MAZDA CX-5 CECAH PRODUKSI SATU JUTA
Mazda baru-baru ini dengan bangganya mengumumkan bahawa SUV popular keluarannya, CX-5 telah mencapai angka produksi ke satu juta unit.
Jumlah itu dicapai dalam tempoh kurang empat tahun sejak SUV tersebut mula diproduksi pada 2011. CX-5 menyertai pasaran SUV yang begitu pantas berkembang pada Februari 2012.
SUV kompak pertama Mazda itu juga menjadi model pertama yang dilengkapi rangkaian lengkap teknologi SKYACTIV dan reka bentuk KODO – Soul of Motion. Sehingga kini, CX-5 telah memenangi lebih 60 anugerah di seluruh dunia termasuklah kereta terbaik Jepun bagi tahun 2012-2013.
“Saya amat berbesar hati untuk melihat CX-5 mencapai angka satu juta dalam masa tiga tahun lima bulan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong CX-5,” kata Pengurus Program CX-5, Masashi Otsuka.
CX-5 dikilangkan di beberapa kemudahan Mazda seperti Hiroshima, Jepun, selain di China, Rusia, Malaysia dan Vietnam.