti, BMW dan Kawasaki mampu membina skuter mereka sendiri. Namun dalam keadaan skala ekonomi ia tidak berbaloi kerana produk utama mereka bukanlah skuter.

Model gantian Isuzu D-Max dijangka hanya diperbaharui sekitar tahun 2018 atau paling lewat 2019. Ia juga bakal menyaksikan berakhirnya kerjasama hampir 50 tahun antara Mazda-Ford sejak 1971 (Ranger-Courier). Status kerjasama di kilang usahasama mereka di Thailand akan ditentukan kemudian.

Google ads
Back to top button